Oleh : PROF. DATUK
DR. SIDEK BABA
KENYATAAN Menteri Pelajaran, Tan
Sri Muhyiddin Yasin untuk memperkasa subjek Sejarah amat tepat sekali. Isu-isu
keperluan pendidikan sejarah, kurikulum dan tafsirannya, metodologi
pengajaran-pembelajaran yang berkesan dan isu mewajibkannya dalam sistem
persekolahan kita adalah hal-hal yang sewajarnya diberi perhatian.
Sejarah sifatnya mengulangi. Apa
yang berlaku pada masa lalu diulangi pada masa kini dan mungkin diulangi pada
masa depan. Sifatnya merentasi masa dan zaman.
Mempelajari dan mengkaji sejarah
memungkinkan manusia mengetahui sebab mengapa sesuatu itu berlaku pada masa
lalu dan mengapa ia tidak harus diulangi pada masa kini dan akan datang.
Sejarah kejadian 13 Mei 1969
umpamanya banyak mendedahkan faktor ideologi, pertentangan ras, kemelut
sosio-ekonomi, pemahaman budaya dan konflik politik yang menyebabkan muafakat
hilang dan akhirnya anarki terjadi.
Mengkajinya boleh membawa
kesedaran dan keinsafan kepada kita untuk memperbaiki kelemahan yang ada supaya
asas perpaduan yang dibina harus diperkukuh dengan kerjasama yang baik,
persefahaman yang tinggi dengan kualiti pengurusan negara dan rakyat yang
berintegriti.
Kealpaan kita mengkaji sejarah
boleh menyebabkan hilang ibrah dan sumber teladan dan menyebabkan peristiwa
yang sama boleh berulang lagi. Harga perpaduan, tolak ansur dan persefahaman
dalam masyarakat majmuk adalah terlalu tinggi. Ia perlu dipelihara dengan etika
kenegaraan secara telus dan tulus.
Ibarat sebuah kereta mempunyai
cermin sisi dan belakang untuk dilihat supaya pemanduan ke hadapan terarah.
Begitu juga hakikat sejarah, kita tidak boleh hanya melihat ke hadapan,
melupakan peristiwa kini dan tidak reflektif terhadap sejarah masa lalu. Apa
yang dicapai kini adalah himpunan pengalaman dan percubaan yang panjang dan
berterusan.
Sekiranya generasi muda umpamanya
menolak kesilaman dan mengambil sikap yang lalu itu kolot dan ketinggalan zaman
dan yang terkini itu sebagai moden dan maju, sejarah menunjukkan bahawa tanpa
adanya kesinambungan perjalanan sejarah dan budaya manusia akan menjadi kacau.
Sebab itu sejarah sifatnya
dinamik perkembangannya kerana watak dan kemajuan manusia sedemikian. Tetapi jalur
sejarah dan budaya sering respons terhadap perubahan teknologi, ilmu dan zaman.
Namun asas-asas fundamental pada diri manusia tetap memerlukan nilai-nilai yang
fitrah.
Dalam konteks bina negara, jati
diri dan kewatanan adalah sesuatu yang amat penting. Ia memberi bentuk dan
sifat kepada watak warganegara Malaysia seperti yang terangkum dalam Rukun
Negara.
Rukun Negara adalah falsafah
hidup orang Malaysia supaya kepercayaan kepada Tuhan menjadi sesuatu yang
utama. Kesetiaan kepada raja dan negara menjadi lambang muafakat dan perpaduan.
Keluhuran Perlembagaan sebagai sumber rujuk yang utama dalam negara. Kedaulatan
undang-undang sebagai asas keadilan. Kesusilaan sebagai etika penting membangun
watak dan peribadi.
Jika Rukun Negara dapat difahami
dan dihayati ia bakal membentuk jati diri Malaysia. Memiliki jadi diri Malaysia
tidak bermakna kita anti-Barat dan Timur. Pada dunia Barat dan Timur terdapat
aspek-aspek berbanding yang memberi manfaat yang baik dan boleh diperkongsi.
Kelahiran sesebuah tamadun antara faktornya adalah kesediaan melakukan adaptasi
dan penyesuaian supaya ia diolah menjadi acuan kita sendiri.
Mempelajari dan memahami sejarah
ibarat meneliti peristiwa zaman demi zaman yang sifatnya berkembang dan
berubah. Yang sangat penting dikaji adalah perkembangan dan perubahan diri
manusia. Apakah warga Malaysia berada dalam senario menghormati asas-asas
fundamental dalam proses bina negara dan reseptif terhadap perubahan semasa
yang sifatnya menyumbang.
Aspek terpenting dalam memperkasa
subjek Sejarah adalah penyusunan kembali kurikulumnya. Kurikulum Sejarah harus
sifatnya merangkumi dan merentasi. Sejarah Malaysia tidak saja memberi latar
sejarah Melaka dan sejarah sebelum merdeka tetapi juga sejarah selepas merdeka
di mana semua pihak memainkan peranan menjadikan Malaysia sebagai negara maju.
Apabila generasi hari ini
mengkaji dan memahami sejarah Malaysia, mereka memiliki rasa kepunyaan dan
kebanggaan terhadap negara ini kerana mereka bukan sahaja diberikan kefahaman
mengenai permulaan negara ini, cabaran yang dihadapi, cabaran sejarah Melaka
yang menjadi landasan sejarah Malaysia, muafakat pemimpin berbilang kaum dalam
mencapai kemerdekaan, prinsip-prinsip dan hikmah di sebalik terbinanya
Perlembagaan Malaysia, tolak ansur yang terjadi sehingga Malaysia mencapai ke
tahap negara yang sedang maju seperti hari ini.
Sejarah bukan sekadar catatan
tarikh sesuatu peristiwa atau tokoh-tokoh berjasa dalam zamannya tetapi setiap
yang berlaku dan melakar peta sejarah harus dikaji dan diteliti mengapa dan
bagaimana ia berlaku dan bagaimana sesuatu masalah diselesaikan.
Sejarah Malaysia suatu ketika
dulu membawa cara tafsiran penjajah dan sifatnya Euro-centric. Kemudian ia
difokuskan kepada tafsiran mengikut jendela Malaysia. Orientasi pentafsiran ini
penting supaya perjalanan sejarah sejak lebih setengah abad yang lalu ditafsir
berasaskan kaca mata orang Malaysia.
Apabila tafsiran ini dibaca oleh
anak murid, para pelajar dan generasi muda ia mencetuskan kesedaran dan
keinsafan bahawa Malaysia adalah sebuah negara unik dari sudut latar,
penyertaan warganegaranya dalam bina negara, asas toleransi yang membawa
kebijaksanaan, pemahaman terhadap asas-asas fundamental dalam Perlembagaan,
merasakan Rukun Negara sebagai suatu pedoman perjuangan dan akhirnya bakal
mencetuskan rasa kewatanan yang tinggi.
Mencetuskan kesedaran ini
tidaklah suatu hal yang mudah. Ia memerlukan metodologi pengajaran dan
pembelajaran yang berkesan. Pengajaran dan kuliah menjadi salah satu cara dalam
menyampaikan bahan-bahan sejarah tetapi kerja-kerja lapangan dalam bentuk
penelitian dan kajian harus dikembangkan supaya di peringkat awal lagi
anak-anak memiliki kesedaran sejarah sama ada tempatan, negeri atau negara. Ia
dibuat dalam bentuk jurnal, kertas-kertas dapatan dan carian supaya hal-hal
penting yang berlaku dalam negara direkod dan diperkongsi.
Lebih-lebih lagi dengan bantuan
teknologi terkini banyak perkara yang boleh dirakam, dianalisis, ditafsir dan
diperkongsi supaya para pelajar memiliki kesedaran sejarah yang tinggi.
Generasi yang buta sejarah sering
tidak menghargai apa yang berlaku. Contohnya kemajuan yang terbina kini tidak
berlaku secara tiba-tiba atau kebetulan. Ia akibat perancangan, pemikiran dan
strategi bijaksana yang terjadi dan menyebabkan generasi hari ini berada dalam
iklim sosial dan kehidupan yang jauh lebih baik berbanding situasi di awal
kemerdekaan dulu.
Yang baik itu seharusnya
dijadikan tradisi, manakala landasan yang berguna itu harus diteruskan walaupun
dengan pendekatan berbeza untuk respons cabaran yang tidak serupa. Asas-asas
fundamental dalam bina negara harus dipertahankan dan dikembangkan dengan
strategi baru supaya perubahan terus berlaku.
Justeru seperti subjek Bahasa
Melayu, subjek Sejarah seharusnya menjadi mata pelajaran wajib. Kurikulum,
pentafsiran, buku teks, bahan-bahan pengajaran dan pembelajaran, memanfaatkan
teknologi baru dalam memahami sejarah, kaedah pengukuran yang lebih
komprehensif mampu menjadikan subjek Sejarah itu menarik dipelajari.
Tujuannya untuk menimbulkan
kesedaran jati diri dan kewatanan supaya generasi muda menginsafi, memahami dan
menghayati sejarah adalah penting supaya kesayangan kepada negara terbina.
Penulis ialah Profesor Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa
Malaysia (UIAM)
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan