Oleh : PROFESOR MADYA DR. SIVAMURUGAN PANDIAN
SEJAK setahun lalu, pendidikan
menjadi tumpuan ramai baik dalam kalangan yang terlibat secara langsung mahupun
tidak langsung. Ini kerana pendidikan dianggap penyumbang utama kepada
pembinaan dan pengisian sesebuah negara bangsa termasuk Malaysia.
Pengajian asas dilihat penting
untuk membolehkan negara terus bersaing dengan negara-negara lain terutama
negara maju.
Bajet yang dibentangkan minggu
lalu jelas memaparkan komitmen kerajaan terutama melalui Kementerian Pelajaran
untuk mentransformasi sistem pendidikan ke arah pembentukan masyarakat kelas
satu di sebuah negara kelas pertama; masyarakat yang mempunyai pengetahuan,
skil dan kemahiran diselaputi dengan nilai, semangat patriotisme dan moral
dalam melahirkan modal insan yang berkarakter tinggi dengan adanya nilai
intelektual, spiritual, emosi dan fizikal; hubungan konstruktif ke arah
masyarakat kelas pertama, cerminan falsafah pendidikan kebangsaan untuk
melahirkan pembangunan holistik dalam kalangan pelajar.
Yang penting dalam Bajet 2013
bertemakan 'Memakmur Negara, Mensejahtera Rakyat: Sebuah Janji Ditepati',
adalah 'kualiti' untuk melestarikan sistem pendidikan berkualiti untuk
mentransformasi sistem pendidikan dan turut memperkasakan sistemnya.
Sebanyak RM11.1 bilion
diperuntukkan untuk sektor sosial yang turut melibatkan pendidikan dan latihan.
Sektor pendidikan diperuntukan 21 peratus (%) daripada bajet untuk
memperkukuhkan pemetaan kelangsungan pendidikan sebagai tunggak pembentukan
negara bangsa dengan berfokuskan kepada kemakmuran dan kesejahteraan sosial
negara.
RM38.7 bilion pula akan
diperuntukan untuk memperbaiki kualiti pendidikan dan tambahan sebanyak RM500
juta untuk mengembangkan latihan guru dalam bidang subjek Bahasa Malaysia,
Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik ke arah pembangunan skil pemikiran yang
lebih baik.
Kerajaan juga memperkenalkan
inisiatif seperti insentif bebas cukai dan geran untuk membuka tadika baru;
RM1.2 bilion untuk pembangunan prasekolah dan RM1 bilion untuk penambahbaikan
sekolah, RM400 juta untuk sekolah kebangsaan di samping RM100 juta untuk
sekolah jenis kebangsaan Cina, Tamil, mubaligh, agama, berasrama penuh dan
MRSM.
Ada pihak yang mencadangkan agar
PTPTN dimansuh, diberikan pendidikan percuma dari prasekolah sehingga
universiti serta RM500 sebagai elaun khas untuk guru tetapi ia lebih dilihat
sebagai pendekatan populis untuk memanipulasi pemikiran umum seolah-olah untuk
memberikan harapan kepada pemegang saham dalam pendidikan daripada kaca mata
mereka sendiri.
Namun, kerajaan secara berterusan
memberikan sokongan dan bantuan secara realistik yang diterima dan disokong.
Malahan, untuk menggalakkan tabungan pendidikan, mereka yang menyumbang kepada
Skim Tabungan Pendidikan diberikan pelepasan cukai RM6,000 berbanding dengan
RM3,000 sebelumnya.
Baucar RM100 untuk murid sekolah
rendah dan menengah serta RM250 baucar buku untuk pelajar institusi pengajian
tinggi dengan kenaikan RM50 daripada sebelumnya; diskaun untuk pembayaran
semula pinjaman PTPTN berasaskan kepada pembayaran konsisten menunjukkan bahawa
yang mahu dilahirkan adalah pelajar yang bertanggungjawab dan memahami bahawa
PTPTN bukan 'hak' tetapi adalah satu 'keistimewaan'.
Mengenal pasti aspirasi dan
cabaran yang diperincikan dalam laporan awal pemetaan Pelan Pembangunan
Pendidikan Malaysia 2012, 'pelaksanaan' menjadi tumpuan dan tunjang utama
daripada pembentangan bajet ke atas sektor pendidikan.
Kerajaan sedar bahawa hanya
melalui hasil akhir pelaksanaan yang bersifat empirikal, umum akan memberikan
pengiktirafan dan kepercayaan ke atas sistem pendidikan negara.
Menteri Kewangan memberi
kepastian bahawa Unit Pelaksanaan Pendidikan akan memainkan peranan penting
dalam proses penambahbaikan sistem pendidikan negara.
Untuk meninjau dan melangkah ke
hadapan dalam pendidikan, maka pendidikan akan memberi fokus kepada pelaksanaan
dengan bantuan sistem sokongan yang strategik.
Pendidikan adalah satu proses dan
umum perlu memberikan ruang kepada kesemua yang terbabit dalam pelaksanaan
untuk meneruskan agenda yang sudah dirangka dengan perancangan Bajet 2013.
Melestarikan sistem pendidikan
dalam kerangka holistik hanya akan berjaya sekiranya kesemua yang terlibat
secara implisit mahupun eksplisit bekerjasama walaupun mempunyai perbezaan
ketara, agar visi mentransformasi negara ke arah menjadi sebuah negara maju
pada 2020 dapat direalisasikan dengan jayanya.
Penulis ialah Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia
Sumber : http : //www,utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan