Isnin, 14 Mei 2012

ISU BUDAYA WARISAN : Keunikan wau terus diwarisi



OLEH : NOOR AINULYAKIN MOHAMAD ISHAK


Pernahkah ketika dalam perjalanan menuju ke sebarang destinasi, ada ketikanya mata terpandang sebarang objek di awangan, terbang setempat atau berlegar-legar pabila di tiup angin dengan bentuk unik serta berwarna-warni.

Apabila diamati dengan lebih dekat, dapat dilihat objek tersebut adalah wau yang sedang dimainkan sekumpulan anak muda di tengah padang. Bentuk unik wau dengan warnanya membuatkan mata mahu terus melihat wau tersebut di angkasa.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai wau ini, penulis berkesempatan menemui wakil Persatuan Penggiat Wau Negeri Terengganu, Mohd Khairuddin Saleh baru-baru ini.

Menurutnya, permainan wau ini lebih kurang sama dengan permainan layang-layang dan ia digemari di kebanyakan negeri seperti Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis. Wau dicipta dalam pelbagai bentuk dan mempunyai nama tersendiri seperti wau burung, wau pari, wau katak, wau bayan, wau bulan, wau merak, wau kucing, wau jala budi, wau lenggang kebayan, wau sewah dan wau barat.

“Wau bulan sangat digemari orang Melayu. Reka corak biasanya bermotifkan awan larat dan flora menghiasi wau dihasilkan dan diwarnakan dengan pelbagai warna.

“Selain dijadikan bahan permainan, wau juga menjadi hasil kraf tangan dan hiasan dinding oleh sesetengah penggemarnya,” katanya kepada penulis.

Beliau yang juga mahir melukis corak wau berkata, pada kebiasaannya wau akan dimainkan dua orang iaitu seorang akan memegang wau dan seorang lagi yang dipanggil juru anjung yang memegang tali.

“Apabila angin bertiup maka tali akan ditarik melawan arus angin dengan cara menghulur dan menarik talinya sehinggalah wau tersebut tinggi di udara. Pancaran cahaya matahari akan menambah cantik lagi wau yang berwarna-warni itu.

“Kemahiran memainkan wau ini bergantung kepada keadaan angin dan kebijaksanaan pengemudi mengetahui arah angin agar wau yang dilepaskan bertahan lama di udara,” katanya.

Pemilihan corak

Mohd Khairuddin berkata, tukang wau yang mahir mempunyai cara tersendiri dalam mengukur dan menimbang ketika meraut buluh rangka wau. Petuanya tentulah didapati daripada orang tua dahulu, tetapi kebolehan sebenar adalah diperoleh melalui pengalaman.

“Kemahiran meraut buluh dan memasang rangka wau akan menentukan kecantikan bentuk wau dan disokong dengan teraju yang dipasang dengan tepat.

“Sebelum membuat sebuah wau, pembuat perlu melihat besar mana wau mahu dihasilkan. Seterusnya barulah dipilih buluh sesuai untuk dijadikan rangka agar rangka sesuai dengan besar wau dan boleh bertahan lama di udara,” katanya.

Pengalaman melukis dan memilih warna untuk wau lebih daripada dua tahun dalam persatuan tersebut katanya, membuatkan dirinya secara spontan memilih corak untuk menghasilkan wau.

“Selalunya corak wau berdasarkan motif tumbuh-tumbuhan atau awan larat yang mencerminkan kebudayaan sesebuah negeri atau negara ini.

“Justeru idea pemilihan corak ini perlulah berdasarkan penelitian, sejarah dan pencarian melalui sumber-sumber seperti buku atau internet,” katanya.

Namun kata Khairuddin, bukan mudah untuk menyiapkan sebuah wau yang cantik dan menarik perhatian orang untuk memilikinya jika ilmu wau tidak cukup di dada.

“Jika wau kosong, cara membuatnya lebih mudah dan tidak memakan masa agak lama. Tetapi untuk menyiapkan wau bercorak ada ketikanya memakan masa lebih dua minggu.

“Wau bercorak pada asasnya adalah sama dengan wau kosong cuma penambahan corak pada badan wau membuatkan tempohnya agak lama untuk disiapkan bermula daripada proses melukis, menebuk dan menampal yang penuh dengan kerumitan,” katanya.

Persaingan sihat

Beliau yang beberapa kali menjuarai pertandingan wau berkata, modal menghasilkan sebuah wau boleh mencecah ratusan ringgit mengikut jenis wau dihasilkan dan bahan digunakan.

“Untuk membuat wau bercorak, memerlukan modal RM80 ke atas. Manakala wau kosong ada kalanya hanya bermodalkan RM10 kerana tidak memerlukan bahan dan kerja tangan yang rumit.

“Bahan untuk menghasilkan wau selalunya mesti ada buluh untuk dijadikan rangka wau, benang sebagai tali wau, kertas warna untuk badan wau serta corak, gam, gunting dan penebuk,” katanya.

Mohd Khairuddin menyatakan bahawa permainan wau masih popular dimainkan di Terengganu. Tidak kira dewasa atau kanak-kanak, masih menggemari permainan tradisi ini.

“Permainan wau ini berdasarkan minat seseorang. Kini bukan sahaja penduduk Terengganu yang minat bermain wau, tetapi di negeri lain juga dilihat telah menggemari permainan tradisi ini.

“Malahan ada antara pelancong asing turut minat mengenai keunikan wau yang besar dan cantik buatannya dengan ukiran serta corak flora hasil kreativiti pembuatnya,” katanya.

Beliau menaruh keyakinan bahawa tradisi permainan wau ini mustahil akan pupus kerana generasi kini terutama kanak-kanak mempunyai minat tinggi terhadapnya.

“Selain itu, program yang dianjurkan kerajaan negeri serta pihak tertentu seperti pertandingan wau, dapat menaikkan kembali minat masyarakat mengenai permainan itu.

“Ini secara langsung memberikan persaingan sihat antara penggiat dan peminat wau untuk teruskan kesenian ini di samping memberikan imej baik kepada budaya yang terdapat di negara ini untuk menarik pelancong luar,” katanya.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Komen