Oleh : Muhamad Razak Idris
Pengkaji bidang kenegaraan kini
banyak memberikan tumpuan kepada siri debat antara Barack Obama dan Mitt
Romney, calon Presiden Amerika Syarikat (AS). Siri pertama berlangsung pada 3
Oktober lalu. Ia mendapat perhatian seluruh masyarakat dunia. Sekiranya kita
mengikutinya menerusi laman YouTube di internet misalnya, lebih jutaan
menontonnya. Populariti Obama dan kedudukan AS sebagai sebuah kuasa besar dunia
antara faktor utama mendorong minat ini.
Selepas mengikuti debat mereka,
ia menerbitkan beberapa buah fikiran untuk dibincangkan. Pertama, acara debat
adalah medium perhubungan antara pemimpin dan rakyat dalam sesebuah negara
demokrasi. Kedua, satu program pendidikan kenegaraan penting dibangunkan dan
diperkenalkan dalam negara kita pada hari ini. Acara debat antara calon
presiden di AS itu nampaknya bukan saja dinantikan rakyatnya, malah calon yang
bertanding itu sendiri. Ia dianggap pentas terbaik bagi mempersembahkan
rancangan kepemimpinan mereka kepada seluruh rakyat yang bakal memilih. Rakyat
perlu diberi keyakinan pada tahap tertinggi mengenai dasar dan pendekatan yang
digunakan dalam tempoh kepemimpinan akan datang sekiranya terpilih.
Hujah berasaskan ilmu
Sudah tentu setiap negara
mempunyai cabaran dalaman dan luarannya yang tersendiri. Dalam acara debat
antara Obama dan Romney, mereka saling berhujah berasaskan ilmu dan pengalaman
mereka sepanjang berada di dunia kepemimpinan berkaitan langkah yang perlu AS
lakukan bagi menjamin kesejahteraan rakyat dipertahankan dan dalam masa sama
memastikan AS terus menjadi peneraju kepemimpinan dunia.
Meyakinkan rakyat mengenai misi
ini bukan suatu yang mudah. Ia menuntut penguasaan pengetahuan kenegaraan dan
kemahiran kepemimpinan yang tinggi. AS hari ini berdepan cabaran besar. Ia
harus menangani tanggungan hutang yang kini berjumlah ribuan bilion dolar dan
pada masa sama perlu mengekalkan pertumbuhan ekonomi, meningkatkan peluang pekerjaan
dan menjamin keselamatan sosial dan kesihatan penduduknya.
Cabaran ini menuntut suatu
formula yang terbaik dari segi dasar dan pelaksanaan. Ia membabitkan isu
pengurusan cukai dan pentadbiran ekonomi yang menyeluruh membabitkan sektor
awam dan swasta. Obama dan Romney mempunyai perspektifnya tersendiri bagaimana
menangani pelbagai cabaran ini. Perspektif mereka dibentang dan dibahaskan
secara terbuka kepada rakyat AS. Mereka yakin, sekiranya rakyat dapat
difahamkan secara menyeluruh dasar yang akan diperkenalkan nanti, mereka pasti
akan mendapat peluang terpilih pada pilihan raya presiden nanti. Dalam sistem
demokrasi di AS, nampaknya hubungan rakyat dan pemimpin terbuka dan dekat.
Peranan pemimpin ialah menawarkan agenda kepemimpinan masa depannya, manakala
rakyat pula perlu meneliti dan mengkaji tawaran berkenaan. Rakyat disalurkan
maklumat mengenai rancangan dan agenda pemerintahan menerusi pelbagai
pengantara. Nampaknya, pentas debat adalah antara pengantara yang amat berkesan
dalam amalan demokrasi di AS.
Amalan demokrasi matang
Realiti ini memberikan kita
kefahaman iaitu pencapaian amalan demokrasi yang matang banyak bergantung
kepada tahap kesedaran dan keupayaan ilmu kenegaraan oleh rakyatnya. Dalam
suasana rakyat berpengetahuan ini, ia mendorong kelahiran pemimpin berkualiti
bagi menawarkan agenda kepimpinan terbaik kepada mereka. Pemimpin ini sedar
mereka perlu menampilkan kualiti kepemimpinan terbaik untuk terpilih kerana
rakyat negaranya memiliki daya pengetahuan yang tidak boleh dipersendakan.
Sehubungan itu, pengenalan
program pendidikan kenegaraan adalah penting. Dalam amalan demokrasi hari ini,
rakyat sebenarnya penentu masa depan negara. Untuk itu, rakyat tidak saja harus
sekadar peka mengenai isu politik, malah perlu memiliki pengetahuan tentang
ilmu kenegaraan pada tahap tertinggi. Rakyat perlu melihat ilmu kenegaraan
sebagai benteng yang akan memastikan negara yang didiami mereka sentiasa
dipandu secara terbaik oleh barisan kepemimpinan yang berkualiti dan
bertanggungjawab.
Mengenai ilmu kenegaraan ini,
rakyat harus memahami iaitu ia mengandungi aspek teras dan aspek yang berubah.
Pemuafakatan dicapai bersama ketika penubuhan negara dan tercatat dalam
perlembagaan adalah aspek teras yang perlu sama-sama didukung.
Banyak kelebihan apabila rakyat
memiliki pengetahuan kenegaraan yang tinggi. Ilmu ini bukan sekadar memberikan
keupayaan bagi rakyat memilih tawaran kepemimpinan terbaik, malah mengelakkan
terjebak daripada tipu daya oleh dunia politik yang serba licik.
Penulis ialah Pensyarah di Fakulti Pengajian Islam, UKM
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan