Rabu, 5 September 2012

Tan Sri Hamzah Abu Samah, tokoh sukan berpengalaman, ahli politik banyak berjasa



Hamzah Abu Samah (tengah) yang menerajui Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Setiausaha Agung Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) ketika itu, Sepp Blatter (kiri) pada perasmian Akademi Kejurulatihan Remaja Antarabangsa FIFA di Kuala Lumpur pada tahun 1980-an. Turut hadir ialah pengurus pasukan kebangsaan ketika itu, Datuk Harun Idris (dua dari kanan).

 Oleh NIZAM YATIM
nizam.yatim@utusan.com.my

ALLAHYARHAM Tan Sri Hamzah Abu Samah yang meninggal dunia akibat sakit tua di Pusat Perubatan Universiti Malaya, Petaling Jaya, Selangor petang semalam adalah seorang tokoh yang banyak berjasa dalam bidang sukan dan politik.

Presiden Seumur Hidup Majlis Olimpik Malaysia (OCM) berusia 88 tahun yang menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 3.30 petang meninggalkan isteri Puan Sri Zainun Hussein dan tujuh orang anak.

Beliau pernah menjawat pelbagai jawatan dalam Kabinet sebelum bersara pada September 1980 ketika berusia 56 tahun selepas menjalani pembedahan pintasan jantung.

Anak kelahiran Raub, Pahang itu mendapat pendidikan di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) sebelum melanjutkan pengajian undang-undang di Gray‘s Inn, England.

Beliau dilantik sebagai Menteri Penerangan dan Penyiaran pada Mei 1969 dengan tanggungjawab berat bagi menggunakan saluran media massa untuk meredakan ketegangan kaum yang berlaku pada tahun berkenaan.

Pada 1971 hingga 1973 beliau dilantik pula menjawat jawatan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Menteri Pertahanan (1973-1974), Menteri Perdagangan dan Industri (1974-1978) dan akhir sekali sebagai Menteri Undang-Undang dan Peguam Negara (1978-1980).

Dalam politik beliau pernah menjadi Ahli Parlimen Temerloh, Ahli Majlis Tertinggi UMNO dan Ahli Lembaga Disiplin parti itu.

Selain politik, beliau terkenal kerana memimpin pelbagai badan sukan di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Beliau telah menggantikan bekas Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein sebagai Presiden Majlis Olimpik Malaysia mulai 1976 hingga 1998.

Selain menjadi ahli kepada Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) sejak 1978, beliau juga menjadi Naib Presiden Kanan bagi Majlis Olimpik Asia pada 1982.

Di peringkat Asia Tenggara, beliau merupakan Presiden Kehormat bagi Persekutuan Sukan Asia Tenggara sejak 1977.

Sukan bola sepak juga telah menempatkan Allahyarham sebagai salah seorang pemimpin sukan yang dikenali ramai.

Beliau menjadi Presiden bagi Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC) dari 1978 hingga 1994, Presiden Kehormat AFC semenjak tahun 1994, Naib Presiden bagi Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dari Disember 1982 hingga Mac 1990 dan Ahli Eksekutif Kehormat FIFA (1990).

Beliau juga merupakan Presiden Kehormat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dari 1984-1988.

Selain itu, beliau pernah menjadi Presiden Persatuan Kriket Malaysia (1969-1990) dan Presiden Persatuan Taekwando Malaysia (1987-1999).

Kebolehan dan kepimpinan beliau dalam sukan turut membolehkan beliau dipilih sebagai Naib Presiden bagi Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) sejak 1982 hingga 1998.

Beliau turut berperanan bagi membawa Sukan Komanwel 1998 ke Malaysia. Pada tahun berkenaan Allahyarham turut dilantik sebagai salah seorang ahli jawatankuasa bagi Malaysia membida sebagai tuan rumah Sukan Asia 2006 dan Sukan Olimpik 2008.

Sebagai seorang pemimpin yang banyak berjasa kepada negara sumbangan Allahyarham pasti akan tetap dikenang oleh masyarakat selama-lamanya. Al-Fatihah.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan