Isnin, 25 Jun 2012

ISU PENDIDIKAN : Perkasa kokurikulum pendidikan buka minda



Oleh : SAIFUDDIN ABDULLAH

KELUARAN sistem pendidikan kita menghadapi dua cabaran kualiti yang dipersoalkan masyarakat dan majikan.

Pertama, ialah keperibadiannya, iaitu ciri-ciri psikologikal, spiritual dan intelektual. Kedua, ialah kebolehpasarannya, iaitu kemahiran berkomunikasi, berfikiran kritikal dan bekerja berpasukan.

Semua pihak terlibat dengan pembangunan generasi melakukan pelbagai inisiatif untuk menanganinya. Tetapi, keberhasilannya belum jelas.

Sebab utamanya ialah kita tidak menyelesaikan perkara asas. Jadi, kita mesti kembali kepada asas. Satu daripadanya ialah memperkasa kokurikulum.

Matlamatnya supaya pendidikan benar-benar bersepadu dan seimbang antara kurikulum dan kokurikulum, supaya memenuhi matlamat sebenar pendidikan, iaitu melahirkan insan yang baik.

Kini, untuk kemasukan IPTA, pemberatan kurikulum dan kokurikulum ialah nisbah 90:10. Ia perlu diubah menjadi nisbah 70:30. Ia perlu diterima pakai semua peringkat, iaitu penaksiran prestasi pelajar sekolah dan IPT, syarat kemasukan semua IPT dan pengambilan pekerja semua sektor.

Universiti terkemuka dunia memberikan pemberatan yang seimbang (lebih daripada 10 peratus) terhadap kokurikulum yang punya ciri-ciri, yang disebut Profesor Universiti Harvard, Henry Rosovsky, dalam bukunya The University: An Owner’s Manual, sebagai subjektif, kualitatif dan tak-kuantitatif.

Menurut Richard Bradley dalam bukunya Harvard Rules, untuk memasuki Harvard, di samping akademik, calon perlu mempunyai pengalaman, contohnya, kesenian, kesukanan atau keusahawanan yang bertaraf dunia.

Maksudnya, sekadar mewakili sekolah tidak memadai. Kata Profesor Harvard, Harry R. Lewis dalam bukunya Excellence Without A Soul, penglibatan dalam kokurikulum yang seimbang tidak menggugat prestasi akademik. Hakikatnya mereka yang cemerlang dalam pelbagai bidang adalah mereka yang aktif dalam kokurikulum ketika pendidikan formalnya.

Justeru, kita perlu membina budaya kokurikulum yang kondusif. Untuk itu, beberapa perkara perlu dilakukan, iaitu: - Matlamat yang jelas, iaitu melahirkan pelajar berperibadi bersepadu dan unggul melalui kokurikulum yang pelbagai, mengikut minat dan pilihan pelajar, sistematik dan profesional (termasuk penilaian dan akreditasi).

Ia dilaksanakan bukan sebagai tempelan, tetapi sebagai arus perdana institusi berkaitan (bersama matlamat, semangat dan tradisinya).

- Objektif yang khusus, misalnya, penghayatan budaya kokurikulum yang sihat dan konsisten; memperkukuhkan pengurusan, kejurulatihan, penasihatan, kepemimpinan dan keanggotaan organisasi; meningkatkan kefahaman, komitmen dan profesionalisme; menjadikan pelajar mahir bidang; dan memperbanyakkan kemenangan.

- Selaras dengan pemikiran progresif kontemporari dalam pelbagai bidang seperti pendidikan, undang-undang, ekonomi, politik dan sebagainya.

- Kerangka governans kokurikulum yang melibatkan semua pihak berkepentingan, seperti Naib Canselor/pengetua/ guru besar, pensyarah/pegawai/ guru penasihat, jurulatih, PIBG, alumni, perniagaan, masyarakat sivil dan pelajar.

- Kepemimpinan institusi, seperti Naib Canselor/pengetua/ guru besar memotivasikan, iaitu dengan menyediakan peluang yang secukupnya dan mengelakkan halangan yang melingkupkannya.

- Organisasi kokurikulum yang sesuai. Keanggotaan terbuka dan tidak dihadkan kepada yang berbakat atau wakil institusi sahaja. Di sekolah, sebaik-baiknya mengikut sistem rumah.

- Pensyarah/ pegawai/ guru penasihat yang komited disediakan motivasi yang setimpal dalam penilaian, kenaikan pangkat dan sebagainya.

- Jurulatih yang baik. Dalam keadaan tertentu, ia mungkin datang dalam kalangan ibu bapa atau alumni. Jika perlu, ia diambil dalam kalangan profesional.

- Penasihat teknikal daripada kalangan ibu bapa, alumni dan masyarakat sivil yang berkemahiran.

- Pengurusan organisasi kokurikulum hendaklah dijalankan oleh pelajar dan bukannya oleh pensyarah/ pegawai/guru. Ia mesti dilaksanakan atas konsep penghakupayaan pelajar. Barulah partisipasi pelajar meningkat realiti dan kualitinya.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan