Sabtu, 11 Ogos 2012

ISU BAHASA : UNESCO lancar dua projek pelihara bahasa asal Kelabit dan Bidayuh



SIBU - Pertubuhan Pendidikan Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) melancarkan dua projek untuk memelihara bahasa Kelabit dan Bidayuh di negeri ini daripada pupus di bawah program 'Bahasa-Bahasa Terancam'.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga negeri, Datuk Fatimah Abdullah berkata kedua-dua bahasa itu dipilih kerana ianya ditutur oleh komuniti asli minoriti di negeri itu.

"Tidak ramai orang Bidayuh dan Kelabit hari ini bercakap bahasa mereka dalam bentuknya yang asal.

"Ini dapat dilihat apabila berlakunya perkahwinan campuran di mana anggota keluarga lebih gemar bercakap dalam Bahasa Malaysia atau Inggeris di rumah," kata Fatimah kepada pemberita di sini malam tadi.

Sebelum itu beliau merasmikan pembukaan Persidangan Kebangsaan Intervensi Awal Kanak-Kanak di sebuah hotel di sini.
  
Fatimah berkata golongan minoriti yang lain di negeri ini juga turut menghadapi kepupusan bahasa mereka sekiranya usaha tidak dibuat bagi memelihara dan mengembangkan bahasa pertuturan mereka.

Beliau berkata bagi masyarakat Kalabit, salah satu sebab utama ia terjadi kerana ramai di kalangan mereka sudah berhijrah ke pekan atau kawasan bandar.

"Berdasarkan suasana sedemikian, mereka lebih cenderung bercakap hanya peratusan kecil sahaja daripada bahasa asal mereka," katanya.

Berikutan perkembangan ini, kerajaan gembira bahawa Taska Bahasa Warisan di bawah Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) di Kampung Bunuk, Kuching, sedang mengambil langkah bersungguh-sungguh mendapatkan guru terlatih mengajar kanak-kanak pra sekolah menulis dan bercakap bahasa tersebut.

Dalam pada itu UNESCO menerusi laman sesawangnya menyatakan kira-kira separuh daripada 6,000 bahasa pertuturan harian akan hilang menjelang akhir abad sekarang sekiranya usaha tidak dijalankan bagi melindunginya.  --  Bernama

1 ulasan:

  1. ada ibubapa zaman sekarang yang jarang menggunakan bahasa ibunda ketika berinteraksi dirumah...inilah penyumbang utama kenapa sesuatu bahasa itu akan pupus...ada juga yang segan menggunakan bahasa ibunda ketika di khalayak ramai...

    "Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir Dan Bathin"

    BalasPadam