Ahad, 18 November 2012

ISU PENDIDIKAN : Memilih aliran sains dengan penuh kesedaran


Oleh : Zin Mahmud

Insentif yang diberikan kepada ibu bapa pelajar-pelajar sains sememangnya wajar dihargai, tetapi bagi memilih aliran sains, seseorang pelajar hendaklah melakukannya dengan penuh kesedaran dan bukannya semata-mata kerana dorongan kewangan.

Begitu juga, janganlah memilih aliran sains kerana kedudukannya yang dipandang tinggi. Atau kerana desakan ibu bapa dan masyarakat.

Sememangnya negara dan masyarakat memerlukan lebih ramai lulusan aliran sains kerana banyak bidang masih memerlukan sumber manusia aliran ini, tetapi akhirnya yang akan menanggung dan menjalani kehidupan sebagai lulusan aliran sains adalah setiap individu pelajar berkenaan. Tidak semua daripada mereka berakhir dengan kejayaan. Banyak pelajar sains yang patah di tengah jalan, ketika mana kemungkinan mereka boleh lebih berjaya dalam hidup jika memilih aliran sastera.

Hakikatnya aliran sains sememangnya sukar berbanding dengan sastera. Fizik, kimia dan matematik tambahan adalah mata-mata pelajaran yang sukar, walaupun ia boleh dikuasai.

Sememangnya ada pelajar yang mempunyai bakat dalam sains. Mereka yang cerdik dalam bidang ini tidak bermasalah dalam kerjayanya.

Mereka perlu belajar dalam tahap yang sewajarnya, dan akhirnya berjaya dalam SPM dengan cemerlang. Selalunya mereka mudah memasuki sekolah berasrama penuh, kemudian ditawarkan biasiswa untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara. Mereka akan pulang dengan keputusan cemerlang. Maka antara mereka dengan mudah akan menjadi doktor, jurutera dan ahli-ahli sains. Pelajar-pelajar cemerlang seperti ini tidak menghadapi masalah.

Golongan yang bermasalah adalah pelajar yang jenis sederhana. Mereka boleh menguasai bidang sains tetapi usaha mereka mesti berlipat-lipat ganda berbanding pelajar cemerlang.

Pelajar-pelajar sederhana aliran sains adalah golongan yang cemerlang juga. Termasuk dalam golongan ini ialah mereka yang sebenarnya kurang minat terhadap sains, dan cenderong kepada sastera. Andai kata mereka memasuki aliran sastera, besar kemungkinan mereka boleh mencapai kecemerlangan, tetapi oleh sebab mereka memasuki aliran sains, maka jatuhlah mereka ke tahap sederhana.

Walaupun peluang pekerjaan bagi aliran sains adalah besar tetapi realitinya banyak daripada mereka menghadapi dilema setelah memperoleh ijazah.

Dua bidang kerjaya utama bagi pelajar aliran sains adalah perubatan dan kejuruteraan. Selain itu terdapat juga jenis-jenis pekerjaan lain yang berkaitan, tetapi apabila mereka tidak berminat dalam bidang pekerjaan berkaitan, atau pekerjaan yang ada terlalu khusus dan tidak menarik maka akhirnya mereka terpaksa bekerja dalam bidang yang sebenarnya tidak perlu lulus dalam aliran sains. Maka, segala susah payah belajar dalam aliran sains menjadi sia-sia.

Banyak siswazah mengharapkan pekerjaan dengan kerajaan. Maka tidak kurang pula lulusan aliran sains yang berakhir menjadi guru sainss, tetapi ada waktunya berlaku lambakan guru sains di banyak tempat. Hinggakan sukar bagi guru sains untuk meminta pindah sekolah.

Sementara guru bidang lain pula yang berkurangan. Maka berlakulah guru lulusan sains terpaksa mengajar mata pelajaran lain seperti bahasa Melayu atau bahasa Inggeris. Maka segala tungkus lumus mereka belajar sains dahulu menjadi sia-sia.

Dalam pada itu, lihatlah pula keadaan masyarakat. Walaupun doktor, jurutera , pakar komputer dan ahli sains diperlukan tetapi hakikatnya mereka yang mendapat kedudukan tinggi, berkuasa dan berpengaruh bukan datangnya daripada lulusan aliran sains.

Walaupun terdapat doktor dan jurutera yang menjadi ahli politik, tetapi kebanyakan daripada mereka datangnya daripada kalangan aliran sastera iaitu peguam.

Begitu juga dalam bidang keusahawanan dan korporat, kebanyakan daripada mereka datangnya daripada aliran sastera, atau disebut aliran ikhtisas, iaitu mereka yang belajar dalam bidang pengurusan, perniagaan dan perakaunan.

Dalam pentadbiran kerajaan pula, kebanyakan yang menjadi Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) adalah dari kalangan lulusan aliran sastera, sama ada dalam bidang pentadbiran, ekonomi, sains politik, kesusasteraan, sejarah dan seumpamanya.

Malah lulusan aliran sains yang cemerlang masa menjadi pelajar akan mendapati bahawa apabila mereka bekerja kelak, ketua mereka adalah dari kalangan lulusan aliran sastera.

Dalam masyarakat pula yang memperoleh penghormatan lebih tinggi adalah kalangan ustaz, ulama dan lulusan bidang agama, yang merupakan sebahagian daripada aliran sastera. Orang ramai lebih mempercayai ulama daripada ahli sains dalam banyak perkara kehidupan.

Malah dalam perubatan pun, sebilangan besar masyarakat lebih mempercayai ustaz dan usahawan perubatan alternatif berbanding doktor yang merupakan lulusan aliran sains.

Sememangnya kini adalah kebangkitan wanita dalam pelbagai bidang termasuklah aliran sains, tetapi wanita-wanita bidang hiburan seperti penyanyi, pelakon dan pengacara tentu jauh lebih glamor.

Inilah realitinya walaupun masyarakat memerlukan lulusan aliran sains untuk berfungsi dalam zaman teknologi moden ini.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan