Kuala Lumpur: Lari mengikut kekasih dikenal pasti salah satu faktor
utama remaja, termasuk gadis sunti yang masih bersekolah rendah lari dari
rumah.
Mengikut statistik polis bagi
tempoh 2010 hingga Jun lalu, bahana cinta itu adalah punca kedua tertinggi
mereka yang berumur 17 tahun ke bawah lari dari rumah dengan kebanyakan
daripada mereka Melayu.
Daripada 1,309 kes lari mengikut
kekasih sepanjang tempoh itu, 97.6 peratus atau 1,278 membabitkan gadis berusia
sembilan hingga 17 tahun, berbanding 31 lelaki.
Sebahagian besar adalah remaja
berumur 13 hingga 17 tahun, kecuali 14 kes yang semuanya membabitkan gadis
sunti berusia sembilan hingga 12 tahun.
Gejala itu makin membimbangkan
kerana 549 kes direkodkan tahun lalu berbanding 493 kes pada 2010. Setakat Jun
tahun ini pula polis sudah menerima 267 laporan.
Bagaimanapun, berdasarkan laporan
yang diterima oleh polis, punca utama remaja lari dari rumah ialah terpengaruh
dengan kawan.
Sebanyak 74 peratus daripada kes
terpengaruh dengan kawan membabitkan perempuan atau 1,061 daripada keseluruhan
1,436 kes.
Dua lagi faktor utama ialah
mencari kebebasan di luar rumah dan berselisih faham dengan keluarga, di
samping punca lain seperti hilang minat belajar, mencari pekerjaan, kurang
mendapat perhatian keluarga dan penagihan dadah.
Selain itu, kegagalan dalam
peperiksaan turut menjadi alasan lapan remaja perempuan lari dari rumah pada
2010 dan 2011, namun tiada kes dilaporkan setakat Jun lalu.
Lebih mengejutkan, kanak-kanak
berumur lapan tahun ke bawah turut mencatat kes lari dari rumah kerana
berselisih faham dengan keluarga yang membabitkan dua perempuan pada 2010 dan
dua lelaki pada 2011. Selain itu, masing-masing seorang perempuan dan lelaki
berbuat demikian setakat Jun tahun ini.
Turut menjadi punca remaja lelaki
dan perempuan lari dari rumah ialah mencari kebebasan di luar rumah.
Sumber : http :: //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan