Khamis, 5 Julai 2012

ISU EKONOMI : Cerminan hidup lebih berkualiti


TAN SRI NOR MOHAMED YAKCOP

Masyarakat Malaysia kini menikmati hidup yang serba moden, canggih dan selesa dalam arus kesibukan kota. Walau bagaimanapun, agak menarik untuk diamati bahawa ramai dalam kalangan masyarakat kini mula bergerak mengikut arus peredaran masa dari cara kehidupan serba ringkas di kampung ke kehidupan generasi moden.

Senario ini dengan sendirinya, menceritakan sebahagian daripada kisah kejayaan masyarakat Malaysia hari ini. Seperti apa yang selalu digambarkan oleh Datuk Lat, suatu ketika dulu kualiti kehidupan di kampung agak berbeza.

Secara amnya, rata-rata masyarakat di kampung berpuas hati dengan kehidupan yang ringkas, umpamanya, walaupun terpaksa berjalan kaki ke sekolah di bawah terik mentari dan deraian hujan, namun mereka akur dengan keadaan seadanya. Sungguhpun tidak kaya, namun makanan sentiasa ada. Walaupun hanya mempunyai alat mainan yang tidak secanggih mana dan ada kalanya mainan buatan sendiri, mereka tetap gembira.

Mungkin ketika itu, kualiti kehidupan di kampung berasaskan sumber pertanian adalah mencukupi, harapan masyarakat pada masa itu rendah, ruang lingkup pula terhad, namun sekiranya masyarakat masih kekal berpuas hati dengan kehidupan sebegini, Malaysia tidak akan maju sebagai entiti ekonomi yang berjaya pada hari ini, justeru kualiti hidup masyarakat tidak akan sebaik sekarang.

Kini, masyarakat berpeluang membaca Laporan Indeks Kualiti Hidup yang menyatakan bahawa Malaysia mencatatkan perkembangan yang kukuh secara berterusan. Satu kemajuan yang semestinya dirasai oleh semua rakyat negara ini. Hakikatnya di sebalik laporan ini adalah kejayaan pelaksanaan dasar yang mantap dan berani yang mempertingkatkan kehidupan masyarakat ke tahap ini. Dasar ini juga yang memajukan masyarakat menjadi lebih progresif.

Pada 1970, kerajaan menetapkan hala tuju baru bagi kemajuan ekonomi menerusi pengenalan Dasar Ekonomi Baru (DEB). DEB merupakan tindak balas segera bagi menangani keperluan mendesak pada ketika itu, namun pelaksanaannya tepat pada masanya dan berpandangan jauh. Pada 1991, Wawasan 2020 diperkenalkan. Bagi majoriti rakyat Malaysia, ia adalah satu fantasi, tetapi kepada pemimpin negara, ia adalah satu agenda ke arah mencapai impian negara.

Pada 2010, kerajaan membuat satu lagi inovasi penting ke arah mencapai negara maju berpendapatan tinggi menerusi Model Ekonomi Baru (MEB). Susulan daripada itu, agensi khusus diwujudkan untuk merancang dan melaksanakan pelbagai perubahan sebagai sebahagian daripada program transformasi negara. Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) merupakan strategi bersepadu untuk memacu pertumbuhan negara ke arah mencapai matlamat Wawasan 2020.

Persoalannya di sini, apakah kaitan semua ini dengan kualiti kehidupan masyarakat? Dalam tempoh pasca kemerdekaan sebelum 1970, kadar kemiskinan dan pengangguran menunjukkan angka yang tinggi dalam kalangan penduduk yang semakin bertambah.

Walaupun terdapat pelaburan besar dalam bidang pendidikan, kesihatan dan infrastruktur asas, namun tumpuan kepada satu dimensi ini terbukti masih belum mencukupi untuk meningkatkan taraf hidup rakyat. Kerajaan sedar bahawa parameter lain yang bukan bersifat ekonomi perlu diambil kira dalam proses membina sebuah negara, jika negara inginkan pembangunan yang mampan.

Sejak 1970, kerajaan melaksanakan pelbagai program mega dan berimpak tinggi untuk mengubah status sosial dan ekonomi rakyat.

Ini bertujuan mengimbangi penyertaan pelbagai kumpulan dalam ekonomi dan menggalakkan pertumbuhan ekuiti dalam konteks pembangunan ekonomi serta dasar yang menyokong perniagaan.

Hasilnya, sub-indeks Pendapatan dan Pengagihan Kualiti Hidup Malaysia bertambah baik dengan ketara. Kadar kemiskinan berkurangan daripada 75.0 peratus pada 1957 kepada 49.3 peratus pada 1970 dan hanya 3.6 peratus pada 2010 manakala kadar kemiskinan tegar hampir dapat dibasmi sepenuhnya.

Kini, Malaysia merupakan negara perindustrian. Berdasarkan Laporan Tahunan IMD World Competitiveness Yearbook, 2012 Malaysia menduduki tangga ke-14 daripada 58 negara, manakala Laporan World Bank Ease of Doing Business, 2012 menunjukkan Malaysia berada di kedudukan ke-18 daripada 183 negara.

Dari aspek pendidikan pula, World Economic Forum melaporkan Kualiti Pendidikan Sekolah Rendah Malaysia berada di kedudukan ke-21 daripada 142 negara. Ini merupakan pencapaian memberangsangkan dan di luar jangkaan.

Mulai pertengahan 1990-an, kerajaan memperuntukkan sekurang-kurangnya satu per lima daripada perbelanjaan pembangunan negara kepada sektor pendidikan dan latihan kerana Kerajaan yakin bahawa ilmu merupakan kunci kepada pendapatan rakyat yang lebih baik.

Ini terbukti benar kerana kadar celik huruf di Malaysia yang meningkat melebihi 93 peratus telah membolehkan tenaga kerja lebih mudah dilatih dan mempunyai kebolehpasaran yang tinggi. Walau bagaimanapun, tidak dinafikan kualiti pendidikan masih perlu ditambah baik dan ini adalah fokus kerajaan ketika ini.

Bagi tujuan ini, kerajaan sentiasa memastikan pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang berpeluang melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi.

Antaranya, Program Peneraju Tunas Potensi diperkenalkan untuk menyediakan lebih banyak peluang kepada pelajar berpotensi daripada golongan berpendapatan rendah serta hidup dalam persekitaran mencabar, yang memperolehi keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) cemerlang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah.

Pada tahun ini, 225 orang pelajar bumiputera ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran mereka di peringkat pra-universiti, A-level, International Baccalaureate dan ijazah di bawah program ini.

Pembangunan modal insan adalah elemen penting ke arah menjadi sebuah negara yang maju. Menyedari kepentingan menguasai ilmu pengetahuan untuk merubah negara menjadi maju dan progresif, Malaysia menyediakan pendidikan universal kepada semua rakyat di peringkat rendah dan menengah.

Pelaburan dalam modal insan membantu mengurangkan kadar kemiskinan dan ketaksamarataan, yang seterusnya membolehkan mobiliti sosial yang lebih luas dan kualiti hidup lebih baik kepada rakyat.

Jadi, tidak hairanlah sub-indeks pendidikan mencatatkan pertumbuhan tertinggi berbanding semua komponen dalam kualiti hidup.

Dalam pada itu, kerajaan menubuhkan Talent Corp. yang berperanan sebagai focal point bagi isu-isu berkaitan bakat. Ia juga merupakan pengantara bagi sektor swasta dan agensi kerajaan untuk menambah baik dasar berkenaan di samping memberi tumpuan kepada usaha mewujudkan jalinan kerjasama dengan majikan untuk mengambil dan membangunkan bakat terbaik.

Kerajaan juga sentiasa menyokong pembangunan dan kemajuan serta penglibatan wanita dalam aktiviti sosial dan ekonomi, bukan sahaja di peringkat nasional malah antarabangsa.

Hari ini, terdapat lebih ramai wanita tampil sebagai ahli politik, pentadbir dan pengurus yang mahir dalam semua bidang utama sosio-ekonomi, termasuk pendidikan, kesihatan, dan dalam sektor korporat dan awam. Bilangan wanita yang berpendidikan sehingga peringkat universiti telah melebihi lelaki.

Ini tidak menghairankan kerana dasar pendidikan Malaysia adalah neutral tanpa mengira jantina. Di samping itu, peratusan bilangan wanita sebagai eksekutif perniagaan di Malaysia adalah lebih besar berbanding dengan beberapa negara di Eropah atau Asia Barat.

Peluang wanita di Malaysia adalah lebih banyak berbanding kebanyakan negara yang mendakwa golongan wanita di negara mereka lebih diberi kebebasan hak dan pengiktirafan yang sama rata.

Penulis ialah Menteri Di Jabatan Perdana Menteri / Unit Perancangan Ekonomi

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan