Jumaat, 3 Ogos 2012

ISU EKONOMI : Mengurang beban sektor kesihatan



Oleh Nurul Anuar Kari

KINI satu dunia sudah tahu Malaysia adalah pemain utama penjagaan kesihatan global. Dua penyenaraian awam IHH Healthcare Bhd, yang muncul julung-julung kali di bursa saham Malaysia dan Singapura minggu lalu memberikan petunjuk kukuh bahawa Malaysia bersungguh-sungguh terhadap industri perkhidmatan ini.

Menurut bekas Ketua Pengarah Kesihatan Prof. Tan Sri Dr. Ismail Merican, kita sepatutnya berbangga apabila Khazanah Nasional Bhd. telah menerokai satu cabaran yang besar dalam menyediakan khidmat penjagaan kesihatan, bukan sahaja untuk rakyat Malaysia malah masyarakat di rantau ini.

IHH adalah cabang penjagaan kesihatan Khazanah. Asetnya termasuk Hospital group Acibadem AS di Turki, Parkway Holdings di Singapura, Apollo Hospital Enterprise Ltd di India dan Pantai Hospital dan International Medical University (IMU) di Malaysia.

IHH mengurus 83 hospital di negara-negara tersebut yang menjadikannya pengendali hospital kedua terbesar di dunia selepas Hospital Corporation of America (HCA) yang mengendalikan 163 hospital.

Bekas Ketua Pengarah Kesihatan itu berkata beliau secara khususnya menyambut baik penyenaraian IHH kerana berharap usaha itu akan menyedarkan Kementerian Kesihatan untuk mempercepatkan proses memperkenalkan pembaharuan penjagaan kesihatan.

Pembentukan IHH akan meningkatkan lagi prospek pelancongan perubatan dan ia baik untuk ekonomi negara. Ini kerana ramai pesakit asing datang ke Malaysia kerana mereka mengetahui negara ini menyediakan khidmat penjagaan kesihatan yang berkualiti, selamat dan pada harga mampu.

Penjagaan kesihatan adalah satu industri yang besar namun hidangan perkhidmatan yang selesa dan terbaik dikatakan dapat dinikmati oleh kumpulan rakyat terpilih sahaja kerana ia disediakan oleh sektor swasta.

Sebaliknya, ramai yang kaya dan berkemampuan turut mendapatkan rawatan di hospital kerajaan. Sudah tentu situasi ini menambah sedikit bebanan hospital awam.

Kini, mereka yang sebelum ini tidak begitu yakin perkhidmatan hospital swasta mempunyai pilihan. Dengan adanya pemain yang mempunyai kepakaran klinikal seperti IHH, rakyat berkemampuan mempunyai pilihan dan boleh mengunjungi hospital berkenaan. Usaha ini kemungkinan akan mengurangkan bebanan kerja hospital kerajaan.

Dr. Ismail, yang kini Pro-Canselor dan Pengerusi MAHSA University College berpendapat satu opsyen yang besar akan diwujudkan sebagai pilihan pesakit untuk mendapatkan rawatan apabila pemain besar memasuki pasaran ini.

Apabila rakyat Malaysia mempunyai pilihan untuk mendapat khidmat kesihatan, sudah tentu mereka akan memilih pemain yang sesuai dengan kemampuan dan keperluan masing-masing dari segi penjagaan yang baik, selamat dan berkualiti.

IHH mempunyai rangkaian global, oleh itu ia boleh menjadi penanda aras kepada perkhidmatan di hospital kerajaan bagi menawarkan perkhidmatan yang bertaraf global juga.

Sesetengah doktor pakar kita bertaraf dunia. Sebab itu ada pesakit dari Indonesia atau India datang ke negara ini untuk mendapatkan khidmat kepakaran mereka.

Mahu atau tidak akan wujud persaingan antara petugas dan doktor di hospital awam dengan swasta. Sudah tentu persaingan itu akan menaikkan tahap kemahiran dan pengetahuan mereka yang terlibat dalam perkhidmatan penjagaan kesihatan ini. Kelebihannya ialah ia akan menyediakan keterujaan yang sama bagi meningkatkan khidmat di sektor awam.

Malaysia hanya membelanjakan 4.6 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk penjagaan kesihatan. Itu tidak mencukupi. Itu adalah apa yang akan dibelanjakan oleh negara berpendapatan rendah.

Bagi negara berpendapatan pertengahan seperti Malaysia, kita perlu berbelanja sekurang-kirangnya 6.4 peratus daripada KDNK.

Harga penjagaan kesihatan pula sentiasa meningkat, terutama kesan pengenalan teknologi baharu. Kos penjagaan kesihatan akan ditentukan oleh kuasa pasaran dan akhirnya, bukan sahaja rakyat Malaysia tidak mampu mendapatkan khidmat penjagaan kesihatan berkualiti, malah kerajaan juga tidak akan berupaya menyediakannya.

Oleh itu IHH diharap memainkan peranan bagi membantu meringankan beban Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pengajian Tinggi dalam menyediakan pendidikan perubatan melalui IMU yang berada di bawahnya.

Perancangan rapi Khazanah meletakkan perkhidmatan penjagaan kesihatan di mata dunia selaras dengan MBE untuk memacu swasta sebagai teraju ekonomi negara berpendapatan tinggi. Melalui pendekatan yang dipelopori Khazanah ini juga Pelan Transformasi Ekonomi dapat direalisasikan.

Kerajaan tidak perlu lagi terlalu banyak campur tangan dalam perniagaan. Kerajaan sudah boleh berundur beransur-ansur daripada terbabit dalam perniagaan dan sektor swasta mengambil peranan sebenarnya dalam perniagaan dan pembangunan ekonomi.

Sebagaimana kata Ketua Pegawai Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) Datuk Seri Idris Jala, untuk membentuk sebuah negara membangun berpendapatan tinggi strateginya adalah mendorong kerajaan mengurangkan peranannya dalam banyak perkara dan menyerahkan peranan itu kepada sektor swasta.

Kerajaan Pusat memang serius mahu mengurangkan pembabitannya dalam perniagaan. Namun begitu harus ditekankan ketiadaan langsung pembabitan kerajaan dalam perniagaan adalah tidak wajar. Kita perlukan kerajaan dalam beberapa keadaan.

Misalnya apabila modal pertumbuhan besar, teknologi baru yang canggih dan pemangkinnya diperlukan, tidak mungkin ia dapat digerakkan tanpa pembabitan awal bersama dengan kerajaan. Namun apabila tiba masanya, kerajaan perlu menarik diri.

Penyenaraian atau pelupusan syarikat milik kerajaan dan kementerian dapat mengurangkan bilangan syarikat kerajaan yang bersaing dengan sektor swasta untuk mendapatkan kontrak.

Ini bagi mengelak penyingkiran atau penyisihan sektor swasta. Sementara itu, kita tidak patut memberi keutamaan kepada syarikat milik kerajaan untuk penganugerahan kontrak.

Manfaat utama daripada keseluruhan proses ini ialah kerajaan akan memperoleh hasil daripada projek pembangunannya dan sektor swasta pula dapat menerajui semua projek perniagaan ini dengan lebih baik daripada kerajaan sendiri. Dengan ini, kita boleh menjangka pendapatan yang lebih banyak daripada hasil cukai pada masa akan datang.

Pengurangan peranan kerajaan dalam perniagaan adalah ciri penting dalam matlamat menjadikan negara kita sebuah negara berpendapatan tinggi. Teras kepada perubahan ini ialah matlamat menjadikan Malaysia sebuah ekonomi yang lebih berorientasikan pasaran kerana itulah satu-satunya cara memastikan kita berdaya saing relatif kepada seluruh dunia .

Profesor Ekonomi, Fakulti Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Datuk Dr. Amir Baharuddin pula berpendapat langkah penyenaraian itu memang tepat dari sudut mengurangkan beban kewangan kerajaan dalam sektor kesihatan.

"Asas mengurangkan beban awam adalah mengalihkan kepada kumpulan yang lebih meluas. Bila lebih ramai yang menyokong, maka semakin berkuranglah beban itu.

"Dengan penyertaan ramai itu juga, akan meningkatkan keupayaan kewangan dan kepakaran yang mampu dibawa masuk ke dalam sektor terbabit," katanya.

Tambahnya, agak sukar mengharapkan bajet daripada kerajaan sahaja untuk membangunkan sektor kesihatan kerana kewangan negara terikat dengan bermacam perkara lain.

Namun, beliau berharap kerajaan akan memantau sudut pengurusan walaupun bahagian perniagaan telah diuruskan sektor swasta.

"Kerajaan tetap perlu pantau kerana kita mahu sektor kesihatan negara semakin cekap, menurunkan kos kepada pesakit serta mengurangkan beban kewangan awam," ujarnya.

Tegasnya, sinergi antara pengurusan kerajaan dan perniagaan swasta itu yang dikehendaki daripada penyenaraian IHH tersebut agar kedua-dua belah pihak mendapat manfaatnya.

Jelas beliau lagi, kerajaan juga bukan sahaja mengurangkan beban kos malahan dapat berkongsi pengalaman sektor swasta untuk meningkatkan mutu perkhidmatan kepada rakyat.

"Perniagaan perubatan sentiasa berkembang tetapi jika kita tidak berkembang, maka kesihatan rakyat yang akan 'menguncup' apabila perkhidmatan menjadi tidak elok.

"Modal hasil penyenaraian boleh digunakan untuk membangunkan sektor kesihatan sementara dana kerajaan yang dijimatkan dapat dialih kepada perkara lain seperti kajian untuk penyakit yang dihidapi ramai rakyat Malaysia," tegasnya.

Amir juga percaya peningkatan kemampuan kewangan dan kepakaran di hospital swasta di bawah IHH, khususnya di negara ini, akan mengurangkan beban di hospital kerajaan.

"Bila yang berkemampuan beralih ke hospital swasta yang kini boleh menawarkan harga lebih berpatutan untuk perkhidmatan mereka, rakyat yang kurang mampu pula lebih mudah mendapatkan perkhidmatan di hospital kerajaan.

"Dengan adanya sinergi awam dan swasta ini, semua pihak akan mendapat manfaatnya terutama sekali rakyat yang dapat menikmati perkhidmatan kesihatan lebih baik," jelasnya.

Sumber : http : //www.bharian ,com,my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan