Jumaat, 13 Julai 2012

ISU BAHASA : DBP disaran kendali ujian kecekapan BM


MUAR - Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) disaran supaya mewujudkan sebuah badan bagi mengendalikan ujian tahap kecekapan Bahasa Melayu serta mengeluarkan sijil perakuan kepada pelajar dari negara luar yang berminat mempelajari bahasa itu.

Pengerusi Institut Terjemahan Buku Malaysia (ITBM), Datuk Dr Shahruddin Mat Salleh berkata, selain dapat mengembangkan penggunaan Bahasa Melayu di peringkat antarabangsa, ia juga boleh membantu agensi kerajaan yang membuka pejabat di luar negeri mendapatkan khidmat tenaga luar yang fasih berbahasa Melayu.

"Badan itu dengan bantuan pakar-pakar Bahasa Melayu boleh merangka satu kertas peperiksaan yang perlu dilalui oleh mana-mana calon rakyat asing.

"Mereka yang lulus dan mendapat sijil pengiktirafan boleh diambil bekerja misalnya di pejabat-pejabat Kementerian Perdagangan Antarabangsa atau kaunter-kaunter hadapan pusat jualan tiket perkhidmatan penerbangan Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) dan lain-lain lagi," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dr Shahruddin yang baru kembali dari lawatan untuk meninjau pengajaran Bahasa Malayu di Tokyo University Of Foreign Student, berpendapat jika saranan itu diterima, Bahasa Melayu yang mula menarik minat pelajar luar negeri akan berkembang lebih pesat.

Lagi pun menurutnya, sudah sewajarnya badan seumpama itu diwujudkan memandangkan terdapat lebih 300 juta penduduk dunia yang bertutur dalam Bahasa Melayu.

Beliau berkata, masyarakat antarabangsa pula akan merasakan penguasaan bahasa tersebut menjadi lebih penting terutama untuk menembusi pasaran di negara yang rakyatnya bertutur dalam Bahasa Melayu.

Mengenai perkembangan Bahasa Melayu di Tokyo University Of Foreign Student, beliau berkata pengajian Bahasa Melayu di universiti itu amat membanggakan.

"Mereka boleh bertutur dalam Bahasa Melayu tahap tinggi dengan baik dan kebolehan mereka ini telah membantu mengakrabkan hubungan dengan pelajar Melayu yang menuntut di Jepun yang juga boleh bertutur dalam bahasa Jepun.

"Ketika bergaul, mereka begitu mesra dan bercakap dalam Bahasa Melayu yang kadang kala diselang-seli dengan bahasa Jepun," katanya. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan