Sabtu, 27 Oktober 2012

ISU SAINS DAN TEKNOLOGI : Pelaksanaan AES terus dipersoal


Oleh : Rejal Arbee
 
Teliti kaedah penguatkuasaan bagi pastikan pemandu patuhi peraturan

Pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) terus saja menimbulkan pelbagai reaksi yang mempersoalkan pelbagai aspek sistem itu termasuk cara ia dilaksanakan dan bagaimana perkara untuk mengurangkan kemalangan pun perlu diswastakan.

Diakui ia diwujudkan dengan tujuan mengurangkan kemalangan yang semakin meningkat dan meragut banyak nyawa. Dua daripada sebab utama kemalangan yang dikenal pasti ialah tidak mematuhi lampu isyarat dan memandu laju. Oleh itu, kamera untuk mengesan pesalah di bawah sistem itu dipasang di tempat di mana banyak berlaku kemalangan kerana melanggar lampu merah atau memandu dengan laju. Sememangnya hasrat kerajaan adalah baik tetapi niat baik saja tidak memadai sekiranya ia menimbulkan banyak rungutan ramai.

90 negara sudah laksana

Kementerian Pengangkutan berusaha sedaya upaya untuk menghadapi rungutan tetapi perasaan tidak puas hati terus saja timbul walaupun ia dilaksanakan dengan tujuan mendorong pengguna jalan raya lebih bertanggungjawab apabila memandu.

Dikatakan kerajaan telah meneliti sistem itu sejak 2003 lagi dan mendapati lebih 90 negara di seluruh dunia sudah melaksanakannya hingga ada yang mendapati ia berjaya mengurangkan kejadian kemalangan jalan raya sehingga 60 peratus.

Bagaimanapun, kerajaan juga menyatakan bahawa sistem itu diadakan bukan bertujuan menghukum pemandu tetapi ditujukan hanya kepada mereka yang tegar melakukan kesalahan dengan harapan penguatkuasaannya boleh mendorong mereka mengubah corak memandu supaya sentiasa mematuhi peraturan jalan raya.

Ramai pemandu, baik kenderaan awam, teksi, lori dan bas dan penunggang motosikal tidak menghiraukan pengguna jalan raya lain dan hanya mementingkan diri sendiri saja. Kementerian Pengangkutan menjamin bahawa isyarat mengenai wujudnya kamera diadakan secukupnya untuk memberi amaran awal kepada pemandu mematuhi had laju. Malangnya ia berupa janji saja kerana tanda amaran awal tidak terdapat di semua tempat. Misalnya di Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) kira-kira 200 meter selepas persimpangan dari LDP menghala ke Bangi dan Semenyih, papan tanda amaran tidak jelas. Malah tanda had laju di situ juga tidak kelihatan.

Sebagai sebuah lebuh raya tentunya pengguna menganggapkan had lajunya ialah 110km/j tetapi bagi laluan itu hingga ke persimpangan ke Uniten (Universiti Tenaga) ia adalah hanya 90 km/j saja. Ini menimbulkan kesangsian kenapa diwujudkan had laju berbeza untuk lebuh raya dengan tanpa tanda yang jelas lagi kerap?

Kononnya bagi kawasan di mana lebuh raya melintasi sebuah bandar atau perkampungan had lajunya hanya 60km/j saja seperti laluan PLUS di Jitra tetapi bagi SKVE ini ia tidak pula melalui perkampungan atau bandar di situ. Maka timbul persoalan kenapa had laju berbeza, ditambah pula tanda hadnya tidak jelas atau diperbanyakkan. Di sepanjang beberapa kilometer SKVE itu hanya ada satu saja tanda had laju 90 km/j.

Had laju lebuh raya berbeza

Ini memberi gambaran seolah-olah pihak berkuasa sengaja mahu memerangkap pemandu. Tanda had laju sepatutnya diadakan dengan lebih kerap dan terpampang supaya boleh dilihat dengan mudah memandangkan lebuh raya kita mempunyai had laju yang berbeza. Persoalan juga timbul kenapa usaha ini pun diswastakan kerana umum mengetahui penswastaan beberapa projek demikian seperti PLUS dan projek penjanaan elektrik lebih memihak kepada syarikat yang berterusan mengaut keuntungan melampau.

Sebenarnya tidak salah diswastakan asalkan penjawat awam yang diberi amanah melihat butiran perjanjian tidak berat sebelah dan terlalu memihak kepada syarikat hingga mengabaikan hak kerajaan dan orang ramai.

Misalnya syarikat PLUS yang mengendalikan Lebuhraya Utara Selatan hingga kini berterusan mengaut keuntungan yang berlebihan hanya kerana jumlah kenderaan yang menggunakannya bertambah berlipat kali ganda daripada apa yang diunjurkan pada waktu mahu mendapatkan kontrak. Walaupun demikian, ia berterusan diberi kebenaran untuk menaikkan kadar tol setiap tiga tahun. Sekiranya kerajaan tidak mahu benarkan kenaikan, kerajaan terpaksa membayar jumlah lebihan yang syarikat itu sepatutnya boleh raih.

Jadi sudah sampai masa kerajaan melihat kembali perjanjian yang amat berat sebelah ini seperti  juga yang berkuat kuasa untuk beberapa syarikat penjana elektrik (IPP) seperti YTL Power yang meraih keuntungan melampau hanya kerana perjanjian menetapkan syarikat tenaga elektrik mesti menerima semua kuasa elektrik yang dijananya walaupun TNB tidak memerlukannya pada sesuatu masa tertentu. Jadi ia berterusan menjana sehingga hampir 100 peratus daripada kapasitinya.

Elektrik bukanlah barangan yang boleh disimpan. Apa-apa kuasa dijana harus digunakan pada waktu sama kalau tidak, ia terbuang saja tetapi TNB tetap perlu membayar keseluruhan tenaga dijana syarikat.

Perjanjian ini menunjukkan bahawa penjawat awam yang diberi amanah mesti melihat setiap butiran dengan teliti supaya tidak membebankan kerajaan dan orang ramai. Sehingga kini butiran perjanjian itu tidak pernah diumumkan dan berterusan menjadi rahsia. Diharapkan setiap usaha penswastaan tidak harus membebankan kerajaan dan pembayar cukai. Keuntungan yang munasabah sememangnya boleh diterima tetapi yang melampau tidak harus disokong.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan