Sabtu, 6 Oktober 2012

ISU KENEGARAAN : Pertahankan Keamanan


MINGGUAN : Secara umum apa pandangan peribadi Sheikh terhadap Malaysia? Apa yang membuatkan Malaysia berbeza dengan negara-negara Islam yang lain?

MOHAMMAD KHALIFA : Untuk mengetahui mengenai Malaysia perlu ditanya orang yang pernah tinggal di sini. Saya telah tinggal di Malaysia selama enam tahun. Secara peribadi saya ada ikatan dengan negara ini. Malaysia ada kekuatan dari sudut keamanan, politik, ekonomi dan pembangunannya. Jika dilihat di seluruh dunia khususnya dalam kalangan negara-negara Islam, saya mendapati Malaysia adalah negara terbaik dan boleh dijadikan contoh dari sudut keamanannya. Saya juga melihat Malaysia sebuah negara yang sangat stabil dari sudut politik dan ekonominya. Jika dilihat dari sudut ekonomi, Malaysia berada pada kedudukan ke hadapan dalam kalangan negara-negara Islam. Begitu juga dengan wujudnya pelbagai bangsa, kaum dan agama yang mana terlihat corak kehidupan yang begitu bertoleransi. Kehidupan saya di sini bukti bahawa negara ini sebuah negara yang aman yang penuh sifat toleransinya. Keadaan ini sama dengan kisah tertubuhnya Universiti Antarabangsa Madinah (Mediu) di sini.

MINGGUAN  : Bagaimana tercetusnya idea untuk meletakkan universiti ini di Malaysia?

MOHAMMAD KHALIFA :  Peringkat awalnya kami berbincang dengan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi. Beliau secara terbuka menawarkan kami datang ke Malaysia dan menubuhkan universiti ini di sini. Dalam masa yang sama kami juga ada menerima tawaran lain seperti di Bahrain dan di United Kingdom (UK). Tetapi oleh kerana kemudahan yang diberikan oleh kerajaan Malaysia ketika itu menyebabkan kami terpanggil untuk mengasaskan universiti di sini. Kerajaan Malaysia juga cukup membantu dengan memudahkan serta melicinkan penubuhan universiti.

MINGGUAN :  Apakah faktor-faktor lain yang mendorong pihak Sheikh menubuhkan universiti ini di Malaysia?

MOHAMMAD KHALIFA :  Malaysia merupakan antara negara Islam yang boleh dianggap sebagai tonggak, contoh daripada sudut kemajuannya, pembangunannya, kestabilan politiknya dan keamanannya. Sebab itu kami membuat keputusan untuk meletakkan universiti ini di Malaysia. Keputusan ini juga ada kaitannya dengan kecenderungan kerajaan Malaysia untuk menjadikan negara ini sebagai pusat pendidikan. Kami juga mendapati urusan di sini iaitu antara kementerian -kementerian begitu mudah dan lancar terutama yang membabitkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT). KPT telah menghulurkan bantuan yang cukup besar kepada kami.

MINGGUAN :  Adakah faktor keamanan, kestabilan politik serta ekonomi penting kepada keputusan tertubuhnya universiti ini di Malaysia?

MOHAMMAD KHALIFA :  Memang tidak dinafikan lagi dari sudut pandangan dunia terutama negara-negara Islam terhadap Malaysia dari sudut kestabilan politik dan ekonominya Malaysia kehadapan. Begitu juga dengan kemajuan prasarana serta faktor keamanannya. Apa yang lebih menarik adalah penguasaan dan kepakaran rakyat Malaysia khususnya dalam bidang-bidang teknikal seperti teknologi maklumat. Kami memanfaatkan kepakaran rakyat Malaysia dalam membantu kami untuk mencapai tahap yang lebih baik daripada sudut teknikal, latihan serta pengajian. Kami meyakini Malaysia sebagai sebuah negara yang lengkap dan sempurna. Dan atas faktor-faktor itu kami terpanggil untuk tubuhkan universiti di sini. Keadaan yang seperti ini sangat penting untuk memastikan kejayaan sesuatu institusi. Alhamdulillah tonggak-tonggak yang membawa kejayaan semuanya ada di Malaysia.

MINGGUAN :  Sama ada Sheikh sedar atau tidak sedar perpaduan sebenarnya telah menjadi isu di Malaysia sejak sekian lama ekoran berlakunya perbezaan ideologi politik. Boleh Sheikh memberi penjelasan bahawa Islam menuntut umatnya bersatu tanpa mengira ideologi politik?

MOHAMMAD KHALIFA :  Jika kita teliti di dalam al-Quran dan as-Sunnah, Islam menuntut perpaduan dan menentang segala bentuk perpecahan. Banyak ayat al-Quran yang membicarakan soal perpaduan antaranya surah ali-Imran ayat ke 103:''Dan berpegang teguhlah kamu sekalian pada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai berai.''

Dalam satu lagi firman Allah dalam surah al-Anbiya ayat ke 92 ''Sesungguhnya umat (para anbiya') ini adalah umat kamu iaitu umat yang satu dan Aku adalah Tuhan kamu. Oleh itu sembahlah Aku.''

Kedua-dua ayat merupakan perintah Allah untuk kita bersatu dan larangan daripada berpecah. Perpecahan hanya akan melemahkan umat Islam. Perpaduan ini penting iaitu dari hujung timur hingga ke barat iaitu di mana-mana sahaja yang ada umat Islam. Perpaduan akan memberi kekuatan. Pertelagahan pula jika isu ini tidak dibendung dengan baik ia akan membawa kepada perpecahan yang tercela. Oleh itu setiap perselisihan yang berlaku hendaklah diselesaikan dengan adab dan bukannya melalui persengketaan yang akhirnya membawa kepada perpecahan. Sebab apa kita perlu terus berselisih dan berpecah sedangkan dalam keadaan sekarang pun dunia Islam dan negara Islam telah dihina manakala hak-hak orang Islam telah diambil. Adakah kita mahu berterusan dalam keadaan seperti ini. Sepatutnya kita memikirkan perpaduan antara kita. Ini juga merupakan agenda orang yang benci dan anti kepada Islam di mana mereka sentiasa merancang untuk menjatuhkan Islam.

Kita berpecah daripada pelbagai sudut. Berpecah di sudut akhlak, berpecah di sudut perpaduan dan antara puncanya disebabkan berbeza ideologi politik.

Oleh itu jika kita tidak kembali apa yang dituntut oleh Islam sudah tentu kita terus berada dalam keadaan hina. Sebenarnya banyak kelebihan yang Allah SWT berikan kepada negara-negara Islam dan ini semuanya adalah hikmah yang Maha Esa kepada kita. Antaranya di negara-negara Islam terdapat sumber petroleum, hasil pertanian serta bahan-bahan galian yang sangat banyak. Umat Islam juga tidak kurang hebatnya dalam bidang teknikal dan pelbagai bidang lain. Ini semua adalah anugerah Allah kepada kita. Namun begitu kita terus berpecah dan akibatnya juga terdapat umat Islam yang hidup di dalam kejahilan dan kefakiran. Cukuplah perpecahan yang berlaku ketika ini. Persoalannya mengapa kita terlalu tertumpu kepada perkara-perkara yang boleh menyebabkan kita berpecah. Mengapa kita tidak mencari titik temu dalam kita membina semula perpaduan serta kekuatan?

MINGGUAN :  Dalam konteks perpaduan di Malaysia, mahu tidak mahu kita terpaksa akui punca berlakunya perpecahan adalah disebabkan wujud perbezaan ideologi politik. Secara spesifik berlaku pertembungan antara UMNO dan Pas. Apa pandangan Sheikh?

MOHAMMAD KHALIFA :  Kita perlu melihat dari sudut pandangan yang lebih luas. Kita tidak harus bersifat jumud dalam menyelesaikan setiap permasalahan yang berlaku sesama umat Islam. Pertembungan antara parti politik jika kita mahu jadikannya titik perpecahan, titik perselisihan itu merupakan satu pandangan yang amat salah.

Sewajarnya parti-parti politik ini perlu memikirkan tentang hal dan masalah perpecahan umat yang lebih besar. Sesungguhnya jika mereka berpadu dan bersatu, ia akan memberi kekuatan.

Nasihat saya, mereka perlu bermuzakarah dengan berlapang dada dan terbuka. Mereka ini pemimpin-pemimpin umat, maka mereka perlu memberi contoh yang terbaik. Saya yakin melalui proses perbincangan ia boleh membuka ruang dalam usaha kedua-dua pihak mencari titik persamaan. Saya ingin menyentuh satu perkara iaitu selama ini mereka adalah punca menyebabkan negara ini membangun, negara ini maju. Oleh itu kita jangan sama sekali gadaikan kebaikan-kebaikan yang telah mereka lakukan kepada kita dengan menolak mentah-mentah tanpa ada perbincangan dan toleransi terutama dalam usaha menyelesaikan permasalahan umat.

MINGGUAN :  Setiap umat Islam di negara ini tanpa mengira ideologi politik masing-masing wajib mempertahankan keamanan negara. Apa pendapat Sheikh?

MOHAMMAD KHALIFA :  Menjadi kewajipan kita setiap umat Islam mempertahankan keamanan sedia ada. Bukan itu sahaja bahkan kita perlu melihat maslahah umum terutama isu-isu yang berkaitan dengan umat Islam ketika ini. Jangan disebabkan kepentingan politik kita mengenepikan kemaslahatan umum khususnya jika kita bercakap tentang akidah, akhlak yang mana terdapat laporan baru-baru ini yang menyatakan Malaysia adalah antara negara yang tinggi peratusannya dalam isu pembuangan bayi. Ini bukan melibatkan parti politik tertentu tetapi melibatkan kemaslahatan umat Islam. Jadi keruntuhan akhlak seperti zina yang akhirnya boleh memberi kemudaratan umat Islam perlu ditangani bersama. Kita perlu selesaikan kemaslahatan yang lebih besar. Kita perlu tinggalkan kepentingan-kepentingan politik dalam usaha kita membebaskan umat Islam daripada perbuatan-perbuatan yang boleh merosakkan mereka.

MINGGUAN :  Kebanyakan pemimpin-pemimpin politik lebih mengutamakan kepentingan politik mereka daripada menyelesaikan masalah umat. Komen Sheikh?

MOHAMMAD KHALIFA :  Antara puncanya terjadi perkara ini adalah disebabkan taksub. Pemimpin seperti ini melihat dirinya sahaja yang betul orang lain semua salah sedangkan prinsipnya jelas. Sewajarnya kita perlu mengetahui dan perlu berpegang padanya ada kebenaran dan padanya ada kebatilan. Begitu juga dengan diri kita padanya ada kebenaran dan padanya ada kebatilan. Perlu ada saling mengiktiraf yang diri manusia ini ada kelemahan dan kebaikan.

MINGGUAN :  Apa keburukan perasaan taksub ini?

MOHAMMAD KHALIFA :  Taksub ini boleh membawa kepada berlakunya pembohongan dan pendustaan. Taksub boleh membawa kepada perasaan hasad dengki. Taksub juga boleh membawa perpecahan dan ini berlaku disebabkan mereka mahu mempertahankan kebatilan. Mereka mahu membenarkan kebatilan.

Manusia sepatutnya berpegang kepada kebenaran di mana sahaja mereka berada.

MINGGUAN :  Apa pandangan Sheikh ada pihak yang menolak salam perpaduan oleh satu pihak yang lain?

MOHAMMAD KHALIFA  :  Allah berfirman di dalam surah al-Maidah ayat ke 2 ''Dan bertolong-tolonglah dalam kebaikan dan ketakwaan, janganlah kamu bertolong-tolongan dalam dosa dan pencerobohan.'' Berdasarkan ayat di atas tiada pilihan lain sekiranya seseorang muslim itu jika menghulurkan tangan untuk kebajikan dan ketakwaan tetapi seseorang Islam yang lain menolaknya. Sesungguhnya kehidupan seseorang muslim itu sama seperti solat berjemaah. Apabila masuk ke dalam masjid kita masuk bersama-sama, apabila masuk saf secara bersama-sama dan apabila mengikut imam pun bersama-sama. Apabila imam bertakbir makmum pun bertakbir. Apabila imam sujud makmum pun bersujud, apabila imam rukuk makmum pun rukuk dan inilah kehidupan sebagai seorang muslim. Ada ketua dan ada pengikutnya. Ini contoh yang wajib dipraktikkan oleh semua muslim sama ada dalam urusan pentadbirannya mahupun kehidupan hariannya. Kita masuk ke dalam masjid bukan semestinya orang kaya berada di saf hadapan dan orang miskin di saf belakang. Kita masuk ke masjid dalam keadaan yang sama. Inilah hakikat kehidupan yang wajar dijadikan panduan. Kita perlu berbuat baik sesama insan sama ada dengan keluarga, sahabat, jiran tetangga mahu pun teman-teman sepejabat. Kita bukan malaikat kita adalah manusia biasa yang tidak terlepas daripada melakukan salah dan silap. Sebagai manusia juga ada mereka yang berjaya dan ada yang gagal. Bagi mereka yang berjaya mereka hendaklah memberi bantuan kepada mereka yang gagal.

MINGGUAN :  Berbalik kepada penubuhan Mediu di sini, bilakah universiti ini memulakan pengajiannya di Malaysia dan apakah konsep yang dijalankan?

MOHAMMAD KHALIFA  :  Konsep universiti ini dibuat secara wakaf. Diasaskan pada 2006 dan memulakan pengajian serta mula mengambil pelajar pada tahun 2008. Sehingga kini tiga lepasan pelajar telah menamatkan pengajian mereka di universiti ini dan mereka terdiri daripada pengajian di peringkat sarjana dan sarjana muda. Insya Allah pada tahun depan universiti ini akan mengeluarkan pelajar di peringkat ijazah kedoktoran. Universiti ini ada beberapa kelebihan kerana di sini kami mempraktikkan pengajian secara langsung iaitu dengan kehadiran di bilik kuliah dan juga secara maya atau talian.

Universiti ini bukan bersifat perniagaan yang memfokuskan kepada keuntungan. Universiti ini juga bukan bersifat cawangan sebaliknya universiti ini berpusat di sini. Walaupun berpusat di Malaysia tetapi universiti ini bersifat antarabangsa. Sebab itu lima tahun pertama kami lebih fokus kepada pasaran luar berbanding daripada pasaran dalam. Pelajar-pelajar yang ada di sini pula datang dari 90 buah negara iaitu dari New Zealand sehingga Kanada. Kelebihan universiti ini juga ada kaitan dengan tumpuannya terhadap bidang teknologi. Namun begitu bermula tahun depan pihak universiti akan memulakan pengambilan pelajar-pelajar dari Malaysia. Kebetulan kami akan berpindah ke sebuah bangunan baru yang lebih selesa. Di sana kami akan kumpulkan pelajar dalam negara dan luar negara. Bangunan baru ini juga terletak di Shah Alam.

MINGGUAN : Bagaimana pula kursus-kursus yang ditawarkan di universiti ini?

MOHAMMAD KHALIFA : Kami di sini menawarkan pelbagai kursus antaranya bahasa, pengajian Islam, pengurusan, teknologi maklumat, kejuruteraan dan pendidikan. Pelajar-pelajar kita keseluruhannya kira-kira 3,000 orang. Jumlah ini termasuk mereka yang mengikuti pengajian secara talian atau maya dan mereka ada di seluruh dunia manakala para pensyarah terdiri daripada pelbagai latar belakang dan mereka datang dari 40 buah negara. Ada yang datang dari Mesir, Arab Saudi dan Syria.

MINGGUAN : Apakah harapan Sheikh kepada Malaysia dan negara-negara Islam yang lain?

MOHAMMAD KHALIFA : Sekali lagi saya katakan Malaysia adalah sebuah negara yang maju, sebuah negara yang mula memiliki tamadunnya yang tersendiri. Harapan saya negara-negara dari dunia Islam yang lain mengambil Malaysia sebagai contoh dalam usaha membina kejayaan di negara masing-masing.

Sheikh Prof. Dr. Mohammad Khalifa Al-Tamimi ialah Reaktor Universiti  Antarabangsa Madinah,  Shah Alam,  Malaysia.

 Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan