Sabtu, 28 April 2012

ISU PENDIDIKAN : Cikgu Yusry, Lisa dan Teach for Malaysia


Oleh : Tan Sri Alimuddin Mohd Dom

HAMPIR semua akhbar arus perdana pada 17 April lalu memuatkan gambar dan berita dua artis terkenal tanah air Yusry KRU dan isterinya, Lisa Surihani sedang mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pandamaran Jaya, Pelabuhan Klang, Selangor sempena program Teach For Malaysian Week.

Yusry Abdul Halim yang merupakan pengarah filem dan komposer muzik mengajar Bahasa Inggeris. Pelakon filem dan drama, Lisa yang berkelulusan undang-undang dari Universiti Aberystwyth United Kingdom mengajar Geografi Tingkatan Satu. Kehadiran mereka diberitakan mendapat sambutan yang sangat baik daripada pelajar dan guru sekolah berkenaan.

Lisa berkata, pengalamannya mengajar di sekolah itu membuatkan beliau lebih menghormati profesion guru.

''Pengalaman saya hari ini memang jelas membuktikan bahawa bukan senang untuk jadi seorang guru. Cabarannya bertambah mengikut peredaran masa terutamanya dari aspek menarik perhatian dan tumpuan pelajar,'' katanya.

Lisa dan Yusry masing-masing meluangkan masa selama sejam mengajar di dua buah kelas tingkatan satu di sekolah berkenaan. Kehadiran mereka menggambarkan sokongan kepada program Teach For Malaysia (TFM) yang dilancarkan baru-baru ini.

TFM adalah sebuah badan bebas bukan mencari keuntungan yang menyenaraikan bakal pemimpin masa depan Malaysia paling menyerlah dalam misinya untuk menghapuskan keadaan tidak saksama dalam bidang pendidikan. Mereka yang mengambil bahagian dalam program anjuran TFM adalah mewakili sektor perniagaan, kewangan, perkhidmatan awam, pendidikan dan hiburan.

Pemilihan felo ini melalui tapisan yang ketat iaitu mereka yang mempunyai kelulusan yang cemerlang di peringkat ijazah daripada universiti yang ternama dalam dan luar negara.

Mereka yang terpilih dijadualkan mengajar di sekolah kawasan Kuala Langat, Klang, Kuala Selangor, Petaling Jaya dan Hulu Langat di Selangor. Sentul dan Keramat di Kuala Lumpur dan Tampin, Jelebu serta Kuala Pilah di Negeri Sembilan.

Sebagai permulaan sejak Januari 2012, kohort pertamanya yang terdiri daripada 50 felo menjadi pengajar di sekolah terpilih yang berkeperluan tinggi di Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan. TFM sedang mencari 70 lagi felo untuk mengikuti kohort barunya bagi 2013.

Matlamat utama mereka ditempatkan di sekolah adalah untuk membantu pelaksanaan transformasi pendidikan bagi menghasilkan pencapaian akademik yang baik, aspirasi yang tinggi dan membentuk sahsiah yang positif di kalangan pelajar. Bagi mencapai hasrat tersebut felo berkenaan akan diberi latihan intensif dari segi pedagogi pengajaran dan pendekatan penyelesaian masalah secara profesional.

Sesungguhnya selain ditugaskan untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada pelajar, mereka juga akan mendapat pengalaman yang berharga bagi diri sendiri dan peluang melaksanakan sesuatu aktiviti secara profesional sepanjang berkhidmat di sekolah berkenaan.

Bagi menjayakan program tersebut mereka akan diberikan latihan dikendalikan oleh pakar-pakar dalam pelbagai bidang yang membolehkan mereka menjadi guru berkesan dan mempunyai daya kepimpinan yang tinggi. Latihan akan mengambil masa selama lapan minggu di Institut TFM.

Kurikulum dan metodologi latihan adalah mengikut piawaian antarabangsa yang membolehkan mereka menjadi guru yang berkesan di dalam dan luar bilik darjah. Bagi memastikan latihan yang diberikan berkualiti maka penilaian dan akreditasi akan dilakukan oleh Kementerian Pelajaran.

Sudah semestinya program ini mempunyai impak yang besar bukan sahaja kepada pelajar dan sekolah tetapi juga felo yang mengikuti TFM ini. Apa yang menarik mereka akan merasai sendiri keseronokan, kesukaran dan mengharungi pelbagai masalah yang dihadapi oleh pelajar.

Ini memberi peluang kepada mereka untuk merancang, memberi sokongan dan mencari jalan bagaimana untuk menyelesaikan sesuatu isu dan keadaan tidak saksama yang berlaku.

Program ini berbentuk sepenuh masa dan mereka dibayar elaun secara bulanan.

TFM merupakan model pembangunan kepimpinan disesuaikan melalui program 'Teach For America' yang mendapat kejayaan besar di Amerika Syarikat. Selepas menamatkan program selama dua tahun mereka berpeluang menganggotai Teach For Malaysia Ambassador yang merupakan platform yang berpengaruh di peringkat kebangsaan dan global untuk membolehkan mereka menjadi pemimpin di sektor awam atau swasta di masa akan datang.

Sesungguhnya TFM merupakan suatu program dalam transformasi pendidikan yang berbentuk serampang dua mata. Sekolah yang ditempatkan guru-guru ini sudah tentu mendapat manfaat dari segi tenaga sumber yang boleh dibanggakan. Mereka bukan sahaja mempunyai kelayakan yang tinggi dalam berbagai bidang profesional malah pernah belajar di universiti yang ternama.

Selain itu pengalaman bergaul dengan pelajar dan guru serta peranan yang dimainkan untuk menyelesaikan sesuatu isu dan masalah akan menjadikan diri mereka lebih berpengalaman dan berdaya saing. Pengalaman ini sangat berharga dan boleh digunakan pula dalam usaha pembinaan dan pembentukkan diri sebagai pemimpin.

Secara tidak langsung program TFM akan menjadikan felo tersebut sebagai ikon kepada pelajar. Apa tidaknya misalnya Cikgu A lulusan undang-undang daripada Harvard Law School, Cikgu B telah mengikuti bidang pengurusan di Princeton University Woodrow Wilson School of Public Affairs atau Cikgu C lulusan kajian perniagaan daripada Stanford University Graduate School of Business.

Kesemua mereka mendapat 9A dalam peperiksaan SPM dan 4A di peringkat A Level. Terpilih menerima biasiswa daripada Bank Negara, Petronas atau Shell. Sebagai orang muda yang masih segar dan bertenaga serta baru graduat maka mereka boleh mempengaruhi cara berfikir dan gerak laku pelajar-pelajar di sekolah.

Moga-moga Cikgu Yusry dan Cikgu Lisa tidak jemu dan akan terus melawat ke sekolah. Kehadiranmu tetap dinanti-nantikan oleh pelajar.

Penulis ialah Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Komen