Selasa, 16 Oktober 2012

ISU PENDIDIKAN : Memahami tugas orang berilmu


Oleh :  PROF. DATUK OMAR OSMAN

SEKARANG adalah musim konvokesyen dalam kalangan hampir semua universiti awam di negara ini sehingga sebulan dua akan datang. Universiti Sains Malaysia (USM) misalnya baru selesai melahirkan kira-kira 6,000 orang siswazah dalam pelbagai bidang pada tahun ini.

Sehingga kini USM melahirkan kira-kira 110,885 orang siswazah ijazah pertama dan kira-kira 20,000 orang siswazah ijazah tinggi, satu jumlah besar yang mampu melakukan pelbagai perubahan dalam masyarakat dan negara.

Lalu banyaklah harapan disandarkan kepada siswazah yang dilahirkan hasil daripada perjuangan mereka yang ingin melihat universiti di negara ini menghasilkan anak-anak muda yang berilmu untuk faedah nusa dan bangsa.

Seperti titah Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail selaku Canselor USM dalam Sidang Pertama Konvokesyen USM, - ''Buktikanlah bahawa para siswazah adalah insan yang benar-benar berilmu dan berpengetahuan tinggi serta dapat berkongsikan ilmu yang dimiliki bersama orang lain."

Tambah baginda, pastinya seseorang yang berilmu dapat menggunakan kebijaksanaan dan hikmah dalam memimpin dan para siswazah seharusnya pula dapat menjadi benih yang amat berkualiti kepada negara, seperti kata orang, kalau sesuatu benih itu berkualiti, dicampak ke laut menjadi mutiara, dilambung ke langit menjadi kejora, ditabur di darat menjadi permata yang berharga.

Untuk menjadi permata yang berharga, seseorang itu perlu memahami hakikat menjadi seorang yang berilmu. Tugas, tanggungjawab dan amanah yang dipikul oleh orang berilmu adalah berat yang memerlukan kesungguhan dan minat mendalam kepada apa yang diusahakan.

Sama juga dengan kerjaya lain, komitmen inilah yang akan memastikan sesuatu bidang dan disiplin itu akan dihormati dan dipandang tinggi jika setiap kita menjaganya dengan baik sebagai maruah dan amanah yang tidak boleh dipermainkan.

Para siswazah kini memasuki gerbang hidup yang berteraskan ilmu, bersaing sebagai orang berilmu, bercakap sebagai orang yang lahir dari sebuah menara ilmu, bertindak dan berfikir dengan fakta dan data sahih yang jelas dan tepat dan tentunya berpegang teguh dengan nilai-nilai yang dipelajari di universiti sebagai orang yang berilmu.

Dalam budaya kita, tidak ramai yang menjadikan ilmuan sebagai idola dan pengikut kepada pemikiran besar yang ada. Sesetengah siswazah tidak pernah kenal pun dengan dekat mereka yang mengajar dan mendidik di dewan kuliah, bilik tutorial, makmal dan kerja-kerja akademik lain.

Tidak ramai yang sedar betapa yang mereka kenali ialah sebenarnya pensyarah, pendidik, penulis kertas kerja untuk dunia akademia dan memperkayakan ilmu di seluruh ceruk rantau, penyelidik, penghubung dalam libat sama industri dan masyarakat dan pelbagai lagi.

Nama mereka terukir dalam perpustakaan-perpustakaan utama, jurnal-jurnal akademik terkemuka dan bekerja bersama ahli-ahli akademik tersohor dunia. Mereka menyelia calon ijazah tinggi dan sesetengahnya adalah pentadbir dan pengurus yang perlu membahagikan masa dan memerah pemikiran dalam memastikan tadbir urus universiti berjalan sempurna.

Hati budi, komitmen dan kesungguhan mereka yang bersengkang mata untuk meletakkan nama universiti pada kedudukan yang tinggi dan menara ilmu sentiasa dimuliakan untuk generasi hari muka perlu difahami dan dirasai. Bebanan dan kesukaran yang mereka hadapi sebagai ahli akademik yang sentiasa ingin melihat para siswazah menjadi seorang yang berupaya meneruskan kelangsungan akademia dan ilmu untuk masa hadapan bangsa dan negara perlu dihargai, seperti mana yang ditunjukkan melalui pelbagai pengiktirafan kerajaan seperti Majlis Profesor Negara dan Anugerah Akademik Negara.

Sebenarnya tidak ramai yang memahami amanah yang berat yang dipikul oleh para akademia sekarang ini termasuk untuk memastikan anak-anak muda memahami makna menjadi seorang yang berilmu dan bertindak sebagai seorang yang berilmu.

Sama seperti seorang guru, para pendidik di universiti turut terasa kesedihan dan tercalar dengan sikap segelintir anak-anak muda, siswa-siswi mahu pun para siswazahnya yang bertindak mengikut perasaan, marah-marah dengan pelbagai perkara, menuding jari sana dan sini dan hanya menyalahkan segala-galanya kecuali diri sendiri dalam banyak tindakan yang dapat kita lihat kebelakangan ini, yang jika tidak dibendung akan menjadi masalah kepada masyarakat dan negara.

Tentunya siswazah yang ada sebahagian besarnya tidak tergolong dalam mereka yang cepat dan mudah lupa dengan apa yang diperolehi dan dinikmati selama ini. Para siswazah sebagai orang berilmu wajar bersyukur dengan peluang yang diperolehi, ilmu yang diterokai dan perlu diteruskan lagi, melalui kemudahan yang ada dan kebebasan yang dinikmati.

Orang berilmu tahu bagaimana untuk bersyukur dan bertindak. Orang berilmu sentiasa bijaksana dan berhemah dalam tindakan, sentiasa kaya dengan kasih sayang dan tidak pernah lupa di mana bumi dipijak. Dia tahu tentang makna akal budi, bijak menggunakan budi bahasa dalam komunikasi dan perundingan, merendah diri tetapi berpada-pada bukan untuk dibuli, dan dipandang rendah. Tunjukkan kebijaksanaan dan kearifan dalam usaha memenangi sesuatu perjuangan.

Orang berilmu sentiasa menjadi padi yang makin berisi makin tunduk ke bumi, tidak memandang rendah orang lain apatah lagi para marhain malah menyanjungi mereka dan menggunakan ilmunya untuk mengubah nasib dan kehidupan yang ada kerana dia tahu dan sedar dari mana bermula. Orang berilmu sentiasa berfikir panjang dan menggunakan kekuatan akal budi dan iman, bukan hanya perasaan dan kekuatan fizikal.

Ini agaknya seakan-akan retorik dan ideal, namun jika ini pun tidak mampu dilakukan, maka ilmu pengetahuan yang ada dan pengalaman bertahun-tahun di universiti selama ini tidak berupaya mengubah siswazah sepanjang berada di kampus universiti. Fikirkanlah apakah perubahan yang berlaku selama ini, transformasi diri yang seharusnya menjadikan para siswazah sebagai generasi berilmu yang lebih matang dan bersedia memasuki dunia yang luas terbentang.

Dalam menghadapi cabaran masa hadapan, orang yang berilmu juga perlu kuatkan iman dan keyakinan kepada Tuhan. Tidak kira siapa pun, apa jua pegangan agama dan kepercayaannya, tanpa keyakinan yang kukuh kepada agama, maka seseorang akan hanya menjadi perahu kecil yang terumbang ambing dipukul ombak dalam lautan dan pusaran ganas yang akhirnya akan mudah tenggelam dan lemas.

Seseorang itu akan cepat putus asa dan akan menjadi sebahagian daripada penambahan statistik mereka yang menghadapi tekanan, penyakit kemurungan dan sebagainya yang akan mengheret kepada pelbagai masalah lain.

Agama juga mengajar erti keikhlasan seperti pesanan tangan kanan memberi, tangan kira tidak ketahui. Ikhlas dalam tindakan dan ikhlas juga dalam melakukan perubahan, biar bermula dengan kecil tetapi sentiasa istiqomah atau konsisten. Agama juga sentiasa mengajar untuk mensyukuri tiap nikmat yang diperolehi, menjaga baik hubungan dengan orang seperti aur dengan tebing dan menghargai mereka yang berjasa kepada kita. Lihat wajah ibu bapa kita. Lihat titisan air mata gembira mereka yang menyayangi dan berkongsilah suka duka bersama.

Kasih sayang perlu ditunjukkan dan dikongsi dengan hati yang tulus ikhlas dan tindakan yang jelas. Kasih sayang juga perlukan bukti dan pengorbanan. Peluklah ibu bapa saudara-saudari dan tunjukkan kasih sayang sebenar dari hati nurani saudara-saudari. Seseorang yang mencari kebahagiaan seorang diri tidak akan menemuinya, selagi tidak dizahir dan dikongsikan dengan orang lain.

Kerana itu, dalam mengejar teknologi dan kebendaan yang pantas berubah, kehendak dan keinginan yang tidak pernah puas dan keghairahan mencapai kejayaan mengikut ukuran ekonomi, seseorang siswazah yang berilmu harus juga seimbangkan dengan usaha yang dapat mengisi jiwa dan rohani.

Seperti mana universiti yang menyeimbangkan antara sains dan teknologi dengan sastera, kemanusiaan, kemasyarakatan dan ilmu seni dan budaya, begitu jugalah dengan orang berilmu harus bijak mengadunkan dengan baik kedua-duanya dalam memastikan keupayaannya untuk memimpin dan membawa masyarakat dan negara untuk mempertahankan apa yang ada dan meningkatkan kualiti pemikiran dan kehidupan dalam kerangka pembangunan yang holistik pada masa hadapan

PENULIS ialah Naib Canselor Universiti Sains Malaysia

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

1 ulasan: