Dr Anwar Ridhwan
Pembacaan galak jelajah dunia
bahasa
Televisyen (TV) kini menjadi
medium tontonan yang sangat meluas. Boleh dikatakan setiap rumah memiliki
sekurang-kurangnya satu set TV. Dengan hanya duduk di kerusi, penonton boleh
menjelajah dunia hiburan, safari, sukan, ilmu pengetahuan dan sebagainya.
Kanak-kanak juga tidak terkecuali
menonton rancangan yang disediakan untuk golongan ini. Sebenarnya tidak semua
rancangan untuk kanak-kanak dapat dipertanggungjawabkan nilai moralnya. Dalam
rancangan kartun umpamanya, adegan menyakat, pergaduhan, tembak menembak dan
pembunuhan turut dapat dilihat.
Proses pembacaan harus dapat
'membersihkan' minda mereka daripada elemen negatif yang mereka tonton di TV,
umpamanya mengenai keganasan dan penyimpangan moral"
Oleh sebab kanak-kanak kita
menonton TV sejak kecil, perangkaan dari Amerika Syarikat (AS) mungkin boleh
digunakan bagi menatijahkan fenomena yang sama. Ketika kanak-kanak mula belajar
di TADIKA, pada umumnya mereka menonton TV selama 5,000 jam. Kanak-kanak yang
berumur tiga hingga tujuh tahun secara purata menonton TV selama 15,000 jam
iaitu melebihi 2,000 jam daripada masa yang mereka habiskan di TADIKA atau
dalam bilik darjah.
Sehingga umur 17 tahun, mereka
menonton 18,000 jam adegan keganasan di TV. Mereka juga menghabiskan masa
35,000 jam menonton segmen komersial – kebanyakannya mempromosi makanan segera
yang tidak berkualiti. Oleh itu tidaklah menghairankan jika masalah obesiti
dihidapi bukan saja oleh kanak-kanak AS, malah kanak-kanak di mana iklan makanan
segera disiarkan di seluruh dunia.
Oleh sebab TV menghidangkan yang
buruk dan yang baik, ada ibu bapa yang secara sedar, sistematik dan berdisiplin
mengawal penontonan TV anak mereka. Tetapi kadang-kadang adalah sukar untuk
melakukan pemantauan yang berterusan, kerana wujudnya ‘masa lapang’ yang
berbeza antara kanak-kanak dan ibu bapa mereka.
Ada rancangan TV yang baik,
kreatif dan memupuk perkembangan minda kanak-kanak – sama ada yang diterbitkan
di negara ini atau yang diimport. Antara program import untuk kanak-kanak yang
paling popular ialah Sesame Street yang dianggap produktif. Ia menggunakan
watak Jim dan sederetan pelbagai pelakon.
Menanggapi program ini, Walter
Sawyer dan Diana Comer menyebut bahawa Sesame Streetmemberikan pengalaman pembelajaran
melalui satu siri segmen pendek yang mengambil kira jangka waktu pemusatan
pemerhatian kanak-kanak sewaktu menonton. Ini adalah antara program yang awal
bagi kanak-kanak untuk mempertontonkan pelakon yang terdiri daripada pelbagai
etnik. Wanita, golongan minoriti dan yang cacat semuanya digambarkan dengan
realisme dan digniti.
Kehidupan kanak-kanak dan dalam
proses pendewasaan seterusnya tidak boleh disandarkan pada program TV
semata-mata. Mereka harus didekatkan kepada dunia buku kreatif dan ilmu
pengetahuan – seperti dunia persekolahan mendekati mereka secara formal.
Melalui buku yang baik,
kanak-kanak boleh belajar, menanggapi dan memahami dunia mereka yang lebih
terarah. Proses pembacaan harus dapat ‘membersihkan’ minda mereka daripada
elemen negatif yang mereka tonton di TV, umpamanya mengenai keganasan,
penyimpangan moral, makanan yang tidak berkhasiat dan sebagainya.
Ibu bapa wajar menggalakkan anak
mereka minat membaca di luar konteks buku sekolah yang mereka telaah secara
formal. Ibu bapa seharusnya memilih bahan bacaan kreatif untuk tujuan ini.
Karya kreatif disampaikan dalam bentuk cerita, dihiasi ilustrasi, dan memenuhi
keperluan afektif, fungsional dan kognitif mental kanak-kanak yang sedang
membesar.
Membina sikap positif kanak-kanak
boleh dicapai melalui pembacaan karya kreatif yang baik. Karya seperti ini
selalunya memberi penekanan kepada membentuk imej diri yang baik, bertoleransi
terhadap orang lain, dan rasa ingin tahu terhadap hidup. Rasa ingin tahu itu
adalah jalur pengembaraan fizikal dan mental, yang bersemuka dengan pelbagai
masalah dan seaneka pilihan penyelesaian. Hanya selepas melalui pengalaman
pembacaan, mereka dapat memilih cara penyelesaian yang terbaik dan manusiawi.
Dalam konteks berbahasa, TV yang
ditonton tidak mungkin meninggalkan kesan berpanjangan terhadap penggunaan
bahasa yang baik. Yang dapat diingat oleh kanak-kanak hasil menonton TV ialah
ungkapan yang pendek, dianggap kelakar, kasar atau beritma. Sebaliknya, melalui
pembacaan, kanak-kanak menjelajah dunia bahasa dan secara tidak langsung
mempelajarinya.
Sungguhpun karya kreatif untuk
kanak-kanak lebih merupakan genre bagi menjelajah dunia yang penuh
berwarna-warni, ia juga alat untuk mengajar kemahiran membaca dan menguasai
bahasa dengan baik. Akhirnya mereka membesar dengan bahasa itu, seterusnya
dapat berkongsi makna dan memperjelas pemikiran yang teratur, baik dan
berkesan.
Penulis ialah Sasterawan Negara
dan Dekan Fakulti Penulisan Kreatif ASWARA
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan