Rabu, 30 Januari 2013

ISU ALAM SEKITAR : Sikap pengguna buang sisa pepejal punca banjir kilat


Oleh : Dr Wan Mohd Faizal Wan Ishak
 
Langkah bersepadu perlu dilaksana elak kos pemulihan terus meningkat

Secara asasnya pertumbuhan ekonomi di kawasan Asia meningkatkan taraf sosio kehidupan penduduknya. Pada masa sama, keadaan ini membawa kepada peningkatan penggunaan sumber semula jadi dan eksplotasi persekitaran untuk keperluan sosial dan industri. Akibatnya, di kebanyakan bandar negara Dunia Ketiga, pembuangan sampah yang tidak diurus dengan baik akan mengakibatkan masalah besar seperti banjir.

Penghasilan sisa pepejal di kebanyakan negara Asia meningkat terutama di negara mempunyai kepadatan penduduk tinggi dan sistem pengurusan sisa pepejal yang teruk serta pemahaman mengenai kepentingan penjagaan yang masih rendah. Sekiranya setiap individu terus mengamalkan sikap suka membuang sisa pepejal secara tidak berhemah, masalah banjir kilat akan menjadi lebih kritikal.

Banjir adalah bencana alam yang sering melanda di kebanyakan tempat di Malaysia. Ia berpunca daripada ketidakseimbangan kitaran air yang biasanya disebabkan peningkatan kawasan tepu bina, kelemahan sistem pengairan bandar di sesebuah lembangan dan beberapa faktor fizikal lain.

Sebagai contoh kawasan yang sering dilanda banjir ialah kawasan tanah rendah terutama di kawasan Pantai Timur Semenanjung seperti Pahang, Terengganu dan Kelantan yang dilanda musim tengkujuh antara November hingga Mac. Masalah ini menyebabkan penduduk kehilangan harta benda dan paling menyedihkan ia juga meragut banyak nyawa.

Masalah banjir juga turut berlaku di Georgetown, Pulau Pinang khasnya di sekitar Jalan P Ramlee dan Jalan Perak pada September 1995. Banjir kilat berlaku sekiranya hujan lebat untuk tempoh masa agak lama disertai peningkatan paras air sungai yang mendadak.

Pembuangan sampah

Antara punca masalah banjir kilat ialah pembuangan sampah sarap oleh penduduk yang tidak bertanggungjawab. Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) turut memperakui bahawa sisa pepejal adalah punca berlakunya masalah banjir di kawasan berkenaan.

Di Kuala Lumpur, banjir kilat sering berlaku di sekitar Jalan Klang Lama, Kampung Baru, Pantai Dalam dan Kampung Haji Abdullah Hukum. Kepadatan penduduk yang semakin bertambah dan kepesatan pembangunan di Kuala Lumpur memburukkan lagi keadaan.

Hal ini dibuktikan dengan terjadinya banjir kilat yang agak serius sejak kebelakangan ini, termasuk pada 10 Jun 2003 yang mana bandar raya Kuala Lumpur ditenggelami air diikuti pada 14 Julai 2004 di mana kawasan sekitar Sungai Buluh pula dilanda banjir. Kejadian terbaru banjir kilat di Kuantan pada 24 Disember 2012 lalu pula akibat limpahan air Sungai Galing dan menenggelamkan beberapa kawasan bandar Kuantan sehingga 1.5 meter.

Walaupun fenomena hujan lebat yang dikaitkan dengan masalah pemanasan global dikatakan sebagai punca utama, faktor asas lain seperti pembuangan sisa pepejal yang menghalang pengaliran air yang sempurna tidak boleh dipandang remeh dan perlu diselesaikan bagi mengelakkan perkara seperti ini berulang lagi pada masa hadapan.

Tiada kesedaran

Sikap penduduk membuang sampah ke dalam longkang atau perparitan menyebabkan sistem pengaliran air tersekat. Kebanyakan sampah yang dibuang ke dalam parit perbandaran akan mengalir ke dalam sungai dan menyebabkan pengaliran air sungai tidak lancar.

Selain itu, endapan terkumpul akibat kerja pembinaan yang pesat dan tidak terkawal serta hakisan tebing menyebabkan parit dan kawasan sungai menjadi cetek. Hal ini akan mengurangkan kapasiti pengaliran air dan menyebabkan limpahan sungai.

Beberapa siri banjir dan banjir kilat sejak 2001 sehingga 2012 di negeri-negeri Pantai Timur dan pada 2006 di Johor menelan kos pemulihan jutaan ringgit dan ia akan terus meningkat pada masa akan datang jika langkah bersepadu membendung banjir tidak dilaksanakan.

Secara asasnya bagi mengelakkan kejadian banjir kilat ini terus melanda sama ada di kawasan yang biasa terkena banjir atau tidak, setiap individu mesti mempunyai kesedaran yang maksimum untuk mengubah cara pemikiran mereka supaya masalah pembuangan sisa pepejal ke sistem perparitan dan sungai tidak berlaku sesuka hati.

Penulis ialah Pengarah Pusat Penyelidikan & Pembangunan Sumber Alam (CERRM) Universiti Malaysia Pahang

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan