Jumaat, 15 Februari 2013

ISU SOSIAL : Paras rupa kurang menarik dorong penderaan kanak-kanak


KUALA LUMPUR : Kajian polis mendapati kanak-kanak yang mempunyai paras rupa kurang menarik antara yang mudah menjadi mangsa dera.  

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Penderaan dan Kanak-kanak(D11), Jabatan Siasatan Jenayah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Asisten Komisioner Hamidah Yunos, berkata paras rupa tidak menarik dilihat menjadi faktor pendorong perasaan marah ibu bapa atau penjaga dan seterusnya bertindak untuk memukul. 

"Kalau kita tengok dalam kalangan adik beradik pun biasanya yang tidak menarik parasnya akan dipinggirkan, begitu juga dengan kes dera, ibu bapanya terdorong untuk memukul," katanya kepada Bernama.

Hamidah berkata kajian juga mendapati ibu bapa yang pernah didera semasa zaman kanak-kanak sebenarnya turut mempengaruhi psikologi mereka melakukan perkara yang sama terhadap anak-anak mereka.  

Beliau berkata tekanan kerja kekal menjadi faktor utama berlaku penderaan terutama apabila kebanyakan ibu bapa masa kini mempunyai kerjaya.             

"Mereka tidak lagi mempunyai pertimbangan untuk tahan dengan sikap anak-anak dan sasarannya anak-anak yang banyak ragam atau nakal.           

"Begitu juga dengan kanak-kanak yang berada di bawah jagaan pengasuh, apabila mereka ditekan oleh ibu bapa agar memastikan penjagaan anak-anak mereka berada pada tahap terbaik, ia seakan menjadi bebanan kepada pengasuh sehingga berlakunya kes penderaan," katanya.

Hamidah turut mendedahkan trend ibu bapa dan pengasuh masa kini mudah mereka-reka cerita kononnya anak atau kanak-kanak di bawah jagaan mereka mengalami kecederaan akibat terjatuh atau sebagainya bagi mengaburi perbuatan dera yang telah dilakukan.          

"Apabila hari-hari didera, kanak-kanak itu tadi mengalami kecederaan kritikal, pelaku mula risau dan membawa kanak-kanak berkenaan ke hospital untuk mendapatkan rawatan dengan melaporkan kanak-kanak itu terjatuh atau sebagainya.

"Tapi apabila pemeriksaan dijalankan, doktor mendapati kecederaan yang dialami kanak-kanak itu sebenarnya kesan luka lama dipercayai didera.

"Ia juga sama sekali tidak konsisten dengan laporan yang dibuat pelaku semata-mata untuk melindungi diri mereka daripada perbuatan mendera," katanya.              

Beliau berkata sekiranya doktor yang memeriksa berhadapan dengan kes seperti itu, mereka mempunyai kuasa untuk melaporkan kes kepada pihak polis dan pelaku itu tadi tidak mempunyai peluang untuk melepaskan diri di atas perbuatan yang telah mereka lakukan.       

"Apabila kita terima laporan, kita akan hubungi Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk beri sesi kaunseling atau tempat perlindungan kepada mangsa. Kita juga akan jalankan siasatan dan mangsa yang berumur di bawah 16 tahun akan dihantar ke Pusat Sokongan dan Temuduga Forensik Kanak-kanak (PSTFK) untuk rakaman keterangan melalui video," katanya.

Katanya ibu bapa dan pengasuh menjadi penyumbang utama dalam kes penderaan kanak-kanak dengan statistik terkini merekodkan sebanyak 285 kes penderaan kanak-kanak pada tahun lalu berbanding 2010 sebanyak 242 kes.      

“Statistik itu juga menunjukkan peningkatan kira-kira 17.8 peratus. Ia menunjukkan orang ramai termasuk doktor yang merawat mangsa dera semakin peka dan mempunyai kesedaran untuk melaporkan kes penderaan kepada pihak polis.               

“Ini bermakna masyarakat telah sedar bahawa penderaan kanak-kanak adalah jenayah berbanding dulu," katanya.        

Berdasarkan statistik, kanak-kanak berusia satu hingga tujuh tahun menjadi mangsa penderaan tertinggi dalam tempoh dua tahun berturut-turut iaitu pada tahun lalu sebanyak 136 orang berbanding 117 pada 2011, diikuti kanak-kanak berusia tujuh tahun ke atas sebanyak 99 orang berbanding 82 orang dan kanak-kanak berusia kurang satu tahun sebanyak 50 orang berbanding 43 orang,katanya.

“Majoriti penderaan berlaku ke atas kanak-kanak lelaki yang dianggap lebih lasak berbanding kanak-kanak perempuan,” katanya.              

Statistik turut merekodkan kes penderaan tertinggi mengikut negeri adalah Selangor dan Johor, masing-masing 67 kes diikuti Pulau Pinang (25), Negeri Sembilan (24), Kuala Lumpur (18), Sarawak (15), Melaka (13), Perak (12), Kelantan (10), Sabah (10), Pahang (9), Kedah (8), Terengganu (4) dan Perlis (3).              

Individu didapati bersalah melakukan penderaan boleh didakwa mengikut Seksyen 31 Akta Kanak-kanak (AKK) iaitu kesalahan penganiayaan, pengabaian, pembuangan atau pendedahan kanak-kanak yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya, katanya. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan