Rabu, 25 Julai 2012

ISU PENDIDIKAN : #7030 membina generasi bersepadu


Oleh : SAIFUDDIN ABDULLAH

#7030 adalah cadangan nisbah 70 peratus akademik : 30 peratus kokurikulum dalam sistem pendidikan dan latihan (sekolah, IPT dan institusi kemahiran) untuk menggantikan nisbah 90:10 yang diamalkan sejak pertengahan tahun 2000. Ketika 90:10 diumumkan, saya menyokongnya, tetapi menyatakan bahawa nisbah lebih tepat ialah 70:30.

Menurut Falsafah Pendidikan Negara, matlamat pendidikan ialah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepada kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan; dan melahirkan rakyat yang berilmu, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.

Untuk merealisasikannya, ia memerlukan strategi yang benar-benar bersepadu dan holistik, termasuk keseimbangan antara akademik dan kokurikulum. 90:10 adalah permulaan baik.

Kini, langkah-langkah KPM, contohnya, pentaksiran berasaskan sekolah dan 1Murid 1Sukan; dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) melaksanakan Dasar Sukan IPT, modul kemahiran insaniah dan kokurikulum berkredit adalah penambahbaikan yang sesuai.

Namun, di sebalik segala usaha tersebut, sistem pendidikan dan latihan kita masih menghadapi banyak cabaran menggusarkan. Dari satu segi, keperibadian generasi muda dipersoalkan psikologikal, spiritual dan intelektualnya, hingga kita seakan-akan menghadapi “generasi terhilang”. Dari segi yang lain pula, kebolehasarannya, iaitu tentang kemahiran berkomunikasi, berfikiran kritikal dan bekerja berpasukan dipersoalkan, sedangkan kita memerlukan “generasi terbilang”.     

Faktor yang mengakibatkan masalah ini pelbagai. Tetapi, faktor utamanya ialah soal kelemahan, kekangan dan pengiktirafan yang dihadapi kokurikulum. Oleh sebab pemberatannya sekadar 10 peratus sahaja, maka, walau sebaik mana pun ia dilaksanakan, namun, ia tidak dapat membuahkan keberhasilan yang diidamkan.

Dari satu sudut, ada pihak berkepentingan (pelajar/pelatih, ibu bapa, guru/pensyarah/jurulatih, alumni, masyarakat sivil, perniagaan) menganggap kokurikulum tidak penting. Ia dianggap tempelan sahaja. Keterlibatan tidak serius atau berterusan.

Tiada budaya kokurikulum yang kondusif. Yang kurang bakat pun diangkat. Akhirnya, walaupun dibuat seperti melepaskan batuk di tangga sahaja, tetapi, dek kerana kokurikulum dikira 10 peratus sahaja, mereka dapat juga menaiki tangga pendidikan, latihan, jawatan dan sebagainya. 90:10 menyelamatkannya. 

Sebaliknya, di sudut lain, ada pihak berkepentingan menganggap kokurikulum amat penting. Ia dianggap integral. Keterlibatannya serius dan berterusan. Budaya kokurikulum yang kondusif diwujudkan. Yang berbakat diangkat.

Tetapi, malangnya, di sebalik segala kesungguhan dan pengorbanannya, dek kerana kokurikulum dikira 10 peratus sahaja, mereka dapati segala titik peluh itu tidak berbaloi. 90:10 menghukumnya.

Sebab itu pemberatan kokurikulum mesti ditingkatkan kepada 30 peratus. Supaya memberi pengiktirafan dan motivasi yang sewajarnya. Supaya Falsafah Pendidikan Negara direalisasikan dengan optimum.

Budaya kokurikulum yang baru dan kondusif perlu diwujudkan. Ia meliputi pindaan perundangan dan peraturan sedia ada, mewujudkan kerangka governans yang melibatkan semua pihak berkepentingan, pengukuhan matlamat dan objektif, pandangan alam dan pemikiran progresif, sistem, motivasi, organisasi, penasihat, jurulatih, teknikal dan penghakupayaan pelajar.

Sebenarnya, universiti-universiti terbaik dunia memberikan pemberatan yang besar terhadap kokurikulum. Untuk memasukinya, calon perlu mempunyai pengalaman, contohnya, kesenian, kesukanan atau keusahawanan yang bertaraf dunia. Sekadar mewakili sekolah tidak memadai. Pemberatan kokurikulum jauh melewati 10 peratus, malah menghampiri 50 peratus.

Pada realitinya pula, dunia kerjaya, perniagaan dan sebagainya memberi tumpuan dan imbuhan tinggi terhadap kokurikulum. Mereka yang cemerlang dalam pelbagai bidang adalah mereka yang aktif kokurikulum.  

Justeru, masanya telah tiba untuk kita melaksanakan #7030.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Komen