Oleh Latifah Arifin
latifah@bharian.com.my
ISU sastera dimonopoli kelompok penulis berlatar pendidikan sains sering
mendapat perhatian sehingga ada dalam kalangan pengkarya dan penggemar sastera
naik muak kerana perbandingan secara berlebihan itu tidak memberi manfaat
kepada perkembangan industri penulisan Negara.
Soalan sama diajukan kepada dua penulis yang juga bergelar jurutera pada
sesi Wawancara Sofa Putih - Sastera Daripada Sentuhan Sang Jurutera anjuran
Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) bersempena Pesta Buku Antarabangsa
Kuala Lumpur (PBAKL) 2012, baru-baru ini.
“Sastera kepunyaan masyarakat dan tidak terhad kepada kelompok tertentu.
Semua orang bebas berkarya dan mengenai isu kehadiran penulis aliran sains
lebih menonjol, saya tidak mahu mengulas. Pembabitan saya dalam bidang
penulisan sekadar memeriahkan dunia sastera tanah air.
“Kerjaya dan ilmu yang saya pelajari dalam bidang saya banyak membantu dan
memberi kelainan dalam corak penulisan saya. Bidang sains dan kejuruteraan
sudah sebati dalam diri saya dan kelebihan itu saya manfaatkan dalam karya
dengan memberi ilmu baru kepada pembaca,” kata jurutera petroleum, Rebecca
Ilham atau nama sebenarnya Hazwani Ramelie.
Pada wacana di Gerai ITBM, Aras Tiga, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC),
Kuala Lumpur, yang dikemudi personaliti televisyen, Sayed Munawar Sayed Mustar,
Rebecca turut memperjelaskan tidak salah mengguna pakai teori sains dalam
karya, tetapi ia tidak sewajarnya diletakkan sesuka hati.
“Penulis sepatutnya memurnikan dan memahami istilah yang ingin digunakan,
sebelum memasukkan dalam penulisan mereka kerana dengan cara baru perkongsian
ilmu dengan pembaca boleh berlangsung,” katanya.
Seperti Rebecca Ilham, peserta Minggu Penulis Remaja (MPR) 1992 yang juga lulusan bidang kejuruteraan industri dari United Kingdom, Sahiril Hasrin Sanin, juga kurang senang dengan fenomena penulis genre sains yang gemar memasukkan teori saintifik secara sesuka hati.
“Ada penulis yang suka mencedok daripada buku akademik. Kaedah salin dan
tampal ini tidak sepatutnya terjadi. Dengan niat mahu dilihat hebat, tindakan
tidak mengolah semula aspek sains dalam karya sehingga akhirnya menampakkan
kedangkalan ilmu penulis itu.
Sahiril yang melihat perkembangan cereka sains negara ini masih di berada
di takuk lama, lebih selesa membaca karya dalam bahasa Inggeris berbanding
Melayu sebagai persediaan menghasilkan karya lebih bermutu.
“Jujur saya katakan, karya fiksyen sains di pasaran kebanyakannya belum
berada pada tahap memuaskan. Saya mahu melahirkan karya bermutu dalam bahasa
Melayu bagi memuaskan hati pembaca yang meminati genre ini,” katanya penuh
makna tersirat.
Ketika diajukan soalan mengenai kemungkinan buku fizikal akan mati dengan
kewujudan buku elektronik dan bahan bacaan yang mudah didapati dengan hanya
melayari internet, Sahiril yakin tren itu belum berleluasa di Malaysia.
“Kebanyakan rakyat Malaysia masih mempunyai minat yang tinggi untuk membeli
dan membaca naskhah secara fizikal berbanding pembaca Barat. Saya pernah
menerbitkan semula karya saya dalam blog. Bagaimanapun pengikut saya masih mahu
mendapatkan bukunya secara fizikal,” katanya.
Bagi Rebecca pula, penulis dan penerbit buku perlu berfikir secara lebih
kreatif dengan menampilkan grafik menarik dan kulit buku yang cantik untuk
menarik perhatian pembaca, jika mereka mahu buku fizikal terus hidup.
“Sejak dulu lagi orang bercakap mengenai fenomena buku akan mati dan saya
pernah terfikir keadaan ini berkemungkinan boleh terjadi. Saya juga turut
teruja pada awal kemunculan buku elektronik dulu.
“Namun kini saya kembali kepada buku fizikal kerana terpanggil dengan
tarikan semula jadinya, apatah lagi merindui bau kertas yang menyemarakkan
semangat saya untuk terus membaca,” katanya mengakhiri wawancara.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan