Oleh : Amidi Abdul Manan
Pendedahan terkini dikemukakan
menerusi Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan seharusnya diteliti dengan
rasa penuh kebimbangan. Menurut kajian yang dikemukakan Kementerian Kesihatan,
jelas menunjukkan peningkatan mendadak masalah kesihatan mental yang dialami
kanak-kanak dan remaja berumur lingkungan 15 tahun ke bawah (BH 8 Oktober 2012).
Kenyataan ini amat menggusarkan
kita kerana mereka adalah kelompok yang bakal meneruskan kesinambungan generasi
kini. Sebarang cacat cela yang berlaku terhadap mereka akan mempengaruhi hitam
putih pembentukan negara pada masa hadapan.
Asas kekuatan insan banyak
bertunjang kepada kemampuan akal dan fikiran. Menerusi akal dan fikiran yang
sihat, individu akan bersikap proaktif, reseptif serta mampu menyesuaikan
secara positif terhadap keadaan persekitaran.
Insan yang mempunyai akal fikiran
sihat mampu menyumbang secara konstruktif serta efektif demi kebaikan rakyat
serta negara tercinta. Namun, dalam keadaan mental yang tidak sihat, individu
bakal mengganggu-gugat kitaran pembentukan generasi yang kukuh.
Citra wibawa generasi muda
Usia remaja serta kanak-kanak
adalah detik penting dalam pendidikan setiap insan. Ketika tempoh itu,
kemampuan kognitif serta sosial individu secara asasnya akan dipupuk.
Usaha itu akan tergendala jika
kanak-kanak serta remaja gagal mengawal emosi, bersikap mengasingkan diri
(tidak mahu berinteraksi secara sosial), serta sering berfikiran negatif.
Cerminan masa depan negara akan
ditampilkan menerusi citra wibawa generasi mudanya. Menjadi tanggungjawab kita
untuk memastikan citra wibawa mereka dapat dibentuk dengan kukuh.
Pada peringkat awal usia,
kanak-kanak perlu didedahkan untuk berinteraksi dengan persekitaran. Kebebasan
untuk mentafsir perlu digalakkan di bawah pemerhatian ibu bapa dan keluarga.
Apabila seseorang menganjak ke
usia remaja, potensi perlu digilap dengan memahami kehendak serta pemikiran
mereka. Galakan serta sokongan perlu diberikan jika apa yang difikirkan (
remaja) mampu membawa kebaikan.
Sebaliknya, mereka juga perlu
ditegur serta dihukum secara membina untuk menyedarkan akan implikasi negatif
terhadap sesuatu perkara (sekiranya mereka melakukan perkara negatif).
Dengan lain perkataan, daripada
hasil Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan bermaksud kegagalan kita
melahirkan generasi muda yang mempunyai kesihatan mental membanggakan kerana
dalam usia sebegini seseorang masih di bawah jagaan dan bimbingan ibu bapa
serta keluarga.
Tahap kompetensi tinggi
Justeru, bagi mengatasi masalah
ini, ilmu yang berkaitan dengan keluarga perlu diberi perhatian. Ibu bapa perlu
dibantu agar mempunyai tahap kompetensi tinggi.
Ia perlu meliputi kaedah mengenal
pasti masalah, punca dan tanda, langkah yang wajar diambil serta akhirnya
kepada kaedah bimbingan dan penyelesaian masalah. Ini adalah cabaran yang perlu
dihadapi ibu bapa masa kini.
Proses pendidikan terhadap
golongan ini perlu melangkaui kebiasaan masa ini. Semangat persaingan yang
bersifat materialistik serta individualistik hanya menambahkan tekanan ke atas
remaja atau kanak-kanak.
Meletakkan mereka dalam kancah
saingan seperti ini melahirkan sikap mementingkan diri serta kiasu yang hanya
menjejaskan pertumbuhan emosi. Persaingan seperti ini akan meruntun semangat
ingin membina jati diri yang positif.
Mereka harus didedahkan dengan
persaingan sihat, yakni sebarang kejayaan serta kegagalan dinilai sebagai
sumber pengajaran untuk memperkemaskan jati diri mereka.
Hubungan dua hala
Ibu bapa serta keluarga tidak
harus cuai dalam menampilkan interaksi emosi yang positif untuk membina
keyakinan dalam hubungan dua hala di antara mereka. Hanya menerusi interaksi
positif (antara ibu bapa), proses pendidikan mampu dijalankan secara menyeluruh.
Untuk membantu individu mencapai
puncak potensi diri, kesihatan akal serta fikirannya perlu dihormati serta
dijaga. Ia perlu dielak daripada dicemari elemen materialistik, individualistik
serta hedonistik yang mengalpakan fitrah insan.
Kemampuan akal serta fikiran
individu adalah hak yang sudah dimartabatkan secara adil oleh Allah SWT.
Justeru, menjadi tanggungjawab kita bersama untuk menghormati kurniaan ini demi
kebaikan agama, bangsa dan negara.
Penulis ialah Presiden
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
Sumber : http :
//www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan