Ahad, 11 November 2012

ISU GLOBAL : Tanggungjawab manusia dan kebajikan haiwan


Oleh : ARIF FAHMI MD YUSOF

SETIAP manusia mempunyai hari istimewa dalam sejarah hidupnya. Hari ulang tahun kelahiran dan perkahwinan disambut setiap tahun. Setiap negara juga mempunyai hari istimewa untuk diperingati yang disambut setiap tahun seperti hari kemerdekaan.

Namun, mungkin ramai dalam kalangan kita yang tidak tahu bahawa haiwan juga mempunyai hari istimewa sendiri iaitu Hari Haiwan Sedunia yang disambut pada 4 Oktober setiap tahun.

Sejarah membuktikan bahawa haiwan mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan manusia dalam aspek kehidupan seharian secara langsung atau tidak. Secara sedar atau tidak, majoriti manusia bergantung kepada sumber dari haiwan bagi keperluan makanan. Dalam aspek ekonomi, sektor penternakan sangat bergantung kepada haiwan bagi menjana keuntungan.

Bagi aspek yang lain, haiwan diperlukan untuk hiburan sebagai haiwan kesayangan. Kesimpulannya, haiwan tidak dapat dipisahkan dari kehidupan manusia.

Haiwan merupakan salah satu makhluk hidup ciptaan Tuhan. Bahkan saintis dari sudut biologi mengklasifikasikan manusia sebagai salah satu daripada jenis haiwan.

Perbezaan di antara manusia dan haiwan ialah akal dan keupayaan untuk berfikir secara rasional. Maka manusia haruslah menggunakan kelebihan tersebut untuk kebaikan sejagat.

Akal fikiran kurniaan Tuhan kepada manusia haruslah digunakan sebaik mungkin. Manusia haruslah menggunakan akal fikiran tersebut dalam menjaga perhubungan sesama manusia dan makhluk lain. Salah satu hubungan yang perlu dijaga selain hubungan sesama manusia ialah hubungan manusia dengan makhluk bernyawa ciptaan Tuhan iaitu haiwan.

Tanggungjawab manusia terhadap haiwan banyak digariskan dalam pelbagai ajaran agama. Semua agama di dunia menyeru kepada pentingnya menjaga kebajikan haiwan. Bahkan dalam beberapa agama, haiwan diklasifikasikan sebagai “suci” dan perlu menerima layanan sebaiknya dari manusia. Tiada satu pun ajaran agama menganjurkan kezaliman dan penganiayaan terhadap haiwan.

Di peringkat antarabangsa, Deraf Deklarasi Universal tentang Kebajikan Haiwan menggariskan prinsip kebajikan haiwan dan tanggungjawab manusia terhadap haiwan.

Deklarasi tersebut antara lain meletakkan prinsip asas bahawa haiwan ialah mahkhluk hidup dan berupaya untuk mempunyai persepsi dan sensitiviti terhadap kesakitan dan keadaan sekeliling. Oleh itu manusia haruslah melayan haiwan dengan sewajarnya dengan penuh rasa kemanusiaan.

Prinsip Lima Kebebasan untuk haiwan yang diterima luas pemakaiannya oleh majoriti negara di dunia perlu diambil kira oleh manusia dalam mengendalikan haiwan. Manusia harus bertanggungjawab memastikan haiwan secara amnya bebas dari kehausan dan kelaparan, bebas dari ketidakselesaan, bebas daripada kesakitan, kecederaan dan penyakit, bebas untuk hidup dalam keadaan yang normal dan bebas dari ketakutan dan penderitaan.

Walaupun manusia mendapat banyak manfaat daripada penggunaan haiwan, pengendalian bagi penggunaan tersebut mestilah dilakukan dengan cara yang wajar.

Dalam menguruskan haiwan-haiwan yang digunakan dalam kehidupan harian, manusia perlulah menitikberatkan soal kebajikan selain mengambil keuntungan dan manfaat dari penggunaan haiwan.

Sebagai contoh, kebajikan haiwan ternakan perlu diambilkira bagi memastikan tiada penganiayaan secara langsung atau tidak langsung kepada sumber makanan kita sehari-harian.

Penternak tidak wajar mementingkan keuntungan semata-mata tanpa menghiraukan keadaan haiwan ternakan yang terpaksa berhimpit-himpit dalam kandang atau sangkar yang saiznya sangat kecil.

Penyembelihan haiwan juga perlulah dibuat dengan cara yang paling boleh mengurangkan kesakitan dengan memastikan alat-alat penyembelihan dan rumah sembelihan berada dalam keadaan yang baik. Penyembelih seharusnya memastikan bahawa haiwan yang disembelih mati dengan sebab penyembelihan yang sempurna dan bukan kerana mati akibat dicampak ke dalam bakul sembelihan.

Bagi mereka yang memiliki haiwan kesayangan seperti kucing dan anjing, haiwan tersebut perlulah dipastikan dalam keadaan yang baik dengan tempat kediaman yang selesa serta makanan dan minuman yang mencukupi. Ibu bapa harus memberikan contoh yang baik kepada anak-anak tentang cara penjagaan haiwan kesayangan dan berusaha mengelakkan daripada berlakunya penganiayaan.

Dalam kes penganiayaan haiwan, mungkin segelintir antara kita berpendapat yang dizalimi dan dibunuh hanyalah haiwan bukannya manusia. Namun kita harus sedar haiwan juga makhluk bernyawa seperti manusia, mampu mengerti kesakitan dan ketakutan.

Mereka juga makhluk Tuhan yang sebahagian besarnya sangat berjasa dan memberi manfaat serta keuntungan besar kepada kehidupan manusia. Oleh itu amat wajar sekali kita menghargai mereka sebagai haiwan dengan menjaga kebajikan mereka, memperlakukan mereka dengan adil dan menjauhkan mereka daripada  penganiayaan dan kezaliman.

Rakyat Malaysia yang prihatin dengan kebajikan haiwan amat mengalu-alukan langkah kerajaan untuk menggubal Akta Kebajikan Haiwan bagi menggantikan Akta Haiwan 1953. Berbanding dengan Akta Haiwan 1953 yang hanya memperuntukkan hukuman denda maksimum RM200, penganiaya haiwan bakal berdepan dengan hukuman denda maksimum yang lebih berat sehingga RM100,000 di bawah Akta Kebajikan Haiwan yang baru.

Peruntukan hukuman yang lebih berat untuk penganiaya haiwan adalah langkah yang boleh dipuji untuk mencegah kejadian penganiayaan haiwan berulang. Walau bagaimanapun, hukuman bukanlah jalan penyelesaian utama kepada jenayah terhadap haiwan. Keutamaan juga perlu diberi kepada sistem pendidikan negara bagi menyemai perasaan tanggungjawab kepada haiwan. Aspek kebajikan haiwan perlu diterapkan dalam matapelajaran di sekolah dan kursus-kursus berkaitan di institusi pengajian tinggi.

Sempena Hari Haiwan Sedunia yang disambut pada 4 Oktober setiap tahun, rakyat Malaysia berharap agar Rang Undang-Undang Kebajikan Haiwan dapat dibentangkan segera di Parlimen. Sebagai tuan rumah kepada Persidangan Global mengenai Kebajikan Terhadap Haiwan (GCAW) Pertubuhan Dunia untuk Kesihatan Haiwan (OIE) yang ketiga yang bakal berlangsung November ini, tumpuan dunia sudah pasti kepada Malaysia untuk melihat komitmen negara dalam kebajikan haiwan.

* Penulis Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan kini sedang melanjutkan pengajian di peringkat PhD di Universiti Victoria, Melbourne, Australia.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan