Khamis, 19 April 2012

ISU PENGAJIAN TINGGI : PTPTN bantu selesai masalah golongan berpendapatan rendah


Oleh Norliza Abdullah
lizz@bharian.com.my

ISU Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) terus menjadi topik perbincangan hangat kebelakangan ini. Topik itu membabitkan 917,054 pelajar di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) serta politeknik.

Kemuncaknya, ada segelintir pelajar terus berhimpun dan berkhemah di Dataran Merdeka Kuala Lumpur hingga hari ini, yang mendesak kerajaan menghapuskan PTPTN sekali gus menanggung keseluruhan kos pengajian rakyat.

Malaysia memperuntukkan sejumlah besar peruntukan untuk sektor pendidikan, bermula dengan pendidikan prasekolah, sekolah rendah, menengah hinggalah ke institusi pengajian tinggi (IPT.

Sebahagian kos ditanggung pelajar pada paras subsidi dengan kadar tanggungan sehingga 90 peratus bagi setiap pelajar, bergantung kepada bidang pengkhususan dan tempoh pengajian. Justeru, tidak adil membandingkan Malaysia dengan Jerman dan United Kingdom yang menyediakan pendidikan percuma kepada rakyat.

Malaysia masih memegang status negara membangun, sedangkan dua negara itu berstatus negara maju. Faktor kepelbagaian kaum juga perlu diberi perhatian kerana Malaysia mempunyai masyarakat majmuk dan terikat dengan kontrak sosial dipersetujui bersama.

Jika kos pengajian peringkat tinggi diberikan percuma, dasar ini gagal membezakan masyarakat pribumi dengan rakan mereka yang lain, pastinya menimbulkan reaksi pelbagai. Bagi merebut peluang mendapatkan tempat di IPTA dengan kos pengajian lebih rendah, pelajar perlu bersaing. Hanya yang cemerlang akademik dan kokurikulum diberi keutamaan.

Begitu juga dengan pemberian biasiswa, konsepnya tetap adil dan saksama. Mereka yang gigih dan cemerlang pastinya mendapat hak. Daripada jumlah keseluruhan pelajar itu 508,256 menuntut di 20 IPTA, IPTS (319,506), manakala politeknik pula 89,929 pelajar.

Warga menara gading seluruh negara kurang daripada sejuta, dan golongan muda ini mempunyai pilihan sama ada untuk meneruskan pengajian tanpa bergantung kepada PTPTN, bagi yang berkemampuan, atau terpaksa akur dengan tuntutan semasa dan terpaksa meminjam. Pilihan di tangan mereka, jika yakin keputusan meminjam itu dapat meneruskan kesinambungan hidup bagi mendapatkan pekerjaan lebih baik berbanding rakan yang hanya setakat tamat sekolah menengah, teruskan perjuangan.

Ini pilihan, bukan paksaan. Jika tidak mahu berhutang, lebih baik tinggalkan kampus dan cari pekerjaan yang menjanjikan pendapatan lumayan. Ramai rakyat Malaysia mampu hidup mewah tanpa segulung ijazah.

Jika peluang pendidikan diberikan percuma bermakna golongan kaya tetap menerima hak, sedangkan mereka berkemampuan menampung kos berkenaan. Perlu diingat, tujuan asal PTPTN membantu pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan. Perkara ini mungkin tidak diperhalusi segelintir pelajar hingga mereka gagal membuat keputusan tepat dan menjadi mangsa pihak berkepentingan.

Setiausaha Kehormat Kelab Belia Graduan 1Malaysia, Ezaruddin Abdul Rahman, berkata maklum balas pihaknya mendapati, mahasiswa yang berhimpun dikatakan tidak mengetahui secara mendalam mengenai cadangan menghapuskan PTPTN.

Beliau berkata, pelajar terpedaya dengan dakwaan pembangkang jika mereka memerintah, agensi berkenaan akan dihapuskan dan kos pendidikan ditanggung kerajaan. Malah perhimpunan mereka juga katanya, atas ajakan rakan senior selain duduk melepak dan menghabiskan masa tanpa tujuan.

Laporan yuran pengajian setiap semester bagi pelajar prasiswazah sesi pengajian 2011/2012 Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), mencatatkan jumlah perlu dibayar pelajar Fakulti Perubatan RM900 manakala pelajar Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat RM600.

Jumlah itu jauh lebih rendah berbanding kadar yuran sebenar untuk tempoh sama iaitu masing-masing RM17,000 dan RM4,600. Bagi program pengajian perubatan di Universiti Malaya (UM) pula, kadar yuran sepanjang tempoh pengajian lima tahun berjumlah RM20,000.

Pengiraan mendapati jumlah itu berbaloi di dua institusi bertaraf universiti penyelidikan dan kualiti pendidikannya diiktiraf peringkat global. Logiknya wajar bagi pelajar membuat pinjaman untuk mendapatkan perkhidmatan berkenaan. Bagaimanapun, berbincang mengenai keupayaan kerajaan menyediakan kemudahan itu secara percuma, juga wajar. Oleh kerana subsidi kerajaan di IPTA sehingga 90 peratus, tidak menjadi halangan 10 peratus daripada kos itu diserapkan dalam peruntukan pendidikan.

Bagaimanapun, adakah keputusan itu memberi kebaikan kepada semua pihak dalam usaha kerajaan melahirkan generasi muda yang lebih berdaya saing dan bertanggungjawab? Apa saja yang didapati secara percuma, nilainya terus terhakis, manusia sukar menghargai sesuatu diperoleh dengan mudah.

Jumlah bayaran pada kadar 10 peratus itu adalah sebahagian daripada komitmen pelajar untuk terus gigih belajar dan ibu bapa turut berperanan terhadap kebajikan anak masing-masing. Berbanding yuran di IPTS bagi program perubatan, kadarnya jauh lebih tinggi. Jika kos sebenar di IPTA RM17,000 pastinya nilai itu lebih tinggi dan jumlahnya tidak termasuk kos tuisyen dan bayaran tambahan lain.

Di sinilah peranan PTPTN. Bagi mereka yang tidak layak mendapat tempat di IPTA tetapi berpeluang ke IPTS untuk program pengajian sama, masing-masing boleh mendapatkan pembiayaan dan meneruskan hasrat murni itu.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan