Oleh : Siti Fatimah Mohamed Anwar
Butterworth : Seorang pelajar institusi pengajian tinggi
yang cacat penglihatan berjaya mencatat rekod peribadi apabila berenang
merentasi Selat Pulau Pinang secara individu dari Jeti Swettenham ke Pantai
Bagan Ajam di sini, semalam.
Faiq Adnan, 23, yang cacat sejak
kecil memulakan renangan sejauh lima kilometer (km) pada jam 9 pagi dan
menamatkan renangan pada jam 11.30 pagi, selepas menempuh pelbagai halangan
termasuk disengat obor-obor dan menempuh cabaran ombak besar.
Pelajar jurusan Pengajian Melayu
di Universiti Malaya (UM) itu berkata, dia hampir berputus asa untuk meneruskan
cabaran apabila disengat obor-obor selepas 45 minit memulakan misi berkenaan,
namun diberi perangsang oleh jurulatih yang mengiringinya.
Saya sudah hampir berputus asa
kerana disengat obor-obor di seluruh badan termasuk di tangan, bibir dan muka.
Keadaan gatal itu amat tidak selesa, namun saya diberi perangsang oleh
jurulatih untuk meneruskan cabaran ini.
Cabaran ombak besar
Selain itu, saya menempuh cabaran
ombak besar tetapi ia tidak menghalang tumpuan saya untuk menyudahkan misi
kerana sudah lama saya memasang impian untuk mencipta rekod ini, katanya
selepas berjaya merentasi Selat Pulau Pinang, semalam.
Acara merentasi Selat Pulau
Pinang itu julung kali dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Sukan Rekreasi
Orang Kurang Upaya Pulau Pinang (PESRON), PUSPAKOM Sdn Bhd serta Jabatan Belia
dan Sukan negeri.
Faiq yang juga atlet paralimpik
negeri berkata, kejayaannya berenang merentasi Selat Pulau Pinang dengan
catatan dua jam 30 minit 35 saat, membuktikan orang kurang upaya (OKU) juga
mampu melakar kejayaan sama seperti individu lain.
Sebagai persiapan untuk
menjayakan misi ini, saya melakukan latihan renangan 40 pusingan di kolam
renang dua kali sehari bagi membina stamina. Latihan kelajuan dan ketangkasan
ini dijalankan sejak dua tahun lalu untuk memastikan saya benar-benar berkemampuan
menjayakan misi ini.
Rentas Selat Inggeris
Selepas ini, saya berhasrat
mencatat satu lagi rekod peribadi iaitu berenang merentasi Selat Inggeris pada
2015 dan berharap ada pihak yang sudi menaja serta membantu saya merealisasikan
impian berkenaan, katanya.
Jurulatihnya, Datuk Ooi Win Juat,
berkata Faiq yang berenang dalam sangkar khas berdepan tempoh sukar apabila
sangkar berkenaan pecah dipukul ombak besar ketika berada di tengah laut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan