Khamis, 19 April 2012

ISU SOSIAL : Mendisiplinkan hati budi insan


Prof Dr Sidek Baba

Mendisiplinkan hati budi insan dengan landasan fikir dan zikir yang betul memberi kesan langsung terhadap diri manusia. Ia membawa kesan kepada amal seseorang.

Menolak faktor zikir dalam maksud yang luas menjadikan hasil berfikir kosong. Sumber fikir yang baik bakal menyerap ke dalam hati dan proses ini menyebabkan akal budi terbentuk dalam acuan yang baik dan menghadirkan nilai-nilai rohaniah yang baik juga.

Sifat amanah umpamanya terhubung langsung dengan ALLAH SWT supaya maksud amanah itu bukan sahaja dengan manusia dan organisasi tetapi pedoman utamanya ialah sifat ihsan yang tinggi.

Sifat adil pula hanya akan berlaku sekiranya hubungan dengan ALLAH terjadi dan kemampuan meletakkan sesuatu pada tempatnya berlaku supaya tidak terjadi kezaliman. Pertimbangan ALLAH Yang Maha Melihat dan Maha Mengetahui menjadi saksi yang amat utama.

Sifat telus dan tulus juga terkait dengan ALLAH. Keihsanan dan ketaqwaan yang terbina dalam diri menyebabkan sebarang tindakan terjadi secara ikhlas dan telus.

Pertimbangan kerana ALLAH (ikhas) ini bukan maksud zahirnya ALLAH memerlukan sesuatu daripada manusia. Sebaliknya manusia memerlukan sesuatu daripada ALLAH. Manusia terpedoman melakukan sesuatu dengan ikhlas dan hikmahnya akan kembali kepada manusia juga.

Rasulullah SAW merujuk dalam diri manusia ada seketul daging, baik daging itu baiklah sahsiah manusia. Ia dirujuk sebagai hati. Imam al Ghazali dalam kitab Ihya’nya sering menyebutkan mengenai penyakit hati.

Hati secara fizikalnya adalah gambaran seketul jantung tetapi memiliki rasa dan keupayaan mengimbang. Darinya tercetus nilai-nilai tertentu yang menjadi neraca pertimbangan amal seseorang. Hati sering menjadi rujukan salah-benarnya sesuatu.

Memperkasa hati menerusi pembersihan jiwa menjadikan kedudukan hati sesuatu yang fitrah. Hati yang diserapi akal fikir baik akan serasi dan menjadi landasan kepada setiap amalan. Hati yang baik akan mempedoman amal menjadi baik juga.

Al-Quran memberi pedoman tentang kebaikan hati. Dari situ seseorang akan berlaku jujur, amanah, ikhlas dan adil kerana keihsanan merasakan ALLAH Maha Mengetahui walaupun manusia tidak mengetahui.

Sebab itu manusia perlukan latihan hati supaya ia tidak mati. Hati yang hidup adalah hati yang sentiasa bertaut dengan ALLAH.

Walaupun nilai-nilai yang murni hanya suatu pernyataan ia boleh dilihat dalam amalan. Hati budi insan boleh diketahui daripada amalan. Pecah amanah, tidak tunai janji, zalim dan tidak bercakap benar boleh dilihat pada manusia kerana pertimbangan hati budi tidak terjadi.

Seorang pendakwah atau pemimpin umpamanya harus memiliki hati budi yang tinggi. Sifat kasih sayang dan belas kasihan bagi pendakwah dan rasa ukhuwah yang tinggi bagi pemimpin boleh mengukuhkan status hati budi. Sebaliknya pendakwah yang emosional dan pemimpin memilih sifat kebencian dan dendam, memperlihatkan kerendahan akal budi kerana ia lari dari maksud dai’ dan qiyadah (kepimpinan) itu sendiri.

Pendakwah dan pemimpin harus memiliki jiwa besar dan kebijaksanaan. Pemimpin yang memiliki jalur dakwah harus sabar dengan kerenah manusia atau kelompok. Jangan memilih jalan mudah melepaskan nafsu amarah yang tinggi dengan mengejek orang lain seolah-olah dirinya saja benar dan berwibawa.

Ia menggambarkan sifat angkuh dan putus asa terhadap manusia lain yang memang dilarang oleh agama.

Pendakwah dan pemimpin yang memiliki hati budi bersih sentiasa menghubungkan diri dengan ALLAH, bahawa tugas nubuwwah atau kenabian sentiasa berdepan dengan cabaran. Nabi Nuh dan Nabi Lut umpamanya tidak pernah putus asa untuk mendekati manusia hatta isteri dan anak-anaknya.

Al-Quran dalam Surah al Asr memberi pedoman kepada pendakwah, watawasaubilhaq watawasaubissabr – kebenaran atau haq itu perlu dinyatakan dengan sabar. Terdapat pendakwah kita suka memainkan emosi mengenai sesuatu isu berasaskan kepentingan jemaah atau kelompoknya. Lalu faktor fakta dan data selalunya tidak diambil kira. Ia tidak membantu kefahaman, malah menimbulkan kekeliruan dan konflik.

Pemimpin yang memiliki imej agama perlu memiliki hati budi tinggi, matlamat perjuangannya ialah mengembalikan manusia kepada fitrah. Label-label hodoh yang diberi tidak menggambarkan dia pemimpin berhati budi, tetapi pendekatan begitu bakal hasilkan konflik dan meminggirkan rasa persaudaraan yang tinggi untuk memahami realiti dan situasi.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan