Jumaat, 13 Julai 2012

ISU BAHASA : Audit bahasa Melayu cabaran baru DBP


Oleh : Imlan Adabi

Masalah boleh diselesaikan jika kerajaan berazam tingkatkan citra Malaysia

Syabas Dr Awang Sariyan kerana mengotakan janji yang dibuatnya Februari lalu untuk mengaudit penggunaan bahasa Melayu di jabatan kerajaan.

Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) memaklumkan proses audit bahasa kebangsaan di Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menjelang akhir tahun ini, dengan menempatkan kakitangan bagi memeriksa dokumen rasmi jabatan terbabit.

Laporan audit terbabit akan dikeluarkan bagi membolehkan tindakan selanjutnya diambil dalam usaha meningkatkan tahap penggunaan bahasa kebangsaan di agensi yang dikesan masih belum menepati piawaian ditetapkan.

Malah, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut menegaskan usaha memartabatkan bahasa Melayu akan dilakukan di Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mulai Disember, dengan mengaudit semua tindakan dan aktiviti untuk melihat sejauh mana badan kerajaan itu mengguna pakai bahasa Melayu.

Untuk tujuan ini, beliau berkata, pelbagai pekeliling dikeluarkan oleh JPA termasuk yang terbaru Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 9 Tahun 2011 mengenai panduan penggunaan bahasa Kebangsaan dalam Perkhidmatan Awam.

Kita harap isu bahasa boleh diselesaikan jika kerajaan berazam untuk meningkatkan citra Malaysia. Sebelum ini isu bahasa bermasalah kerana pimpinan politik tidak tegas. Kita harap ia tidak berulang walaupun pelbagai kempen pernah dilaksanakan. Lebih malang apabila kementerian, jabatan dan agensi kerajaan sebelum ini tidak menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya.

Audit bahasa tindakan terbaik

Keadaan ini berpunca sikap pegawai atasan dan penjawat awam yang tidak memahami atau terlepas pandang Dasar Bahasa Kebangsaan yang turut disokong Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Dasar Kebudayaan Kebangsaan.

Setakat ini ada beberapa kementerian, jabatan dan agensi kerajaan mencapai tahap 80 hingga 90 peratus penggunaan bahasa Melayu dalam semua dokumen rasmi.

Memang diakui mengauditkan penggunaan bahasa Melayu tindakan terbaik tetapi mampukah DBP berdepan kerenah birokrasi? Mampukah DBP menegur pemimpin yang bertutur dan menulis dalam bahasa penjajah?

Sehingga kini DBP tidak mempunyai kuasa undang-undang untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang tidak mendaulatkan bahasa Melayu.

DBP hanya sekadar bersuara, memberi nasihat dan memantau tanpa kuasa penguatkuasaan, justeru lahirlah nama taman perumahan berbaur bahasa asing.

Ketika pembinaan Putrajaya pun, DBP tidak dirujuk untuk menggunakan perkataan ‘presint’ yang langsung tiada kaitan unsur tempatan.

Penulis yakin DBP tidak dirujuk ketika syarikat kereta nasional ditubuh pada 1985. Justeru, lahirlah Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd dan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd yang menggunakan ejaan ‘otomobil’ bukan automobil.

Isu pengabaian bahasa Melayu pernah dipersendakan apabila tema Hari Kebangsaan pada 1996 yang bermakna ‘lesu’, ‘longlai’ atau ‘tidak bermaya’. Ungkapan ‘Budaya Penentu Kecapaian’ menjadi sebutan ramai, walaupun perkataan ‘kecapaian’ membawa makna negatif.

Isu kecapaian

Begitu juga slogan sambutan Maal Hijrah pada tahun sama yang berbunyi ‘Budaya Murni Teras Kecapaian’ yang langsung tidak menepati konsep hijrah itu sendiri. Bayangkan ungkapan yang salah itu diulang berkali-kali dalam kalangan masyarakat ketika sambutan diadakan. Kasihan murid dan pelajar kerana keliru memahami ‘kecapaian’.

Hari ini setengah bilion penutur bahasa Melayu bertebaran dari Asia Pasifik hingga ke Afrika Selatan. Tanpa sedar pengguna bahasa Melayu merata di perairan Selat Melaka, Laut China Selatan, Teluk Siam, Selat Sunda hingga ke Afrika dengan pelbagai pengubahsuaian dan penerapan nilai setempat.

Bagaimanapun kita masih pasrah dengan kesilapan melampau. Apakah masalah sikap atau pihak tertinggi yang kurang tegas dalam isu bahasa, seperti juga longlai dalam isu novel Interlok angkara hasutan pihak lain? Ada ketika politik mengatasi isu bahasa dan sastera.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan