Selasa, 19 Februari 2013

ISU GLOBAL : Kesan psikologi 9/11 terhadap ekonomi, rakyat AS



Oleh : Akhbar Satar 

Pemeriksaan ketat punca penumpang, pelancong berkurangan 6 peratus

Peristiwa 9/11 mengejutkan dunia dan menyimpan misteri yang tidak terduga. Kejadian itu juga menyebabkan rakyat Amerika Syarikat (AS) berada dalam ketakutan, huru-hara, kebimbangan dan fobia terutama apabila membabitkan penerbangan.

Ia berlaku pada 11 September 2001 apabila empat pesawat penumpang dirampas di AS. Dua pesawat berkenaan dilencongkan untuk melanggar menara Pusat Dagangan Dunia (WTC) di New York dan sebuah lagi bangunan Pentagon. Sebuah lagi pesawat pula dipintas dan ditembak jatuh di Shanksville, Pennsylvania ketika menuju US Capitol di Washington DC.

Ada pandangan menyatakan serangan itu adalah peperangan ekonomi dan berjaya menggoncangkan ekonomi AS. Jumlah kematian akibat serangan itu ialah 2,977 orang termasuk 246 dalam empat pesawat berkenaan, lebih besar daripada jumlah kematian akibat serangan di Pearl Harbor iaitu seramai 2,369 orang pada 26 November 1941.

Serangan itu adalah bencana dan malapetaka paling buruk selepas Perang Dunia Kedua dan mengakibatkan kerosakan fizikal AS$55 bilion dan menjejaskan ekonomi AS sehingga AS$123 bilion. Sejak itu, AS berbelanja lebih daripada AS$7.6 trilion dalam bentuk peralatan ketenteraan dan inisiatif keselamatan negara.

Pemeriksaan ketat

Penulis yang baru kembali dari AS dapat merasai pengalaman melalui pemeriksaan keselamatan sangat ketat di setiap lapangan terbang di negara itu termasuk Lapangan Terbang JF Kennedy. Malah, sebahagian besar rakyat AS kurang selesa kerana terpaksa melalui pemeriksaan sangat ketat, mengambil masa lama, membosankan serta menjejaskan emosi dan mental.

Kebiasaannya, apa yang perlu dilakukan setiap penumpang ialah memasukkan semua bagasi, menanggalkan tali pinggang, membuka kasut dan mengosongkan poket seluar atau baju dan memasukkan semua itu ke dalam bekas untuk melalui mesin pengimbas. Penumpang pula dikehendaki melalui pengimbas khas menggunakan teknologi gelombang milimeter bagi mengesan sebarang objek tajam atau logam.

Bagi pemeriksaan kedua, penumpang perlu memasuki ruang kaca khas mengandungi mesin pengimbas tubuh menggunakan sinar X sambil mengangkat kedua belah tangan untuk mengesan sama ada cecair, komponen alat letupan yang diubah suai serta senjata bukan logam yang mungkin ada di badan atau di sebalik pakaian penumpang.

Prosedur itu bagi mengelakkan cubaan mengebom pesawat seperti cuba dilakukan seorang lelaki Nigeria yang menyembunyikan bahan letupan dalam seluar dalamnya.

Selepas pemeriksaan tahap kedua, penumpang yang disyaki akan diperiksa sekali lagi menggunakan alat pengesan logam bagi memastikan tidak ada peralatan logam yang boleh digunakan untuk membuat bahan letupan.

Bagi wanita yang bertudung, mereka dikehendaki melalui satu lagi pemeriksaan khusus. Penumpang dikehendaki meletakkan kedua tapak tangan di bahagian hadapan, tengah dan belakang kepala. Selepas itu kedua tapak tangan akan disapukan bahan kimia sebelum ditekap kepada sehelai kain yang akan diletakkan di bawah cahaya mesin pengimbas khas bagi mengesan sebarang bahan berbahaya.

 Penumpang bagai tak berpakaian

Penggunaan alat pengimbas tubuh di lapangan terbang di Amerika Syarikat mendapat bantahan kerana mesin pengimbas itu mampu melihat tubuh penumpang seolah-olah mereka tidak berpakaian. Bagaimanapun, ia masih digunakan pada hampir 75 lapangan terbang di Amerika Syarikat. Penumpang yang tidak mahu melalui mesin pengimbas ini akan dihalang daripada menaiki pesawat.

Kesatuan Eropah pula menentang dan tidak meluluskan penggunaan mesin pengimbas itu di lapangan terbang kerana ia melanggar hak asasi manusia. Dr David Brenner berkata kesan sinar X dipercayai mengandungi 20 kali ganda tahap radiasi dan berisiko menyebabkan kanser kulit. Bagaimanapun sebilangan penumpang bersetuju kerana tahap keselamatan ketat mampu menjamin keselamatan mereka.

Pemeriksaan ketat dan menghabiskan masa terlalu lama di lapangan terbang menyebabkan jumlah penumpang berkurangan enam peratus. Garrick Blalock berpendapat, industri penerbangan kerugian AS$1.1 trilion dan sembilan peratus daripada jumlah itu disebabkan Peristiwa 9/11. Kini ramai rakyat Amerika lebih selesa dan selamat untuk memandu dari satu destinasi ke destinasi lain.

Peristiwa 9/11 memberi kesan mendalam terhadap rakyat dan pentadbiran Amerika Syarikat sehingga mereka terpaksa banyak berbelanja serta mencipta pelbagai kaedah untuk meningkatkan tahap keselamatan, terutama di lapangan terbang. Malah, rakyatnya pula menanggung kesan keselamatan psikologi serta trauma berterusan dan hidup dalam ketakutan hingga hari ini.

Penulis ialah Pengarah Institut Jenayah & Kriminologi Universiti Help

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan