Ahad, 20 Januari 2013

ISU PENDIDIKAN : Hanya 6 guru mohon kebenaran aktif berpolitik



JOHOR BAHRU - Kementerian Pelajaran hanya menerima enam permohonan daripada pegawai pendidikan perkhidmatan siswazah Gred DG41 hingga DG48 untuk melibatkan diri dalam politik.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, permohonan kurang memberangsangkan itu berkemungkinan disebabkan mereka bimbang dikenakan tindakan sekiranya terlibat dengan aktiviti sedemikian.

"Mungkin mereka (guru) takut dedahkan identiti sedangkan mereka tidak perlu ragu-ragu kerana kerajaan tidak akan mengambil tindakan.

"Contohnya, tiada tindakan diambil terhadap pelajar yang aktif berpolitik selepas pindaan terhadap Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dilakukan.

Jadi, sebaik-baiknya, minta kebenaran jika hendak berpolitik dan jangan bawa hal politik ke dalam sekolah," katanya kepada pemberita selepas menutup Forum Bual Bicara Strategik Penyatuan Umat Islam Bersama Pesara Guru Negeri Johor, di sini, hari ini.

Mulai 1 Ogos 2010, kerajaan membenarkan pegawai pendidikan perkhidmatan siswazah Gred DG41 hingga DG48 membabitkan diri dalam politik dengan syarat kebenaran rasmi perlu dibuat terlebih dahulu.

Beliau berkata, kebenaran berpolitik dengan syarat tidak memegang jawatan penting seperti pengetua dan pegawai pelajaran itu bertujuan melahirkan lebih ramai pelapis pemimpin selain melambangkan tugas guru sebagai pemimpin bukan sekadar di bilik darjah tetapi di peringkat masyarakat.

Sementara itu, Mohd Puad berkata, dialog Kabinet berkenaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 akan diadakan 30 Januari ini bagi membincangkan mengenai pelaksanaannya.

Dialog itu, katanya, merupakan sesi terakhir perbincangan sebelum pelan tersebut dikemukakan kepada kabinet untuk diluluskan.

September lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang menggariskan 11 anjakan strategik dan operasi untuk mengubah sistem pendidikan negara.

Antara yang digariskan adalah menyediakan akses sama rata untuk pendidikan berkualiti dengan standard antarabangsa, memastikan setiap pelajar fasih dalam Bahasa Malaysia dan Inggeris, membangunkan rakyat Malaysia yang dipacu nilai murni dan menjadikan perguruan sebagai profesion pilihan.

Mengenai perbuatan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Taman Ungku Tun Aminah, dekat Skudai, Johor Baharu menawarkan diskaun yuran komputer bagi menggalakkan ibu bapa membayar yuran terbabit menggunakan wang Bantuan Khas Awal Persekolahan sebanyak RM100, beliau berkata arahan sudah dikeluarkan kepada Jabatan Pelajaran Johor untuk menyiasat dan mengenakan tindakan sewajarnya terhadap sekolah itu.

Beliau berkata, perbuatan itu melanggar pekeliling yang dikeluarkan dan kementerian tidak mahu perbuatan seumpama itu dijadikan isu oleh ibu bapa para pelajar. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan