Selasa, 12 Februari 2013

ULAR OH ULAR...


ULAR  merupakan reptilia maging yang panjang dan tidak berkaki dalam suborder Serpentes. Seperti semua spesies Squamata, ular merupakan vertebrat amniot ektoterma yang berkulitkan sisik yang bertindan-tindih. Kebanyakan spesies ular mempunyai tengkorak yang lebih banyak sendinya berbanding leluhur cicaknya supaya mudah untuk menelan mangsa yang lebih besar daripada kepalanya dengan rahang yang amat mudah gerak. Untuk menampung badan ular yang sempit, organ-organ yang berpasangan (seperti ginjal) tersusun secara berikut-ikut, bukan bersebelahan, apalagi kebanyakan ular hanya mempunyai sebatang paru-paru. Sesetengah spesies mempunyai girdel pelvis dengan sepasang cakar vestij di sebelah kloaka. Juga terdapat jenis reptilia yang tidak berkaki tetapi bukan ular, iaitu cicak tanpa kaki; bezanya adalah, ular tiada kelopak mata dan telinga luaran.

Ular ditemui hidup di setiap benua (kecuali Antartika), Lautan Pasifik dan Lautan Hindi, serta kebanyakan daratan yang lebih kecil — antara yang terkecuali ialah beberapa pulau besar seperti Ireland dan New Zealand, serta kebanyakan pulau kecil di Lautan Atlantik dan tengah Lautan Pasifik.  Lebih daripada 20 famili ular kini dikenal pasti, terdiri daripada sekitar 500 genus dan sekitar 3,400 spesies. Ular terdapat dalam pelbagai saiz, daripada ular benang yang hanya berukuran 10 cm, hingga ular sawa rendam yang boleh mencapai 8.7 meter (29 ka). Ular dipercayai berevolusi daripada cicak yang mengorek lubang atau hidup dalam air sekitar pertengahan Usia Kapur; fosil ular terawal yang diketahui bertarikh sekitar 112 juta tahun dahulu. Kepelbagaian ular moden muncul sewaktu zaman Paleosen (sekitar 66–56 juta tahun dahulu).

Kebanyakan spesies ular tidak berbisa manakala yang berbisa menggunakan bisanya terutamanya untuk membunuh dan melumpuhkan mangsa berbanding mempertahankan diri. Terdapat ular yang memiliki bisa yang cukup kuat untuk menyebabkan kesakitan yang teruk atau kematian terhadap manusia. Ular yang tidak berbisa pula menelan mangsa hidup-hidup atau menjerut mangsa hingga mati.



TAHUN ULAR :

2013 merupakan Tahun Ular mengikut kepercayaan masyarakat Cina. Pakar Feng Shui meramalkan warna bertuah pada tahun 2013 adalah warna biru, hijau dan ungu.

Menurut Prof Joe Choo dalam mStar Online, industri berada dalam keadaan baik pada tahun 2013 iaitu Tahun Ular, terhadap orang-orang yang berkaitan dengan unsur-unsur air, kayu dan logam, termasuk bidang insurans dan kewangan, kewartawanan dan pendidikan, logam dan perniagaan yang berkaitan dengan mineral. Tarikh bertuah untuk majlis perkahwinan, memulakan perniagaan atau untuk melahirkan bayi, ialah pada 11 Februari, 12 April, 10 Ogos, 9 Oktober dan 8 Disember.

Bagi individu yang lahir Tahun Ular iaitu tahun 1917, 1929, 1941, 1953, 1965, 1977, 1989, 2001 dan 2013 akan menjadi lebih baik dalam percintaan dan pekerjaannya pada Tahun 2013 berbanding tahun-tahun lain. Dalam bidang akademik, individu akan lebih menonjol daripada yang lain asalkan individu tersebut fokus terhadap apa yang dipelajari. Individu akan dapat banyak kenalan baru dan hubungan dengan rakan-rakan akan bertambah rapat.

Individu yang lahir pada tahun ular mempunyai personaliti yang menarik, licik, cerdas, berfikir secara mendalam, bijaksana, lemah lembut, mudah menangis, berani, belas kasihan dan berwaspada. Sifat negatif pula adalah cemas, malas, berahsia dan cerewet.

ULAR DALAM PERIBAHASA MELAYU :

Ular merupakan spesies haiwan yang tidak asing bagi masyarakat Melayu. Oleh sebab itu, banyak peribahasa Melayu menggunakan spesies ini sebagai unsur dalam peribahasa. Antaranya :

1. Ular bercampur dengan belut, tak akan hilang bisanya.    Orang yang jahat, jika bergaul dengan orang yang baik-baik tiada akan berubah tabiatnya.    Kamus Istimewa Peribahasa Melayu

2. Ular berkepala dua.    Tidak tentu pihak mana yang diikuti; orang yang munafik. (Peribahasa lain yang sama makna: Sekerat ular, sekerat belut).    Kamus Istimewa Peribahasa Melayu

3. Ular berlingkar di gulungan tikar.    Orang jahat yang menyamarkan diri dalam kumpulan orang baik-baik.    Kamus Istimewa Peribahasa Melayu

4. Ular biar mati, tanah jangan lekuk, buluh jangan pukah.    Menyelesaikan sesuatu perkara (= menghukum, memperdamaikan) hendaklah dengan adil, sehingga kedua-dua belah pihak merasa puas hati. (Peribahasa lain yang sama makna: a. Menarik rambut di dalam tepung, b. Seperti memalu ular dalam benih: ular biar mati, benih jangan rosak). (Bandingkan dengan: a. Bagai menghela rambut dalam tepung: rambut jangan putus, tepung jangan terserak, b. Bagai menghela tali jala: rasa tegang dikendurkan, rasa kendur ditegangkan).    Kamus Istimewa Peribahasa Melayu

5. Ular bukan, ikan pun bukan.    Tidak dapat ditentukan baik atau buruknya.    Kamus Istimewa Peribahasa Melayu

6. Ular menyusur akar.    Orang besar yang merendahkan diri tidak akan jatuh martabatnya. (Peribahasa lain yang sama makna: Jikalau ular menyusur akar, tiada hilang bisanya).    Kamus Istimewa Peribahasa Melayu

7. Ular telan babi, cacing yang bengkak perut.    Iri hati melihat keberuntungan orang lain.    Kamus Istimewa Peribahasa Melayu

8. Takut pada ular, terkejut pada bengkarung.    Kerana takut kepada orang yang berkuasa, lalu takut pula kepada keluarganya.    Kamus Istimewa Peribahasa Melayu

9. Tertangguk pada ikan dikeruntungkan, tertangguk pada ular dikeruntungkan juga.    Buruk atau baik diterima saja setelah dimuafakati beramai-ramai. keruntung = keranjang untuk menyimpan ikan.    Kamus Istimewa Peribahasa Melayu

10. Tak akan hilang bisa ular yang menyusur di bawah akar.    Orang besar yang merendahkan diri tidak akan jatuh martabatnya. (Peribahasa lain yang sama makna: a. Jikalau ular menyusur akar, tiada hilang bisanya, b. Ular menyusur akar).    Kamus Istimewa Peribahasa Melayu

11. Tiada hilang bisa ular dek menyusur akar.    Tiada hilang martabat seorang yang mulia kerana merendahkan diri.    Kamus Istimewa Peribahasa Melayu

12. Takkan ada katak beranakkan ular.    Orang yang pengecut takkan menjadi orang yang berani.    Kamus Istimewa Peribahasa Melayu

13. Sekali dipatuk ular, tali pun ditakutkannya juga.    Orang yang telah pernah menderita kesusahan (kecelakaan), maka berhati-hatilah ia dalam semua gerak-gerinya. (Peribahasa lain yang sama makna: Sekali tersengat, selalu beringat).    Kamus Istimewa Peribahasa Melayu

14. Sekerat ular, sekerat belut.    Tidak tentu pihak mana yang diikuti; orang yang munafik. (Peribahasa lain yang sama makna: Ular berkepala dua).    Kamus Istimewa Peribahasa Melayu

15. Sama menjulur sama menjalar, lain belut lain ular.    Dua orang yang sama rupa dan perjalanannya tetapi budi pekertinya berlainan.    Kamus Istimewa Peribahasa Melayu

16. Seperti kecek ular.    Menceritakan berlebih-lebihan daripada keadaan yang sebenarnya.    Kamus Istimewa Peribahasa Melayu

17. Seperti ketiak ular.    Cakap yang tak berkeputusan. (Peribahasa lain yang sama makna: Kecek bagai ketiak ular).    Kamus Istimewa Peribahasa Melayu

18. Seperti memalu ular dalam benih: ular biar mati, benih jangan rosak.    Bersikap bijaksana dalam menyelesaikan sesuatu masalah. (Peribahasa lain yang sama makna: Menarik rambut di dalam tepung).    Kamus Istimewa Peribahasa Melayu

19. Seperti menangkap ular di ekornya.    Mencuba mengalahkan musuh yang cerdik, akhirnya kitalah yang binasa.    Kamus Istimewa Peribahasa Melayu

20. Seperti ular dikutik ekor.    Marah yang amat sangat; bergerak cepat.    Kamus Istimewa Peribahasa Melayu

21. Seperti ular kena palu (= bedal, pukul).    Menggeliang-geliut kerana terlalu marah.    Kamus Istimewa Peribahasa Melayu

22. Sudah tampak kaki ular.    Tingkah laku seseorang yang jahat yang sudah mulai diketahui.    Kamus Istimewa Peribahasa Melayu

23. Pacat hendak menjadi ular.    Orang miskin berlaku seperti orang kaya; mengharapkan yang bukan-bukan.    Kamus Istimewa Peribahasa Melayu

24. Perempuan melangkahi ular tiada lepas.    Perempuan itu selalu dalam bahaya kerana kelemahannya. (Bandingkan dengan: Melangkahi ular).    Kamus Istimewa Peribahasa Melayu

25. Naga ditelan ular lidi.    Anak orang bangsawan berkahwin dengan orang kebanyakan.    Kamus Istimewa Peribahasa Melayu

26. Melangkahi ular.    Melakukan sesuatu yang sangat berbahaya.    Kamus Istimewa Peribahasa Melayu

27. Macam ular kekenyangan.    Orang yang buncit perutnya sehingga berjalannya pun sudah tidak betul lagi.    Kamus Istimewa Peribahasa Melayu

28. Lebih baik seekor singa di padang yang luas, daripada seekor ular di dalam rumput.    Lebih baik musuh besar di dalam terang daripada musuh kecil di dalam sulit.    Kamus Istimewa Peribahasa Melayu

29. Laksana katak di harung ular.    Lari bercempera dengan suara riuh rendah kerana ketakutan.    Kamus Istimewa Peribahasa Melayu

30. Katak menggigit telunjuk, melihatkan ular sudah menjadi belut.    Orang jahat yang sudah berubah jadi baik, namun orang masih curiga juga.    Kamus Istimewa Peribahasa Melayu

31. Kecek bagai ketiak ular.    Cakap yang tak berkeputusan. (Peribahasa lain yang sama makna: Seperti ketiak ular).    Kamus Istimewa Peribahasa Melayu

32. Kerosok ular di rumpun bambu.    Ancaman daripada orang yang pengecut. kerosok = bunyi di daun-daun kering kerana dilalui binatang atau lain-lain.    Kamus Istimewa Peribahasa Melayu

33. Jika kepalanya ular, takkan ekornya belut.    Yang jahat itu tetap jahat.    Kamus Istimewa Peribahasa Melayu

34. Jikalau ular menyusur akar, tiada hilang bisanya.    Orang besar yang merendahkan diri tidak akan jatuh martabatnya. (Peribahasa lain yang sama makna: a. Tak akan hilang bisa ular yang menyusur di bawah akar, b. Ular menyusur akar).    Kamus Istimewa Peribahasa Melayu

35. Jangan menggerak ular tidur.    Bahaya jangan dicari-cari.    Kamus Istimewa Peribahasa Melayu

36. Hendak singa di tengah padang lagi, daripada ular di dalam rumput.    Lebih baik berdepan dengan musuh besar di tempat terang daripada musuh kecil di dalam sulit.    Kamus Istimewa Peribahasa Melayu

37. Gajah ditelan ular lidi.    Orang berkuasa dapat dialahkan oleh orang lemah; perempuan bangsawan yang diperisteri oleh orang kebanyakan. (Peribahasa lain yang sama makna: a. Gajah dialahkan oleh pelanduk, b. Gajah mati dicatuk katak, c. Mati dicatuk katak).    Kamus Istimewa Peribahasa Melayu

38. Di waktu garuda alah oleh ular.    Kiasan kepada waktu yang telah lalu; zaman dulu kala.    Kamus Istimewa Peribahasa Melayu

39. Cengkeling bagai ular dipukul (= dipalu).    Geliang-geliut kerana kesakitan. cengkeling = berbelit-belit.    Kamus Istimewa Peribahasa Melayu

40. Cacing menjadi ular naga.    Orang hina menjadi orang mulia.    Kamus Istimewa Peribahasa Melayu

41. Cik puan melangkah ular tak lepas.    Gerak-geri perempuan yang lemah lembut.    Kamus Istimewa Peribahasa Melayu

42. Bagai ular dengan legundi (= lenggundi).    Sangat terpikat kepada kekasih. legundi = sejenis tumbuhan.    Kamus Istimewa Peribahasa Melayu

43. Bagai bersahabat dengan ular bisa.    Berkawan dengan orang yang jahat.    Kamus Istimewa Peribahasa Melayu

Tiada ulasan:

Catat Komen