Khamis, 28 Jun 2012

ISU PENGAJIAN TINGGI : Gender bukan penanda aras



Oleh Ruhaiza Rusmin
Masalah awal sesuai diri

KADANG kala pilihan dibuat pelajar untuk melanjutkan pengajian jauh melencong dari tanggapan awal menyebabkan kegusaran ibu bapa.

Sementelah lagi, pilihan itu menjurus kepada pengajian lebih didominasi pelajar berlawanan gender yang lebih sesuai mengikutinya.

Pilihan pengajian berlawanan arus normal itu juga seperti isyarat mereka hanya memperjudikan masa depan memegang gelaran mahasiswa minoriti.

Persoalannya, benarkah gender menjadi isu utama perlu dipertimbangkan sebelum meneruskan langkah seterusnya? Atau adakah ia tidak memberi apa-apa kesan?

Fellow Kanan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Madya Dr Sharifah Meriam Syed Akil berkata, gender bukan penanda aras kemampuan mahasiswa dalam pengajian diikuti.

Sebaliknya, kelompok itu dikategorikan istimewa kerana mempunyai visi tersendiri merencanakan masa depan dengan mengetepikan isu gender bagi mengikuti program didominasi mahasiswa majoriti.

“Isu gender dalam program tertentu bukan perkara baru sebaliknya sudah lama. Bagaimanapun saya percaya ia bukan lagi isu kerana dunia pendidikan sudah berubah.

“Konsep dunia pendidikan moden memberi dan membuka seluas-luasnya peluang kepada sesiapa saja mengikuti pengajian bersesuaian minat, cita-cita dan perancangan.

“Malah, kelompok ini mengagumkan kerana ada keberanian memilih program menentang arus gender mereka. Berada dalam kelompok minoriti bukan masalah besar,” katanya.

Masyarakat era lama pasti menggeleng kepala jika ada di kalangan mahasiswa lelaki mengambil kursus bersifat feminin seperti chef atau kesetiausahaan manakala perempuan memilih pengajian kejuruteraan, automotif dan juruterbang.

Ia seperti menghilangkan jati diri serta menjatuhkan taraf biarpun pengajian diikuti menawarkan prospek kerjaya lebih luas.

Bagaimanapun, perubahan masa menyebabkan isu gender dianggap sebagai alasan terakhir dalam pemilihan kursus kini.

Apatah lagi sistem pendidikan negara memberi peluang sama rata kepada sesiapa saja.

Akuinya, mahasiswa negara ini bertuah kerana gender bukan isu utama berbanding negara luar.

“Ini menjadikan mereka tiada peluang meneroka aspek yang didominasi gender tertentu.

“Pembabitan mahasiswa tidak lagi menjadi buah mulut orang seperti dulu. Ini satu transformasi pendidikan yang sangat nyata terutama menyediakan aliran pekerja boleh menerokai pelbagai cabang kerjaya,” katanya.

Bagaimanapun beliau mengakui mahasiswa minoriti perlu mempunyai kekuatan diri maksimum bagi membuktikan kebolehan masing-masing.

Menurutnya, ini bertujuan mengelak mereka mudah diperlekehkan atau patah semangat di peringkat awal pengajian.

“Mahasiswa minoriti tidak dapat lari daripada tekanan, kebolehan sering dipertikaikan malah perlu kuat mempertahan emosi sepanjang pengajian.

“Dalam kursus didominasi lelaki misalnya, kudrat perempuan pasti terbatas secara fizikal biarpun bukan sepenuhnya. Tapi mereka tetap boleh setanding dalam aspek lain seperti akademik.

“Begitu juga sebaliknya, masing-masing ada keistimewaan dan kelemahan namun bila digabungkan dalam senario tertentu, ia akan mencetuskan hasil menakjubkan,” katanya.

Kursus seperti chef membuktikan lelaki boleh mendominasi peluang pekerjaan yang dulunya dilakukan wanita di dapur.

“Sekarang chef terbaik di dunia adalah lelaki. Ironinya, konsep pendidikan bukan hanya tertumpu pada keutamaan gender tapi semangat untuk berjaya,” katanya.

Bagaimanapun beliau mengakui mahasiswa lelaki mengambil masa menyesuaikan diri untuk mengikuti pengajian berbanding perempuan.

Menurutnya, psikologi lelaki yang lebih praktikal menjadikan mereka sukar menyesuaikan diri dalam kelompok berlainan gender pada peringkat awal.

“Berdasarkan pengalaman, mahasiswa lelaki biarpun tidak bermasalah mengikuti program namun ada kesulitan menyesuaikan diri dalam aspek pergaulan.

“Berbanding perempuan, mereka mampu menyesuaikan diri dalam tempoh singkat. Bagaimanapun, situasi itu bukan mempengaruhi kemampuan masing-masing malah pada satu tahap, kemampuan mereka akan seiring.

“Lebih utama ialah belajar kemudian cipta kejayaan. Itu lebih utama,” katanya.

Beliau turut menafikan gaya maskulin atau feminin pelajar akan tercalar apabila mengikuti jurusan berlainan gender.

“Saya tidak bersetuju apabila masyarakat mengatakan ia penyebab mahasiswa berubah perwatakan. Semua bergantung pada pembawaan dan prinsip diri masing-masing.

“Mereka tidak kelihatan canggung sebaliknya dapat belajar dengan baik. Pada saya, ia bukan satu masalah.

“Yang penting bagaimana kita mahu memberi dorongan kepada mereka untuk terus belajar dan menamatkan pengajian. Tidak perlu persoalkan perkara remeh-temeh,” tegasnya.

Sumber :  http : //www.hmetro.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Komen