Selasa, 25 September 2012

ISU BAHASA : Hina Tuhan bukan karya seni


Oleh : Dr Anwar Ridhwan
 
Gejala persoal agama mesti ditentang

Ada penulis menggunakan karya seni untuk tujuan yang salah. Ketika seni pada umumnya menzahirkan karya kemanusiaan melalui gaya bahasa sastera yang boleh membijaksanakan pembaca, memberi pengalaman intelektual serta estetika kepada khalayak, ada karya seni disalahgunakan untuk tujuan menghina tuhan dan agama.

Terbaru, umat Islam seluruh dunia dikejutkan dengan kemunculan filem Innocence of Muslims oleh pembikin filem bernama Sam Bacile. Filem ini diproduksi di Amerika, sebuah negara paksi kejahatan yang terkenal dengan sikap anti-Islam, seperti terbukti dengan sokongannya terhadap Israel dan menindas penduduk Palestin terus menerus. Sam Bacile menganggap Islam sebagai barah! Di negara kita, beberapa tahun dahulu ada buku Kassim Ahmad yang dianggap menggugat Islam, melalui usahanya agar hadis dinilai semula, sehingga beliau dianggap seorang antihadis. Gejala mempersoalkan agama dan Tuhan turut berlaku di Indonesia.

Majalah Sastra bulan Ogos 1968 yang terbit di Jakarta umpamanya, menerbitkan sebuah cerpen berjudul Langit Makin Mendung oleh seorang penulis yang menggunakan nama samaran Ki Panjikusmin. Hingga kini hanya HB Jasin sebagai editornya, serta Tuhan saja yang tahu siapakah penulis sebenar cerpen berkenaan.

Dalam Langit Makin Mendung gambaran penulis tentang Tuhan sangat antropomorfik. Selama bertahun-tahun selepas cerpen berkenaan disiarkan, polemik membara dalam kalangan intelektual, golongan agama dan seniman. HB Jasin sendiri sering menerima ancaman yang menggugat keselamatan dirinya.

Mengapa karya seni digunakan untuk menghina Tuhan dan agama? Bagi mereka yang menghasilkan karya sedemikian dengan menggunakan nama samaran, mereka berselindung di balik ketakutan untuk konon menyuarakan bahawa aliran pemikirannya yang betul, walaupun ilmunya dalam bidang agama boleh dipersoalkan. Bagi mereka yang menggunakan nama sebenar, ini mungkin kesempatan baik untuk meraih populariti, mendapat sokongan moral dan material dari musuh Islam, dan anugerah tertentu.

Tetapi umat Islam tidak berdiam diri. Umat Islam tidak rela Tuhan dan agamanya dihina. Akibatnya, penghina Tuhan dan agama mendapati diri mereka berada dalam bahaya yang berpanjangan.

Kita masih ingat dengan novel Satanic Verses, novel keempat karya Salman Rushdie, yang diterbitkan pada 1988. Novel yang turut mempersoalkan ketulenan al-Quran ini diprotes secara meluas di seluruh dunia Islam. Pada 14 Februari 1989, Ayatollah Ruhollah Khomeini mengeluarkan fatwa menghalalkan pembunuhan Salman Rushdie.

Pengarang wanita Islam juga memasuki gelanggang yang karut ini. Taslima Nasreen, warga Bangladesh terang-terangan memperjuangkan humanisme sekular. Novelnya Lajja (Memalukan) memburukkan sekeluarga Islam yang menjadi antagonis mengancam kehidupan sebuah keluarga Hindu. Jika Kassim Ahmad mahu hadis dinilai semula, Taslima mahu undang-undang syariah Islam dinilai semula (wawancaranya dalam akhbar The Statesman, Mei 1994). Majlis Tentera Islam Bangladesh memburunya untuk dibunuh. Dia menyelanak lari ketakutan ke luar negara.

Beberapa bulan lalu, di Malaysia heboh mengenai Irshad Manji, pengarang wanita Kanada yang cuba melakukan reformasi serta interpretasi al-Quran serta Islam secara lebih progresif melalui kaca mata kaum liberal. Bukunya Allah, Liberty and Love (2011) yang diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu dilarang beredar di pasaran.

Sebagai seorang Islam kita memahami psikologi Sam Bacile yang menganggap Islam sebagai barah – kerana kejahilan serta kebencian mendalamnya terhadap orang Islam dan Islam, agama yang amat asing kepadanya. Juga atas sebab-sebab sejarah bangsa dan agama.

Begitu juga kita dapat memahami psikologi Geert Wilders, Ahli Parlimen Belanda, atas sebab-sebab yang sama. Kata-katanya yang terkenal: “I don’t hate Muslims, I hate Islam” hanyalah retorik politiknya untuk cuba membezakan penganut Islam dengan agama Islam. Realitinya, dia membenci kedua-duanya – umat Islam dan Islam – kerana tidak mungkin memisahkan Islam daripada sukma umat Islam.

Akan tetapi kita berasa dukacita dan hairan, apabila terdapat usaha-usaha untuk melemahkan umat Islam, membenci Tuhan dan agama samawi ini dari kalangan orang yang mengaku dirinya Islam. Mereka menjadi semacam tali barut atau komprador kepada kuasa yang sentiasa ingin menjatuhkan Islam dan umatnya.

Ketika George W Bush berkuasa di Rumah Putih, dan roket-roket pemusnahnya meledak membunuh umat Islam di Palestin dan Iraq, ia berkata: “Perang Salib masih berterusan...” Mengapa orang seni yang mengaku dirinya Islam, ikut menyertai golongan terkutuk ini untuk bersama-sama menghina Tuhan dan Islam?

Penulis ialah Sasterawan Negara dan Dekan Fakulti Penulisan Kreatif ASWARA

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan