Rabu, 25 Julai 2012

ISU ALAM SEKITAR : Kerajaan cari jalan cegah kegiatan 'biopiracy'



KUALA LUMPUR - Kerajaan sedang mengadakan konsultasi dengan pelbagai pihak bagi mencegah kegiatan 'biopiracy', iaitu satu kegiatan yang mana pihak tertentu membawa keluar sumber biodiversiti tempatan tanpa kebenaran sehingga merugikan negara.

Timbalan Setiausaha Bahagian Pengurusan Biodiversiti dan Perhutanan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, K. Nagulendran berkata kegiatan itu bukan sahaja berlaku secara fizikal tetapi juga etnologikal iaitu melalui ilmu tradisional dan amalan rakyat tempatan.

"Kami ada satu contoh di Sarawak yang mana saintis Amerika mendapatkan pengetahuan daripada Orang Asli mengenai sebatang pokok dan menghasilkan produk daripada pokok tersebut. Pada masa ini ujian klinikal dilakukan terhadap pokok itu, kemungkinan untuk anti HIV.

"Jadi semua ini (produk biodiversiti) mempunyai potensi...yang penting ialah ilmu tradisi yang ada pada masyarakat pribumi kita perlu dijaga dengan baik," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada sesi konsultasi dengan masyarakat Orang Asli, komuniti setempat dan badan bukan kerajaan mengenai draf Rang Undang-Undang Sumber Biologi dan Perkongsian Faedah (RUU ABS) di sini, hari ini.  

Sesi konsultasi itu dipengerusikan Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Tan Sri Joseph Kurup yang turut menjangkakan bahawa RUU ABS yang antara lain, objektifnya mencegah kes 'biopiracy', sedia dibentangkan di Dewan Rakyat pada sesi akan datang.

Nagulendran berkata sebelum ini hanya ada garis panduan daripada Unit Perancang Ekonomi yang mengenakan syarat kepada penyelidik luar untuk mengisi borang tertentu terlebih dahulu sebelum melakukan penyelidikan.

"Dan mereka juga perlu maklum kepada kerajaan apa sahaja yang mereka keluarkan daripada negara. Ini hanya garis panduan, bukan undang-undang, kami khuatir ada benda yang keluar dari negara tanpa kebenaran," katanya.

Namun begitu, beliau berkata tiada rekod yang tepat mengenai jumlah kes 'biopiracy' kerana tiada pihak berkuasa dan agensi yang memantau.

"Terus terang kami hanya tahu perkara ini berlaku namun tidak tahu berapa jumlah kes...kami berharap dengan undang-undang ini dan masyarakat telah melihat nilai biodiversiti, mungkin akan ada pihak berkuasa berwibawa yang akan memantau  kes-kes seumpama itu," katanya.

Terdahulu semasa berucap, Kurup berkata ketiadaan pusat-pusat pemeriksaan tambahan dengan kemudahan dan teknologi moden terkini turut memudahkan akses dan pengeluaran sumber berkenaan dilakukan.

Katanya antara negara yang aktif mencegah kegiatan 'biopiracy' pada masa ini ialah India dan Filipina. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan