Khamis, 5 Julai 2012

ISU SOSIAL : Menghindar jenayah tempat letak kereta


Oleh : Akhbar Satar

Pusat beli-belah perlu aktif anjur kempen keselamatan kepada pengunjung

KES jenayah di kawasan letak kereta pusat beli-belah kini amat membimbangkan. Semakin ramai pengunjung berasa tidak selamat apabila berada di kawasan ini. Oleh itu, ia memerlukan sesuatu tindakan pantas dan berkesan bagi mengatasi masalah berkenaan.

Jenayah di tempat letak kereta membabitkan pecah kereta, mencuri, vandalisme, ragut, rompak, samun, culik, rogol dan pembunuhan. Kajian menunjukkan 80 peratus jenayah di pusat beli-belah berlaku di kawasan letak kereta, terutama di tempat tertutup. Adalah wajar pemilik pusat beli-belah peka dan mengambil berat keselamatan pengunjungnya dan memastikan mereka sentiasa dalam keadaan selamat, terutama apabila berada di kawasan tempat letak kereta.

Wanita adalah mangsa utama penjenayah di tempat letak kereta. Penjenayah memilih wanita kerana mereka selalunya tidak melawan dan risiko penjenayah ditangkap agak rendah. Penjenayah kini bijak memilih mangsa selain melihat risiko ditahan. Mereka mempelajari teknik dan taktik terkini menerusi internet atau di televisyen.

Di Barat, sebelum sesuatu bangunan dibina termasuk penyediaan tempat letak kereta, biasanya jurubina mendapatkan pandangan daripada pakar ‘Environmental Criminologists’ bagi mengurangkan jenayah dan dapat menjamin keselamatan pengunjungnya.

Kebanyakan jenayah di kawasan tempat letak kereta berpunca daripada peluang untuk melakukannya. Sebagai contoh, kombinasi peluang yang mengundang berlakunya jenayah adalah ada tempat untuk bersembunyi dan kawasan gelap.

Pengurusan pusat beli-belah perlu memberi perhatian terhadap pencahayaan yang baik di kawasan tempat letak kereta, terutama di kawasan tersorok dan sunyi. Kebanyakan pusat beli-belah tidak menyediakan lampu terang di tempat letak kereta.

Kebanyakan pusat beli-belah menyediakan pengawal keselamatan tidak kompeten, tidak terlatih ditambah burukkan lagi apabila mereka ini kurang pasti apa tugas mereka sebenarnya.

Sudah sampai masanya pengawal keselamatan dipilih daripada kalangan lebih kompeten supaya mereka dapat menjalankan tugas dengan baik. Ketiadaan rondaan berkala dan sistematik oleh pengawal keselamatan juga menggalakkan penjenayah melakukan jenayah sewenang-wenangnya.

Cuma ada beberapa pusat beli-belah di sekitar Petaling Jaya yang dimiliki pelabur asing mempunyai pengawal keselamatan yang baik. Ada rondaan dilakukan (berbasikal atau berjalan kaki) menyebabkan penjenayah berfikir dua kali sebelum bertindak menyerang mangsa. Penjenayah akan lari ke tempat lebih selamat dan mudah meloloskan diri jika menghadapi kesulitan. Pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di tempat letak kereta adalah baik.

Kebanyakan pusat beli-belah memasang CCTV tetapi malangnya ia tidak mengikut prosedur keselamatan ditetapkan. CCTV dipasang berkualiti rendah, tiada penyelenggaraan, kadangkala rakaman tidak dibuat menyebabkan sukar bagi pihak polis mengambil tindakan.

Yang lebih menyedihkan, pengawal keselamatan yang diberi tugas untuk memerhati di dalam bilik CCTV, tidak tahu apa yang patut mereka lihat. Mereka tidak diberi latihan mencukupi dan kadangkala tidak dapat mengenal pasti orang yang berada dalam keadaan mencurigakan berdasarkan gerak-geri seseorang.

Tukang cuci adalah orang penting yang sentiasa berada di setiap kawasan, mereka boleh membantu mengesan pengunjung mencurigakan. Biasanya mereka juga dibekalkan alat perhubungan dan boleh digunakan untuk melaporkan kepada pihak keselamatan jika ada kejadian tidak diingini dan mereka boleh dijadikan sebagai mata dan telinga untuk mengurangkan berlakunya jenayah di pusat beli-belah, terutama kawasan letak kereta.

Pusat beli-belah boleh juga mengadakan kempen keselamatan dari semasa ke semasa. Mereka harus mempamerkan nombor kecemasan bagi memudahkan orang ramai menghubungi pengawal keselamatan dengan segera jika berlaku jenayah.

Peranan orang ramai juga penting agar melaporkan segera tindakan atau situasi mencurigakan kepada pengawal atau polis. Jika seseorang yang mencurigakan menghampiri mereka, pergilah ke kawasan yang mempunyai ramai orang atau masuk kembali ke pusat beli-belah itu.

INFO: Panduan elak jadi mangsa penjenayah :

i. Letakkan kereta berhampiran pintu masuk pusat beli-belah, di tempat terang dan sentiasa patuhi arahan pihak penguat kuasa dan berhati-hati setiap masa.

ii. Pengunjung perlu meminta bantuan rakan atau pengawal keselamatan untuk menemani ke tempat letak kereta sekiranya persekitaran gelap.

iii. Sentiasa peka keadaan sekeliling dengan meletakkan kenderaan di petak jauh jika ia lebih selamat berbanding petak berdekatan, tetapi boleh mengundang bahaya.

iv. Tinjau dulu keadaan di dalam kenderaan sebelum masuk. Pastikan kunci sudah berada di tangan sebelum menghampiri kenderaan. Elakkan dilihat tercari-cari sesuatu di dalam beg.

v. Kunci pintu selepas memasuki kenderaan sebelum menghidupkan enjin, selain elakkan melengahkan masa di tempat letak kereta.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan