Jumaat, 27 April 2012

ISU KESIHATAN : Tangani tekanan berlandaskan kualiti syariah, manfaat


Oleh Sharifah Haayati
bhagama@bharian.com.my


Islam mengajar umat selesai masalah dengan baik selagi tidak bercanggah hukum syarak

TEKANAN boleh datang dan pergi, ibarat angin yang bertiup, ibarat roda yang berpusing. Walaupun, tekanan boleh berlaku bila-bila masa, di mana saja dan mudah pula menjejaskan emosi, ia perlu difahami dari perspektif yang betul supaya kita tidak menyalahkan takdir dan mengambil tindakan silap.

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan (yang sebenarnya). Dan hanya kepada Kamilah kamu dikembalikan.” (Surah al-Anbiya, ayat 35)

Sebagai ujian daripada Allah, tekanan mampu memberikan sekurang-kurangnya tiga nikmat kebaikan iaitu kebaikan sebagai penebus dosa, pengukur kesabaran dan batu loncatan untuk mencapai kejayaan lebih tinggi.

Ketiga-tiga nikmat ini jika dihayati akan menyuburkan sifat sabar, reda dan syukur yang menjadi baja menuburkan daya tahan dalaman diri. Dengan itu, kita perlu sentiasa berfikiran positif dan menghadapinya dengan penuh kekuatan serta kebijaksanaan.

Tekanan di pejabat antaranya berpunca daripada bebanan kerja yang banyak, waktu tidak menentu, hubungan kurang baik dengan majikan atau staf, tuntutan dan kerenah pihak pelanggan serta masalah infrastruktur di pejabat.

Malah, kajian menunjukkan semakin tinggi jawatan seseorang pegawai, semakin tinggi juga kadar tekanannya berbanding mereka yang dalam kumpulan sokongan. Ada kala, masalah di tempat kerja dibawa ke rumah atau masalah di rumah dibawa ke tempat kerja menyebabkan tahap tekanan meningkatkan dan ‘menjangkiti’ orang lain.

Senario ini amat membimbangkan kerana ia boleh menjejaskan diri individu, hubungan keluarga, masyarakat dan yang paling utama ibadat kepada Allah SWT. Dalam menangani tekanan secara sihat, pelbagai daya tindak boleh dilakukan berasaskan amalan Rasulullah dan orang soleh.

Ada yang mengurangkan tekanan dengan cara beriadah, bersiar-siar di hujung minggu, balik kampung, mendapatkan tidur yang cukup, menonton televisyen, memasak masakan kegemaran, menghias rumah, berkebun dan menghadiri aktiviti sosial.

Semua cara ini sebenarnya boleh dilakukan untuk mengurangkan tekanan asalkan kita tidak lupa menjaga dua standard kualitinya iaitu syariah dan manfaat.

Mematuhi kualiti syariah bererti apa saja cara yang kita pilih untuk mengurangi atau menangani tekanan hendaklah tidak bercanggah dengan hukum syarak seperti menghilangkan tekanan dengan amalan pemujaan kepada kuasa ghaib atau sihir. Tujuannya mententeramkan jiwa, membalas dendam terhadap individu yang menyakiti dan menjatuhkan orang lain. Perbuatan menghilangkan tekanan dengan cara berunsur syirik bukan saja menyalahi syarak malah terjerumus dalam dosa besar.

Kesan tekanan sebeginilah yang perlu kita bimbang merebak dalam kehidupan masyarakat. Allah SWT mengajar Lukman al-Hakim untuk berkata kepada anaknya: “Sesungguhnya mempersekutukan (Allah) adalah benar-benar suatu kezaliman yang besar.” (Surah Luqman, ayat 13)

Malah Allah SWT memberikan peringatan jelas mengenai usaha manusia dan supaya meletakkan keyakinan jitu terhadap kuasa Allah SWT yang Maha Berkuasa memberikan kebaikan dan kemudaratan kepada hamba-Nya.

Firman Allah yang bermaksud: “Jika Allah menimpakan sesuatu kemudaratan kepadamu, maka tidak ada yang dapat menghilangkannya kecuali Dia. Dan jika Allah menghendaki kebaikan bagi kamu, maka tidak ada yang dapat menolak kurnia-Nya. Dia memberikan kebaikan itu kepada sesiapa yang dikehendakinya.” (Surah Yunus, ayat 107)

Ada juga yang menghilangkan tekanan dengan melakukan perbuatan menyalahi syariat; seperti berjudi, mencuri, menipu atau menjalankan kerja tidak halal seperti pelacuran, perniagaan dan pelaburan mengandungi unsur riba. Tujuannya untuk menyelesaikan masalah kewangan dan mendapat keuntungan yang banyak dengan mudah. Malah, cara lain yang masih berlaku adalah cubaan mencederakan dan membunuh diri akibat kekecewaan.

Mematuhi kualiti manfaat bererti apa juga cara yang dilakukan hendaklah tidak membawa mudarat; seperti mengambil dan mengedar dadah, pil khayal, minuman keras dan berfoya-foya.

Firman Allah yang bermaksud: “(Mereka bertanya kepadamu Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar dari manfaatnya.” (Surah al-Baqarah, ayat 219)

Begitu juga jika caranya baik tetapi dilakukan dengan berlebih-lebihan sehingga membawa mudarat, ia bertentangan dengan standard piawaian bertindak Islam; seperti menghilangkan tekanan hingga melalaikan tanggungjawab sesama manusia.

Justeru, perhatikan kedua-dua piawaian kualiti bertindak ini dan berwaspadalah dalam setiap cara kita menangani tekanan supaya ia dapat ditukar menjadi suatu kekuatan dan kehidupan kita mendapat kurniaan serta rahmat Allah.

Penulis ialah pensyarah di Jabatan Siasah Syariyyah, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM).

Tiada ulasan:

Catat Komen