PUTRAJAYA - Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyarankan
mahasiswa agar berfikiran terbuka untuk menerima agenda kerajaan semasa.
Beliau berkata mahasiswa juga harus memikul tanggungjawab untuk memastikan
kemakmuran yang dimiliki dan dinikmati hari ini berkekalan dan negara terus
bergerak seiring dengan negara-negara maju yang lain.
"Sebagai pemangkin dan penggerak kepada agenda negara, mahasiswa harus
membuat pertimbangan wajar demi kepentingan rakyat dan negara secara
keseluruhan.
"Saya percaya mahasiswa hari ini akan memilih yang terbaik untuk
Malaysia dan akan berusaha untuk mengekalkan keamanan dan kemakmuran yang sedia
ada," katanya.
Sebelum itu, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran mempengerusikan Majlis
Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) 1/2012 di Pusat Konvensyen Antarabangsa
Putrajaya (PICC) di sini hari ini. Turut hadir Menteri Pengajian Tinggi Datuk
Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan
Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Mesyuarat MPPK 1/2012 dihadiri 70 perwakilan daripada 20 institusi
pengajian tinggi (IPT) awam dan 20 IPT swasta dari seluruh negara. MPPK
merupakan satu platform yang diwujudkan sejak Oktober 1999 sebagai satu
pengiktirafan terhadap para mahasiswa untuk memberikan idea dan pandangan.
Timbalan Perdana Menteri juga mahu mahasiswa yang bakal menjadi pemimpin
negara bijak merencanakan pelan dan melaksanakan tanggungjawab dengan dedikasi.
"Saya menasihatkan mahasiwa agar melengkapkan diri dengan ilmu
berkualiti, nilai murni, sahsiah tinggi untuk menjadi seorang insan yang baik
dan bersikap patriotisme kepada negara," katanya.
Sementara itu, Muhyiddin berharap mesyuarat MPPK akan terus kekal menjadi
platform untuk para mahasiswa menyampaikan pandangan kepada kerajaan dalam
proses merencana agenda negara untuk masa depan.
Beliau berkata banyak pandangan dan cadangan yang dilontarkan oleh
mahasiswa menerusi platform MPPK ini, termasuk peluang pekerjaan untuk para
graduan IPT dalam pelbagai sektor di bawah 12 Bidang Ekonomi Utama Negara dan
pelancaran portal Career for You.
"Melalui MPPK, kerajaan membuka peluang yang seluas-luasnya kepada
para pemimpin mahasiswa sebagai peneraju masa depan negara untuk terlibat
secara langsung dalam proses merencana agenda nasional," katanya.
Sementara itu, Mohamed Khaled berkata kerajaan mengiktiraf peranan dan
sumbangan mahasiswa sebagai rakan kongsi pembangunan negara.
Beliau berkata usaha-usaha yang diperkenalkan kerajaan seperti 1Malaysia For
Youth dan Duta Universiti bertujuan untuk memperkasa para mahasiswa agar suara,
idea dan pandangan mereka didengari dan dapat diperkukuhkan.
"Ini membuktikan kerajaan sentiasa mendengar dan ambil peduli
kehadiran dan keberadaan anda semua sebagai penentu kepada kemajuan dan
kejayaan negara," katanya.
Mesyuarat hari ini yang dijalankan secara tertutup membincangkan tiga
kertas kerja iaitu Cabaran Malaysia Dalam Mencapai Status Negara Maju Dan
Berpendapatan Tinggi, Kesediaan Malaysia Sebagai Hab Pengajian Tinggi
Antarabangsa dan Masa Depan Mahasiswa Aliran Pendidikan. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan