Isnin, 7 Mei 2012

ISU BAHASA : Martabatkan kembali tulisan Jawi


MOHAMAD SHAFIQ ROHAIZAD BUYONG

“HIDUP segan mati tak mahu” itulah pepatah Melayu yang sesuai untuk menggambarkan nasib tulisan Jawi ketika ini.

Seperti kita maklum tulisan Jawi telah bertapak di alam Melayu lebih kurang sekitar 700 tahun dahulu berdasarkan kepada penemuan batu bersurat tahun 1303 di Terengganu. Malah, terdapat juga pendapat yang menyatakan bahawa tulisan Jawi telah digunakan seawal kedatangan Islam di alam Melayu lagi.

Tidak dinafikan tulisan Jawi telah mencapai zaman kegemilangan pada abad ke 18, hinggakan penjajah Inggeris yang menjajah di Tanah Melayu ketika itu perlu belajar menulis dan membaca di dalam tulisan jawi. Hal ini dapat dibuktikan melalui koleksi warkah Francis Light yang tersimpan di Muzium Perpustakaan British yang bertarikh antara 1786 hingga 1794, perjanjian Sir Stamford Raffles dengan pihak Sultan Johor, Perjanjian Pangkor 1874, Pemasyhuran Kemerdekaan 1957.

Ditambah lagi, melalui tulisan Jawi, hasil kesusasteraan Melayu turut berkembang dengan pesatnya, apabila banyak hikayat lama dikarang dan disebar luaskan melalui tulisan Jawi seperti Hikayat Hang Tuah, Hikayat Banjar, Hikayat Raja - Raja Pasai, Hikayat Iskandar Zulkarnia. Biar pun hikayat - hikayat ini tidak diketahui siapa pengarangnya. Namun, hasil sastera ini terus berkembang melalui tulisan Jawi. Tidak dapat dinafikan bahawa tulisan Jawi telah menjadi wadah kepada masyarakat Melayu dalam mengembangkan ilmu pengetahuan mencakupi bidang kesenian, kesusasteraan mahu pun aspek kebahasaan. Hal ini terbukti apabila akhbar - akhbar Melayu seperti Utusan Melayu dan Utusan Zaman menggunakan tulisan Jawi ketika awal penerbitannya. Malah tidak ketinggalan juga majalah Mastika yang turut menggunakan tulisan Jawi dalam penerbitannya dan mendapat tempat istimewa dalam kalangan masyarakat Melayu ketika itu.

Malah, tulisan Jawi tidak dapat dinafikan merupakan aspek penting dalam mengekalkan identiti budaya Melayu. Hal ini, dikuatkan lagi apabila tulisan Jawi dikaitkan dengan kedatangan Islam dan budaya al-Quran ke Tanah Melayu. Ditambah lagi, menurut catatan pengembara Eropah seperti Magellan, Tom Pires dan Van Ronkel, menggambarkan bahasa Melayu dan tulisan Jawi diiktiraf sebagai bahasa penghubung utama pada zaman Kesultanan Islam di Nusantara.

Tetapi pada hari ini kegemilangan tulisan Jawi umpama melalui zon gerhana yang cukup menyedihkan. Adakah masyarakat kita tidak cukup berbangga dengan zaman kegemilangan tulisan Jawi ketika dahulu yang sentiasa digunakan sebagai jabatan keilmuan. Kemerosotan peranan tulisan jawi di dalam dunia keilmuan dapat dikesan semenjak ketibaan kuasa - kuasa Barat yang mula menjajah Tanah Melayu pada abad ke-18 dan 19. Pada ketika ini tulisan Rumi telah diperkenalkan oleh penjajah barat terutama dalam sistem pendidikan yang berorientasikan pendidikan dunia barat. Pada ketika itu jugalah peranan tulisan Jawi sedikit demi sedikit mula terhakis dari perhatian masyarakat Melayu sendiri. Menurut Samat Buang dalam artikelnya Mengembalikan Maruah Tulisan Jawi menyatakan “bahawa kita tidak harus mengekalkan mentaliti penjajah seperti R.J. Wilkinson yang dengan sengaja membunuh tulisan jawi dengan memperkenalkan tulisan Rumi. Dengan adanya tulisan Rumi sedikit - demi sedikit, British menarik masyarakat Melayu daripada akar umbinya”. Dari pada pandangan Samat Buang tersebut, dapat kita tafsirkan bahawa tahap kebimbangan para ahli akademik berkenaan survival tulisan jawi telah berada di tahap yang membimbangkan.

Hal ini ditambah lagi, pelbagai peristiwa yang sangat menggores hati - hati pencinta tulisan Jawi yang mana 29 Januari 2006 akhbar Utusan Melayu yang merupakan satu-satunya akhbar yang menggunakan tulisan Jawi dihentikan penerbitannya kerana kurangnya sambutan daripada masyarakat terutama daripada masyarakat Melayu sendiri. Malah, Datuk Seri Dr. Rais Yatim sebagai Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan dengan nada kehairanan menyatakan bahawa tiada seorang pun yang mendengus, apatah lagi mempolemikkan penutupan akhbar itu baik di media elektronik mahu pun media cetak. Malah, Datuk Johan Jaaffar dengan nada sinis di dalam Persidangan dan Pameran Tulisan Jawi di Muzium Negara menganggap orang Melayu renyah dengan identiti warisan bangsanya sendiri. Pandangan beliau ini berpaksikan kepada populasi etnik Melayu yang merangkumi 13 juta orang Melayu, dan akhbar tulisan Jawi tidak boleh hidup dan dipedulikan sedangkan akhbar berbangsa lain dapat hidup subur walaupun komunitinya lebih kecil berbanding masyarakat Melayu. Satu persoalan yang perlu ditudingkan pada diri sendiri, di manakah silapnya?

Justeru, langkah memartabatkan semula tulisan Jawi wajar dilaksanakan supaya seni warisan ini tidak hanyut ditelan zaman. Banyak pendapat mahu pun cadangan-cadangan yang dikemukakan oleh para sarjan mahu pun orang perseorangan berkenaan langkah perlindungan tulisan Jawi. Antaranya ialah melalui sistem pendidikan negara. Melalui sistem pendidikan ini kemahiran menulis dan membaca tulisan Jawi mesti dijadikan teras dalam mata pelajaran pendidikan agama Islam di sekolah-sekolah seluruh negara. Ditambah lagi, pengenalan tulisan Jawi perlu juga dimasukkan dalam sukatan pelajaran Bahasa Melayu di peringkat sekolah. Hal ini adalah sebagai salah satu usaha untuk menangkis dan memperbetulkan persepsi masyarakat terhadap tulisan Jawi yang dianggap sebagai sinonim dengan agama Islam. Malah, di peringkat Institusi Pengajian Tinggi Awam mahu pun Swasta (IPTA/IPTS), langkah memasukkan kemahiran dan sejarah perkembangan tulisan Jawi dalam subjek Tamadun Islam dan Kenegaraan Malaysia adalah wajar sebagai mekanisme untuk memartabatkan tulisan Jawi di peringkat Institusi Pengajian Tinggi di negara ini. Selain itu, kesedaran penggunaan tulisan Jawi pada papan tanda dan petunjuk jalan masih kecil bilangannya dan tidak keterlaluan jika dikatakan boleh dibilang dengan jari.

Oleh yang demikian, penggunaan tulisan Jawi ini perlu dipergiatkan usahanya terutama peranan yang dimainkan oleh pihak kerajaan tempatan dalam merealisasikan impian negara bagi menghidupkan semula kegemilangan tulisan jawi yang pernah mencapai puncak kemasyhurannya satu ketika dahulu. Impian ini tidak terlaksana jika hanya dilakukan hanya sebelah pihak sahaja, malah semua pihak perlu berganding bahu tidak apa jua lapisan masyarakat agar tulisan Jawi ini bak kata pepatah Melayu “tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas”.

Mohamad Shafiq Rohaizad Buyong, Jabatan Bahasa Melayu, Universiti Malaya

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan