Jumaat, 15 Februari 2013

ISU EKONOMI : TripAdvisor umum tarikan utama Malaysia

Menara Berkembar Petronas mengungguli di tempat pertama antara 10 tarikan utama pelancong tahun lalu. 

KUALA LUMPUR, 14 Feb - TripAdvisor, laman perjalanan terbesar di dunia, hari ini mengumumkan tarikan yang mendapat penarafan tinggi di Malaysia dan menjadi bualan pelancong dunia pada 2012.

Dalam satu kenyataan, TripAdvisor berkata Menara Berkembar Petronas, Kuala Lumpur mengetuai senarai itu.

"Menara ini memang mengagumkan, terutama pada waktu malam, dengan limpahan cahayanya.

"Ia sangat besar dan sukar untuk merakamkannya dalam satu gambar," kata seorang pelancong TripAdvisor.

Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC), yang menduduki tempat kedua, menyediakan apa sahaja dan semua yang anda perlukan, daripada kopi hinggalah kedai, restoran dan bar, kata seorang lagi pelawat.

Kereta Kabel Langkawi, Kedah, menduduki tempat ketiga.

"Anda boleh memberi tumpuan atas panorama kehijauan sepanjang laluan dan kami menikmati pemandangan matahari terbenam, kata seorang pelancong.

TripAdvisor berkata Taman Burung Kuala Lumpur, yang menduduki tempat keempat disifatkan oleh seorang pelawat sebagai tambahan selepas melawat Taman Orkid Nasional.

"Kami meluangkan masa tiga jam memerhatikan pelbagai jenis burung menerusi kawasan kanopi yang besar.

"Saya akan mencadangkannya kepada sesiapa sahaja, malah yang kurang berminat terhadap burung," katanya.

TripAdvisor berkata 10 tarikan Malaysia yang menjadi bualan pada 2012, dari gedung beli-belah hinggalah muzium dan taman tropika, diberikan rangking berdasarkan rebiu (ulasan) yang diterima oleh TripAdvisor.com bardasarkan alamat protokol Internet, antara 1 Jan 2012 dan 31 Dis 2012.

TripAdvisor, yang beroperasi di Malaysia pada Mac 2011 ialah laman web terbesar dunia dan beroperasi di 30 negara, termasuk China.

Ia mengetengahkan 1,443 hotel, 1,235 rumah tumpangan, 143 sewaan percutian, 3,024 restoran dan 941 aktiviti untuk dilakukan, dengan usaha sama organisasi utama di Malaysia seperti Malaysia Airlines, AirAsia, Maxis dan Tourism Malaysia. -- BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan