Khamis, 25 Oktober 2012

ISU SOSIAL : Melahirkan generasi bebas hutang suatu perjuangan


Oleh : Amidi Abdul Manan
 
Cabaran yang dihadapi oleh lepasan pendidikan tertiari semakin mencabar hari ini. Mereka memerlukan pelbagai kemahiran bagi mendepani kerencaman keperluan pasaran pekerjaan. Tidak cukup dengan segulung ijazah atau diploma mereka perlu terus belajar bagi memastikan diri sentiasa kompeten dengan cabaran semasa.

Isu pembayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang dibangkitkan tidak lama dulu masih segar di ingatan kita. Selain sikap yang liat untuk membayar semula pinjaman, kekangan kewangan yang dirasai semakin mencekik dan menyesakkan dada juga harus diakui. Peningkatan kos hidup terutama di bandar merupakan realiti yang benar-benar berlaku. Rungutan mengenai harga rumah yang semakin tinggi merupakan petanda bahawa lepasan Institut Pendidikan Tinggi (IPT) kita semakin hilang keupayaan membeli. Harga rumah yang mencecah jutaan ringgit hari ini seolah-olah memberi makna mereka hanya layak untuk tinggal di pinggir bandar atau dengan kata lain mereka kini ‘dihalau’ keluar dari bandar dengan cara terhormat.

Jika mereka ingin juga tinggal di bandar maka mereka hanya layak untuk tinggal di rumah yang sempit dengan kemudahan yang amat minimum sekali.

Kini trend berhutang untuk berkahwin sudah menjadi lumrah kehidupan generasi muda hari ini. Trend ini sudah semestinya terkait rapat dengan peningkatan kos majlis perkahwinan ditambah dengan hantaran yang semakin tinggi.

Ancaman integriti

Situasi sebegini jika dibiarkan menular semahunya akan menjadi barah yang mampu membunuh pembentukan generasi yang beridealisme tinggi. Dengan tekanan hidup yang sebegini maka lahirlah generasi muda yang penakut kerana hidup mereka dikuasai oleh hutang.

Kita telah didedahkan dengan peningkatan peratusan kelompok eksekutif muda yang tergolong dalam golongan muflis kerana terjerat dengan kemudahan kad kredit dan pinjaman peribadi. Ini merupakan ancaman kepada integriti golongan muda yang akan mewarisi kepimpinan negara ini.

Inilah juga antara punca berleluasanya gejala rasuah. Apabila kehidupan semakin terhimpit dan terdesak maka pertimbangan kita akan menjadi semakin serabut dan bercelaru.

Situasi ini juga menjadi ancaman kepada keutuhan rumah tangga. Rutin ibu bapa yang semakin sibuk mencari wang untuk menampung kos sara hidup menyebabkan anak-anak semakin terbiar dan berlakulah gejala sosial yang semakin menakutkan.

Masyarakat bebas hutang

Bilakah ‘putaran maut’ ini dapat kita putuskan? Melahirkan masyarakat bebas hutang adalah satu perjuangan memerdekakan kemanusiaan itu sendiri. Rasulullah SAW juga menganjurkan satu doa yang masyhur yang meminta perlindungan daripada Allah SWT daripada bebanan hutang dan ‘wa qahri rijal’ yang bermaksud dari dikuasai oleh lelaki atau orang lain, yang dalam konteks ini adalah orang yang memberi hutang. Inilah maksud pembebasan atau kemerdekaan diri yang mesti dinikmati oleh semua manusia.

Jika dilihat dari sudut sebuah negara, kemerdekaan dan kedaulatan kerajaan boleh diragut dan dirampas kerana hutang yang tidak mampu dilunaskan. Inilah perkara yang amat kita bimbangkan.

Langkah sebuah syarikat pengeluar kereta yang membenarkan pelajar tahun akhir IPT untuk memiliki kereta adalah amat dikesalkan. Ia umpama menambahkan lagi satu jerat atau meningkatkan lagi jerutan di leher bakal graduan. Kita yakin langkah ini semata-mata didorong oleh saingan untuk menguasai pasaran kereta domestik menerusi pembukaan segmen baru pelanggan. Pelajar perlu mencari wang bagi membayar hutang kereta sedangkan mereka masih lagi belum mempunyai pekerjaan.

Kita tidak mahu persaingan perniagaan membunuh dan melemahkan generasi terpelajar kita ke kancah hutang yang memeritkan. Cuba bayangkan jika syarikat kereta lain juga turut sama bersaing mendapatkan pelanggan baru dengan memberi tawaran yang kompetitif bagi menakluki poket mahasiswa yang masih kosong dan akhirnya semakin bertambahlah golongan ‘eksekutif muflis’ di negara kita.

Penulis ialah Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan