Isnin, 25 Jun 2012

ISU BAHASA : Perancis terima pantun



Genre itu senjata budaya dan bahasa Melayu

PANTUN atau dalam bahasa Perancis pantoun, hadir dalam sastera negara itu sejak sekian lama dan ia lebih mudah diterima pembaca Perancis kerana dalam sastera negara itu tiada karya berangkap empat seperti pantun sehingga pengkaji turut berminat membuat kajian serta terjemahan terhadap genre terbabit.

Antara yang memberi tumpuan kepada pantun ialah novelis Henri Fauconnier dan penyelidik Rene Francois Daillie, meskipun kajian tidak dilakukan secara akademik, selain bekas Felo Ecole Normale Supérieure of Paris dan mantan pensyarah sastera bandingan Universiti French West Indies and Guyane, Dr Georges Voisset.

Bekas Pensyarah Sastera Bandingan Universiti French West Indies and Guyane Kesungguhan Dr Voisset dapat dilihat sejak 1993 melalui 12 naskhah buku terjemahan dan kajian yang bukan hanya mengenai pantun, tetapi puisi serta hikayat, dilakukan kerana asas kerja penterjemahan baginya menyeronokkan, malahan teka-teki juga mendapat perhatian daripadanya.

“Pantun adalah khazanah kesusasteraan Melayu yang menarik. Ia bukan sonata yang hadir dalam sastera Inggeris, tetapi memberi kesan besar. Malah jika seseorang itu mahu belajar bahasa Melayu dan mengenali budaya bahasa itu, mereka wajar bermula dengan pantun, apatah lagi dengan sifatnya yang mudah dipelajari dan difahami,” katanya ketika membincangkan Dari Pesisir Dunia: Sastera Bandingan Perancis dan Dunia Nusantara pada Seminar Penterjemahan: Penterjemah dalam kesusasteraan Melayu.

Dalam dunia akademik sastera Melayu Malaysia, nama Dr Voisset popular dan minatnya pada pantun menyaksikan beliau antara pakar akademik di Perancis yang banyak menyelidik pantun sehingga buku terjemahan pantun, Histoire du Genre Pantoun (History of the Pantun Genre) diterbitkan pada 1998.

Beberapa lagi naskhah hasil kesungguhan penyelidikannya yang diterbitkan ialah Pantouns malais (Malay Pantun, 1993), Pantouns malais (2009), Le Chant à quatre mains (The Four - Hand Singing - Pantun and other Love Poems, 2011) dan tahun ini terjemahan Hikayat Sang Kancil susunannya (Contes Sauvages – Les très curieuses histoires de Kancil le petit chevrotain, 2012) diterbitkan.

Dalam mengkaji pantun, tiada ada penyelidik yang dapat lari daripada perbahasan tentang hubungan pembayang dan maksud. Memetik kata Sasterawan Negara Muhammad Hj Salleh selaku moderator majlis tentang Dr Voisset, antara kaedah terjemahan yang dibuat Dr Voisset adalah menuliskan pantun itu ke atas kertas menggunakan simbol grafik. Prinsip terjemahannya daripada lisan kepada sesuatu yang dapat dilihat (visible).

Dr Voisset mengakui pantun membawa persoalan yang puitis, tetapi dalam menterjemahnya ke dalam bahasa Perancis, ia bukan kerja mudah, walaupun rima pantun bersifat ab, ab, tetapi dalam penterjemahan bukan mudah untuk berbuat demikian.

“Kadangkala rimanya akan menjadi ab, ba. Ada juga masalah lain apabila sesetengah perkataan dalam pantun sukar untuk dicari perkataan yang seerti dengannya dalam bahasa Perancis. Misalnya pantun/ Orang berinai berhitam kuku/ Mandi dijirus si air mawar/ Jikalau sampai hasrat hatiku/ Racunku minum jadi penawar.

“Perkataan penawar dan jadi sangat sukar diterjemah. Apatah lagi perkataan jadi kerana apabila diterjemah bukan hanya menterjemahkan perkataan, tetapi pergerakan perkataan itu. Lalu usaha itu mengambil masa. Ada kalanya apabila gagal mencari perkataan yang tepat, perkataan asal dikekalkan,” katanya pada Seminar Penterjemahan: Penterjemahan dalam Kesusasteraan Melayu di Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), baru-baru ini.

Contoh yang diberikan Dr Voisset berhubung perkara ini ialah, /Banyak orang bergelang tangan/ sahaya seorang bergelang kaki/ dan apabila diterjemahkan ke dalam bahasa Perancis, ia jauh sekali menyimpang daripada maksud asal / Baignant dans la fange du fleuve alangui/ Tu Savoures, mon ange de la langue, kakis (...).

Namun, kesukaran menterjemahkan pantun tidak menyebabkan Dr Voisset untuk berhenti separuh jalan kerana sejak jatuh cinta pada pantun dan khazanah sastera Melayu Nusantara hampir 40 tahun lalu ketika berkhidmat di Universiti Singapura, mendorongnya memperluaskan kajiannya kepada genre lain dalam sastera.

“Selain pantun, saya turut menterjemah sajak penyair Malaysia, namun tidak memfokus kepada karya bersifat Malaysia saja. Saya perlu juga menterjemah karya penulis Malaysia yang bersumberkan dunia luar. Misalnya sajak penulis Malaysia mengenai negara lain. Dari situ kita boleh melihat bagaimana orang Malaysia memandang dunia luar,” katanya.

Sumber : http : //www,bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan