Sabtu, 6 Oktober 2012

ISU PENDIDIKAN : 30 peratus pelajar terbaik SPM akan ditawar kursus perguruan


BATU PAHAT - Pengambilan calon untuk Kursus Perguruan Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak akan diiklankan mulai tahun depan dan sebaliknya akan ditawarkan kepada 30 peratus pelajar lepasan SPM yang memperoleh keputusan terbaik.
  
Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi berkata langkah tersebut adalah usaha bagi meningkatkan kualiti guru selari dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.
  
Sebelum ini, katanya, lepasan SPM yang ingin menjadi guru perlu memohon untuk menduduki ujian kelayakan khas atau M-Test dan akan dipanggil untuk temuduga selepas lulus ujian itu.
  
Bagaimanapun mulai tahun ini, permohonan untuk mengambil ujian M-Test adalah terbuka kepada semua pelajar SPM pada hari terakhir peperiksaan, katanya kepada pemberita di sini hari ini.
  
Beliau berkata apabila keputusan peperiksaan SPM keluar nanti, kursus itu akan tawarkan kepada 30 peratus pelajar yang memperoleh keputusan terbaik.

Sebelum itu, Mohd Puad, yang juga Ahli Parlimen Baru Pahat, menghadiri majlis pemimpin bersama rakyat dan penyampaian cek baik pulih rumah nelayan peringkat Parlimen Batu Pahat di Pengkalan Nelayan Kampung Sungai Suloh di sini.
  
Sebanyak RM1.5 juta diperuntukkan untuk membantu membaiki 155 buah rumah dari enam kampung nelayan di daerah itu. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan