Jumaat, 20 Julai 2012

ISU PENDIDIKAN : Menggubal semula dasar pendidikan negara


Oleh : Tan Sri Alimuddin  Mohd Dom

"DASAR pendidikan negara akan dirombak semula selepas lebih 50 tahun Dasar Razak dan Dasar Rahman Talib dihasilkan. Sekiranya draf kajian semula sistem pendidikan ini dapat disediakan di akhir tahun ini maka akan dibawa kepada Kabinet untuk diluluskan. Dasar baru itu dijangka akan dilaksanakan mulai tahun hadapan." Demikian antara intipati ucapan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam majlis penutupan Dailog Nasional Pendidikan Negara yang diadakan di Johor Bahru, baru-baru ini.

Mahu tak mahu penggubalan semula dasar pendidikan negara perlu dilakukan bagi memastikan ia lebih berkesan. Perubahan tersebut mempunyai kaitan rapat dengan tuntutan perubahan masa dan keperluan negara menjelang tahun 2020.

Kini matlamat pendidikan bukan sahaja menekankan isu perpaduan rakyat tetapi yang lebih penting memastikan pelajar yang dihasilkan melalui sistem tersebut mempunyai kebolehpasaran pekerjaan dan berupaya menjana pendapatan yang tinggi.

Jika ditinjau semula sejarah pendidikan selepas merdeka perkembangannya boleh dibahagikan kepada empat peringkat. Peringkat pertama ialah selepas penggubalan Dasar Razak (1956), Dasar Rahman Talib (1961) dan Penyata Kabinet (1970).

Ketiga-tiga dasar ini menekankan tentang keperluan perpaduan di kalangan rakyat pelbagai kaum dan akses pendidikan iaitu memberi peluang kepada pelajar luar bandar mendapat pendidikan yang lebih baik.

Peringkat kedua apabila diperkenalkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPN) pada 1988 yang menekankan perkembangan seimbang potensi pelajar dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek (JERI). FPN juga memasukkan nilai-nilai murni dalam pengajaran dan pembelajaran guru bertujuan bagi mewujudkan masyarakat madani. Sementara itu, peringkat ketiga apabila bermulanya era ICT dan globalisasi di alaf baru tahun 2000. Ketika itu penekanan diberikan kepada bidang sains dan teknologi kerana perkembangan pesat negara dalam bidang industri dan ekonomi.

Kini sampailah ke peringkat keempat di mana negara sedang menuju kepada negara maju melalui Wawasan 2020. Penekanan akan diberikan kepada elemen kreativiti dan inovasi serta melahirkan pelajar yang berfikir secara kritis.

Di antara kriteria negara maju rakyatnya mesti mempunyai pendapatan tinggi, sedia bersaing, sanggup menghadapi cabaran dan mempunyai pelbagai kemahiran insaniah seperti komunikasi yang baik, berupaya membuat keputusan dan memiliki ciri kepimpinan yang unggul.

Persaingan ketika itu bukan lagi di kalangan rakyat tempatan tetapi penanda arasnya sudah tentu dengan rakyat di negara maju.

Keupayaan persaingan tersebut mestilah bermula daripada sistem pendidikan yang berkualiti. Sesungguhnya sistem pendidikan berkesan akan dapat melahirkan pelajar yang memiliki minda kelas pertama.

Penggubalan semula pendidikan ini merupakan anjakan berganda dalam sistem pendidikan kita. Dialog Nasional Pendidikan Negara akan merangka Pelan Pembangunan Pendidikan (2013-2025).

Ia merangkumi pelan pembangunan dan pelan strategik program jangka pendek, sederhana dan panjang. Bagi memastikan pelaksanaan yang berkesan ia akan dilakukan mengikut fasa-fasa tertentu.

Menurut Muhyiddin sekiranya pelan tersebut dapat dilakukan lebih awal dari 15 tahun, maka sistem pendidikan negara mampu dilonjakkan setanding dengan negara maju yang lain.

Apa yang menariknya dalam menyediakan dasar pendidikan ini pandangan dan pendapat daripada beberapa pihak telah diambil kira. Di antaranya adalah pandangan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), Bank Dunia, pasukan Panel Bebas dan Panel Antarabangsa yang dilantik. Selain itu, hasil Dialog Nasional Pendidikan Negara turut diambil kira dan dianggap sangat signifikan dalam menyediakan dasar baru itu.

Anggota panel dialog ini telah bertemu lebih 10,000 orang di seluruh negara. Dua kaedah yang dilakukan iaitu melalui sesi 'town hall' yang melibatkan antara 500 - 800 orang pada setiap pertemuan. Kaedah kedua melalui mesyuarat meja bulat iaitu pertemuan antara 20-40 orang yang terdiri daripada persatuan dan pertubuhan tertentu, NGO dan pihak berkepentingan dalam bidang pendidikan.

Kedua-dua kaedah ini telah menemukan anggota panel dengan hampir segenap lapisan masyarakat seperti golongan petani, pemandu teksi, pekerja kilang, peniaga, warga pendidik hinggalah kepada pelbagai latar belakang kumpulan profesional.

Melalui dialog tersebut nampaknya peserta menyuarakan pendapat masing-masing tentang bagaimanakah seharusnya sistem pendidikan yang berkualiti dilaksanakan.

Dalam siri dialog tersebut sebanyak sembilan bidang keutamaan disediakan iaitu dari segi profesion perguruan, kepimpinan sekolah, kualiti sekolah, kurikulum dan pentaksiran, profisiensi pelbagai bahasa, peluang lepasan menengah, ibu bapa dan sektor swasta, kecekapan sumber kementerian dan keupayaan sistem penyampaian kementerian. Walau bagaimanapun peserta dialog bebas memberikan pendapat mereka di luar bidang keutamaan tersebut.

Seperti yang dimaklumkan oleh Timbalan Perdana Menteri melalui analisis yang dilakukan terdapat tiga perkara yang agak popular dibangkitkan iaitu pertama berkaitan guru seperti profesionalisme keguruan, kebajikan guru dan proses pengajaran. Kedua mengenai aspirasi iaitu soal sistem dan masalah pelajar dan ketiga kualiti sekolah yang melibatkan struktur, infrastruktur dan jenis sekolah.

Menurutnya lagi, hasil dialog itu akan dikumpulkan sebelum dikemukakan kepada beliau untuk dibawa ke Kabinet dijangkakan hujung tahun ini bagi kelulusan dan seterusnya akan dilaksanakan pada tahun depan.

Ternyata bahawa semasa penyediaan dasar baru pendidikan tersebut pandangan dan pendapat rakyat telah diberi keutamaan. Kaedah ini bersesuaian dengan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa dalam menyediakan sesuatu dasar atau sistem sudah sampai masanya tidak semata-mata disediakan oleh pegawai kerajaan tetapi pandangan rakyat perlu didapatkan.

Sudah tentu pandangan mereka itu datangnya daripada perasaan tulus ikhlas untuk melihat anak-anak mereka mendapat pendidikan yang berkualiti dan dapat menyumbang kepada pembangunan negara.

Moga-moga penggubalan dasar baru ini akan dapat menyediakan sistem pendidikan yang lebih berkualiti dan berkesan seterusnya akan mempercepatkan lagi matlamat ke arah negara maju.

PENULIS ialah Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad dan Ahli Panel Dialog Nasional Pendidikan Negara 2012

Tiada ulasan:

Catat Ulasan