Isnin, 14 Mei 2012

ISU SOSIAL : MENINGKATKAN PENGIKTIRAFAN SUARA BELIA


SAIFUDDIN ABDULLAH

15 Mei ialah Hari Belia Negara. Ia disambut setiap tahun dengan pelbagai aktiviti di pelbagai peringkat bagi menyatakan pengiktirafan terhadap belia dan pembangunan belia. Ia juga bertujuan mengiktiraf suara belia. 

Kita mempunyai kerangka pembangunan belia yang komprehensif.

Dari segi organisasi, pada 1948, Majlis Belia Malaysia (MBM) ditubuhkan sebagai badan gabungan kebangsaan bagi persatuan-persatuan belia. Pada 1964, Kementerian Belia dan Sukan (KBS), masa itu Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, ditubuhkan.

Pada 1972, Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) ditubuhkan sebagai forum perundingan rasmi antara MBM mewakili suara belia dan KBS yang mewakili kerajaan. Ketika melancarkannya, Allahyarham Tun Abdul Razak menyifatkannya sebagai “parlimen belia”.

Dari sinilah suara belia diambil kira dalam banyak dasar dan program pembangunan belia sebelum diluluskan Kabinet atau Parlimen. Antara paling penting ialah Dasar Belia Negara (DBN) 1985, yang pada 1997, diganti dengan Dasar Pembangunan Belia Negara (DPBN), dan Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia.

Dari segi kerajaan, di samping KBS, terdapat lebih 10 buah kementerian dan agensi lain yang terlibat dalam mendengar suara belia bagi membangunkan belia. Jalinan kerjasama antara kerajaan dan MBM (serta beberapa jaringan belia yang lain) ini telah dilaksanakan dari peringkat kebangsaan hinggalah ke peringkat akar umbi.

Kerajaan mengiktiraf suara belia. Ini terbukti apabila beberapa dasar dan program kerajaan adalah datang, antara lain, melalui suara belia. Contohnya ialah DBN/DPBN, Universiti Islam, Bank Islam, Skim Rumah Pertamaku dan Dana 1Belia 1Malaysia. Terbaru, ialah pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang membolehkan mahasiswa berpartisipasi dalam politik.

Persoalan berikutnya ialah bagaimana meningkatkan pengiktirafan terhadap suara belia?. Ia wajar dimulakan dengan memperbaharui definisi belia kita kini, iaitu, 15-40 tahun. Definisi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ialah 15-24 tahun.

Semasa mendraf DPBN, saya mencadangkan definisi kita diturunkan, tetapi ditolak. Justeru, saya menyokong cadangan KBS untuk definisi baru, iaitu 15-30 tahun.

Definisi ini digunakan dalam Parlimen Belia. Ia menjadi pentas amat penting bagi perwakilan belia menyuarakan idea, pendapat dan pendirian atas pelbagai isu pembangunan tempatan, negara dan antarabangsa.

Pendidikan politik perlu diwujudkan dalam sistem pendidikan. Contohnya, di sekolah menengah, ialah dengan mengadakan pilihan raya untuk memilih lembaga pengawas. Di IPT, ialah dengan membenarkan mahasiswa menguruskan sendiri pilihan raya kampus.

Suara belia perlu ditingkatkan dalam proses membuat keputusan. Justeru, perwakilannya perlu dilantik Ahli Dewan Negara dan Pihak Berkuasa Tempatan.

Kedudukannya yang sedia ada dalam Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) perlu dibuat berasaskan pemilihan oleh belia dan bukannya lantikan dari atas. Jumlah Ahli Dewan Rakyat berumur belia perlu ditambah.

Kita perlu secara serius memikirkan untuk menurunkan umur layak mengundi dari 21 kepada 18 tahun.

Perkara-perkara lain juga perlu dirancang dan dilaksanakan. Tetapi, pokoknya, semuanya perlu menepati, antara lain, dua pendekatan utama. Pertama, ialah pendekatan “penghakupayaan belia” (youth empowerment). Ia meliputi aspek-aspek partisipasi penuh belia dan perwakilan belia.

Kedua, ialah pendekatan “suara yang bermakna” (voice that matters). Ia meliputi aspek-aspek sumber primari suara, nilai suara, keberkaitan nilai suara dan halangan terhadap suara.

Meningkatkan pengiktirafan suara belia bukanlah mudah, tetapi sekurang-kurangnya kita perlu menyediakan peta jalan yang jelas.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan