Jumaat, 20 Julai 2012

ISU PENGAJIAN TINGGI : 150,000 peluang kursus sains kesihatan menjelang 2020


KUALA LUMPUR - Bilangan penuntut dalam bidang sains kesihatan di institusi pengajian tinggi tempatan akan ditingkatkan daripada 55,000 orang sekarang kepada 150,000 orang menjelang tahun 2020, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
  
Beliau berkata ia berikutan terdapat permintaan yang tinggi untuk tenaga profesional dalam bidang itu khususnya di rantau Asia Tenggara.
  
Muhyiddin berkata rantau Asia Tenggara dijangka mengalami kekurangan 1.2 juta profesional dalam bidang penjagaan kesihatan dan jumlah itu dijangka terus meningkat kepada 1.8 juta menjelang 2020.
  
"Dengan ini lebih banyak peluang pekerjaan khusus untuk para graduan dalam bidang ini bakal tersedia pada masa akan datang," katanya semasa berucap merasmikan Kolej Sains Perubatan Antarabangsa Pusrawi (Picoms) di sini, hari ini.
  
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata beliau yakin dan percaya Malaysia mampu untuk mengambil peranan utama dalam memenuhi permintaan tenaga kerja profesional bidang sains kesihatan.
   
Turut hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Datuk Che Mat Che Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif Picoms Ahmad Zakuan Khairuddin.

Muhyiddin berkata buat masa ini sebanyak tujuh institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan 62 institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) menawarkan pengajian sains kesihatan.

   
Beliau berkata bidang sains kesihatan dijangka berkembang dengan lebih pesat seiring kedudukannya sebagai satu daripada bidang kluster utama di bawah Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA).

"Pelaburan kerajaan dalam bidang itu adalah sebanyak RM1.4 bilion dengan nilai pendapatan kasar RM2.8 bilion," katanya.
 
Muhyiddin berkata tanggungjawab menyediakan pendidikan yang berkualiti bukan hanya perlu digalas oleh kerajaan, tetapi juga oleh pihak swasta kerana pendidikan berkualiti adalah prasyarat untuk menjadi negara maju.

Beliau berkata hanya dengan pendidikan yang berkualiti sumber manusia berkualiti dapat dilahirkan untuk memacu kemajuan negara dengan lebih pesat dan mampu bersaing di persada antarabangsa.
   
Dalam perkembangan lain, Muhyiddin berkata laporan awal mengenai kajian semula sistem pendidikan kebangsaan akan disiapkan bulan depan dan kandungannya akan diumum untuk mendapatkan maklum balas orang ramai sebelum satu rangka tindakan akhir disediakan oleh Kementerian Pelajaran.
   
"Kementerian telah selesai melaksanakan siri Dialog Pendidikan Nasional di seluruh negara untuk mendapatkan pandangan masyarakat mengenai perkara-perkara yang perlu dilakukan oleh kerajaan dalam usaha meningkatkan kualiti pendidikan negara," katanya.
   
Sementara itu Muhyiddin menyokong penuh permintaan pengerusi Picoms supaya kolej berkenaan dinaik taraf kepada kolej universiti pada tahun hadapan kerana ia telah memenuhi kriteria yang ditetapkan.
 
"Malah, Picoms sudah pun ada rangkaian strategik dengan beberapa pihak di luar negara misalnya Universiti of East London, Universiti Al-Azhar dan Mansourah, ini menunjukkan Picoms telah pun melampaui batasan negara dalam mengadakan smart partnership," katanya. - Bernama.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan