BANDAR TUN RAZAK (Pahang) : Sejumlah 11,764 peminjam
Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN) tidak perlu membayar balik
pinjaman yang ditukar kepada biasiswa apabila mereka memperoleh keputusan
cemerlang di peringkat Ijazah Sarjana Muda.
Pengerusi PTPTN Datuk Ismail Mohamed Said berkata ini
merupakan satu penghargaan kepada para peminjam atas usaha keras dan
kesungguhan mereka dalam bidang pelajaran.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis
penyerahan wang pendahuluan PTPTN di Universiti Teknologi Malaysia (UiTM)
Bandar Tun Razak, Jengka di sini, Ahad.
Pada majlis itu, seramai 1,133 pelajar menerima wang
pendahuluan sebanyak RM1,500 melibatkan jumlah RM1.7 juta bagi kemasukan
Mei/Jun 2012 di UiTM Pahang.
Ismail berkata untuk kemasukan pelajar Institusi Pengajian
Tinggi Awam (IPTA) di seluruh negara bagi sesi Mei/ Jun 2012, seramai 32,777
pelajar menerima wang itu membabitkan RM49 juta.
Bagi negeri Pahang, katanya sebanyak RM3.7 juta
diperuntukkan sebagai wang pendahuluan PTPTN kepada 2,496 pelajar.
Ismail berkata sehingga 31 Dis lalu, sebanyak 553,913 waran
Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) telah ditunaikan dengan jumlah RM812 juta.
Mengenai jumlah peminjam yang telah membayar balik hutang
mereka, Ismail berkata sejumlah RM3.18 bilion berjaya dikutip daripada 759,526
peminjam.
Selain itu, sejak 31 Mac lalu, seramai 25,138 peminjam yang
disenarai hitam datang berunding dengan PTPTN serta membayar balik dengan
kutipan berjumlah RM178.9 juta, katanya. BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan