Ahad, 31 Mac 2013

ISU PENGAJIAN TINGGI : Program Khidmat Komuniti Satu cara tingkat motivasi pelajar


Oleh :  Ruhaiza Rusmin

Pembabitan mahasiswa dalam program khidmat komuniti sering kali dianggap sebagai satu pembaziran kerana impaknya dikatakan kurang terserlah.

Kerap kali juga dilabelkan sebagai program makan angin semata-mata, malah matlamat disasarkan turut dianggap gagal kerana masih tidak mampu dihayati sepenuhnya oleh mahasiswa.

Penyertaan mereka dikatakan hanya bertujuan memenuhi peraturan ditetapkan institusi kerana bimbang memberi kesan kepada gred pencapaian. Justeru, apakah benar program ini gagal mencapai matlamatnya?

Pengarah Pusat Kursus Umum dan Kokurikulum Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Leftenan Kolonel Profesor Madya Dr Ahmad Ariffian Bujang berkata, bukan program berkenaan yang gagal mencapai matlamatnya tapi mahasiswa tidak pandai menggunakan peluang hingga merugikan diri sendiri.

Menurutnya, program khidmat komuniti bukan dilaksanakan untuk pembaziran, sebaliknya terkandung 1,001 manfaat bagi membantu mahasiswa melihat skop kehidupan sebenar masyarakat dari pelbagai sudut berbeza.

“Program ini besar manfaatnya terhadap pemba­ngunan diri mahasiswa. Malangnya, ia lebih cenderung dilabelkan sebagai program suka-suka yang memberi peluang ‘percuma’ untuk bersantai.

“Khidmat komuniti adalah satu tugasan untuk memberi budi kepada masyarakat, menghulurkan bantuan kepada mereka dan pada masa sama memberi bonus kepada pembangunan sahsiah mahasiswa.

“Justeru, tanggapan perlu diperbetulkan supaya mereka yang terbabit dalam program sedemikian dapat menghayati objektif mengapa ia dilaksanakan,” kata­nya.

Dr Ahmad Ariffian berkata, penganjuran khidmat komuniti kini yang semakin diperluaskan dan diberi penambahbaikan antara bukti keberkesanannya sebagai medium hubungan mahasiswa dengan realiti kehidupan masyarakat sebenar.

“Mahasiswa juga adalah satu komuniti masyarakat tapi masih ada perbezaannya jika berada dalam kampus dengan luar tembok kampus.

“Justeru, memberi pendedahan sebenar boleh membantu mereka bersedia dan membuka mata melihat realiti kehidupan sebenar.

“Jika ada yang menyatakan khidmat komuniti tidak relevan atau gagal, itu hanya persepsi. Malah syarikat besar juga melihat khidmat komuniti sebagai satu komponen penting mempertingkatkan motivasi kakitangannya,” katanya.

Beliau juga menganggap ia sebagai sebahagian proses pembelajaran yang sempurna kerana tidak diajar di dalam kuliah mahupun buku.

“Kalau selama ini mahasiswa hanya melihatnya sebagai satu teori semata-mata, khidmat komuniti memberi pengalaman berdepan secara nyata.

“Mereka boleh lihat de­ngan mata kepala sendiri bagaimana susahnya realiti kehidupan manusia di dunia ini.

“Jangan anggap khidmat komuniti sekadar syok sendiri. Apa yang anda lihat di depan mata, itulah hakikatnya,” katanya.

Program khidmat komuniti yang kini menjadi antara kepentingan utama di setiap institusi diwujudkan dengan harapan dapat membantu mahasiswa menghayati konsep tanggungjawab dengan lebih mendalam.

Menurutnya, penting bagi mereka dilengkapi dengan nilai dan unsur kemanusiaan supaya dapat meneruskan tradisi mahu memikul tang­gungjawab kepada bangsa dan negara.

“Walaupun khidmat komuniti mampu memberi nilai tambah lain seperti pembinaan kemahiran insaniah, secara halusnya menerapkan semangat menjadi lebih bertanggungjawab seperti mahu menerima arahan dan bekerjasama.

“Generasi hari ini akan diganti generasi baru. Bayang­kan jika mereka tiada langsung keinginan memikul sebarang tanggungjawab?

“Biarpun ada pihak melihatnya berdasarkan sudut tertentu saja, ‘suntikan’ khidmat komuniti sebagai wadah pembelajaran secara langsung tidak boleh dinafikan,” katanya.

Sejauh mana keberkesanan program mampu mengubah pandangan mahupun pembawaan diri mahasiswa, beliau berkata, ia subjektif namun masih mampu memberi impak seperti dikehendaki.

“Syaratnya, mereka yang mengikuti program ini benar-benar menghayati program dijalankan, bukan sekadar melepaskan batok di tangga atau mempunyai maksud lain.

“Jika semua elemen itu tiada, bagilah apa jua program hatta paling hebat sekalipun, kesannya tidak kekal.

“Tapi jika ikhlas melakukannya, kesannya tetap akan muncul dan mereka mampu merasainya dengan perubahan sikap dan minda, selain dapat melihat per­spektif kehidupan dari sudut berbeza,” katanya.

Mengulas mengenai cabaran, beliau mengakui program khidmat komuniti yang dilaksanakan di luar negara lebih sukar.

Kesukaran itu katanya, bukan saja daripada perbezaan budaya dan penerimaan masyarakat, malah berkaitan aspek peraturan, undang-undang dan bajet.

“Khidmat komuniti tempatan biasanya lebih mudah kerana pemikiran dan budaya masih sama. Sebaliknya, luar negara banyak kerenahnya biarpun dapat berjalan melihat negara orang.

“Penyediaan peranca­ngan juga perlu lebih kompleks dan teliti. Dengan kata lain, mereka perlu bertung­kus-lumus dua kali ganda bagi menjayakannya.

“Apapun, khidmat komuniti adalah wadah terbaik untuk belajar menjadi  lebih berdisiplin, mengenali potensi dan mengubah paradigma pemikiran,” katanya.

Sumber : http : //www.hmetro.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Komen