Selasa, 19 Februari 2013

ISU KENEGARAAN : Keperluan menghayati semula Rukun Negara


 Oleh :  Ku Amirul Faiz Ku Seman

BERMULA sejak di bangku sekolah rendah kita diasuh membaca ikrar Rukun Negara dalam majlis-majlis rasmi. Namun persoalan yang berlaku dalam masyarakat ketika ini wujudkah kefahaman tentang Rukun Negara yang dibaca?

Rukun Negara lahir atas inisiatif Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) oleh Timbalan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak pada tahun 1970.

Rukun Negara lahir sempena ulang tahun kemerdekaan negara ke-13 untuk menyedarkan rakyat Malaysia bahawasanya mereka hidup dalam masyarakat majmuk dan perlu menghormati antara satu sama lain.

Dimulakan dengan kepercayaan kepada Tuhan, menuntut rakyat Malaysia untuk mempunyai agama serta pegangan. Waima di dalam Perlembagaan Malaysia, walaupun agama Islam diangkat sebagai agama Persekutuan seperti termaktub di artikel 3, ia masih memberikan peluang dan ruang seluas-luasnya untuk rakyat yang bukan Islam mengamalkan agama masing-masing.

Jika disoal usaha kerajaan dalam memelihara isu agama ini saya berpendapat, usaha yang serius telah dilakukan dalam memelihara hubungan antara penganut semua agama. Selain perayaan orang Islam, perayaan agama lain seperti Wesak, Thaipusam, hari Natal juga diberikan pengiktirafan oleh pihak kerajaan.

Namun begitu dalam kebebasan beragama, semua pihak harus akur mereka hidup dalam keadaan yang berbeza agama dan kaum. Persoalannya kini, dengan segala jenis ancaman liberalisme, masyarakat Malaysia dilihat seperti terjebak dengan budaya hedonisme dan perlakuan seks yang tidak normal. Kita percaya bahawa setiap agama yang ada tidak pernah membenarkannya perilaku seperti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) diamalkan penganutnya. Sungguh malang apabila anak muda Malaysia kini lebih cenderung menerima LGBT dan budaya hedonisme dalam kamus hidup harian mereka.

Ikrar yang kedua di dalam rukun negara ialah kesetiaan kepada raja dan negara. Dalam sistem raja berperlembagaan, rakyat perlu faham peranan serta kedudukan raja-raja Melayu. Kedudukan raja-raja adalah hasil daripada sejarah yang meletakkan raja atau sultan sebagai ketua negeri. Justeru seandainya wujud penghayatan yang mendalam terhadap Rukun Negara, kita berupaya untuk menangkis segala bentuk ancaman terhadap institusi diraja.

Selain itu, tujuh wasiat raja-raja Melayu perlu difahami supaya semangat yang terbentuk ketika menuntut kemerdekaan dahulu dapat terus dipelihara. Sultan serta Raja menjadi lambang perpaduan dalam kalangan rakyat jelata.

Justeru institusi raja harus bebas daripada tohmahan dan serangan daripada mana-mana  pihak yang berniat mala fide untuk memberikan pandangan negatif terhadap institusi ini. Tambahan lagi, pengiktirafan Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua negara terdapat di dalam artikel 32 dalam Perlembagaan Persekutuan.

Elemen ketiga yang diikrarkan ialah keluhuran Perlembagaan. Artikel 4 di dalam Perlembagaan meletakkan Perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi. Dalam erti kata yang mudah, apa sahaja yang bercanggah atau percubaan mencipta polisi atau undang-undang yang bercanggah adalah terbatal. Justeru ia mendidik supaya kita bukan sahaja menghormati Perlembagaan malah memahami sejarah di sebalik Perlembagaan.

Apabila ada pihak yang cuba mempersoalkan isu Perlembagaan seperti Artikel 153, keistimewaan Melayu dan bumiputera, ia dibimbangi  akan menyebabkan berlakunya ketegangan kaum. Oleh itu semua  pemimpin tanpa mengira fahaman politik harus menghormati perkara yang termaktub dalam keadaan masyarakat majmuk di Malaysia.

Seterusnya ialah kedaulatan undang-undang. Suasana di Malaysia agak menarik untuk kita membahaskan  tentang kedaulatan undang-undang. Persepsi ketidakadilan kehakiman yang dilontarkan oleh  pihak tertentu di dalam kes berprofil tinggi meletakkan seolah-olah undang-undang itu tidak dimartabatkan. Sedangkan keputusan yang diputuskan oleh mahkamah boleh dirayu untuk mempersoalkan keadilannya. Ia mesti dilakukan di mahkamah dan bukan di jalan raya. Persepsi hakim dibeli dan mahkamah tidak adil memburukkan lagi imej Malaysia serta perjalanan keadilan.

Rakyat sebenarnya melihat dan akur bahawa mutu keadilan mahkamah diperlihatkan dalam isu liwat pemimpin politik serta isu rasuah yang melibatkan pemimpin kerajaan. Sayap kehakiman tidak seharusnya ditarik ke kancah permainan politik dan harus terus dihormati.

Terakhir yang disenaraikan dalam rukun negara ialah kesopanan dan kesusilaan., Isu kesopanan dan adab menjadi satu isu yang kritikal. Tingkah laku dan hujah parti politik yang bersifat lebih kepada emosional berbanding fakta membawa pada satu petunjuk inikah anak muda Malaysia.

Dalam dunia mahasiswa, hujah yang dilontarkan oleh pihak yang tidak bersetuju selalunya bersifat cemuhan dan makian. Tindak tanduk anak muda yang gagal beradab membawa kepada persepsi anak muda yang ganas, dan bersifat paranoid. Makian dan melabel di laman sosial menunjukkan kualiti pemikiran anak muda yang gagal berfikir secara intelektual.

Maka usahlah kita terkejut seandainya apabila Malaysia mencapai status negara maju, anak muda masih di peringkat kelas ketiga kerana terikut-ikut dengan beberapa pemimpin parti politik yang memaki hamun, memfitnah dan mengherdik pihak lawan.

Rukun Negara yang diilhamkan sebenarnya mempunyai satu asas kenegaraan yang sangat menarik. Ia meletakkan agama di peringkat tertinggi. Sebabnya tanpa kepercayaan kepada agama, tidak akan ada kesetiaan kepada negara, penghormatan terhadap Perlembagaan dan undang-undang apatah lagi kesopanan dan kesusilaan.

Kita berbalik kepada firman Allah di dalam surah An nisa ayat 59, ' Wahai orang-orang yang beriman, Taatlah kamu kepada Allah dan Taatlah kamu kepada Rasulullah dan ‘ulil-Amri’ daripada kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada kitab Allah dan Rasul-Nya jika kamu benar-benar  beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya’. Rukun Negara adalah sumpah ikrar kita selaku warganegara Malaysia.

PENULIS ialah Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Utara Malaysia dan juga Setiausaha Agung Jemaah YDP IPT Kebangsaan.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan