Rabu, 24 Julai 2013

ISU KENEGARAAN : Menghormati sensitiviti kaum di Malaysia


Oleh :  DR. MOHD MAHZAN AWANG

MALAYSIA adalah sebuah negara yang sering dikaitkan dengan kebijaksanaan dalam pengurusan keharmonian antara kaum. Ini kerana lebih 50 tahun merdeka, tidak ada pergolakan kaum yang benar-benar serius.

Beberapa siri insiden yang melibatkan perkauman dapat diselesaikan dengan jayanya. Kebanyakan insiden perkauman di Malaysia berpunca daripada sensitiviti perkauman dan keagamaan. Ia adalah api kecil yang boleh marak dengan pantas sekiranya tidak dipadam dengan cara yang berhikmah.

Tambahan pula dengan keunikan masyarakat Malaysia yang terdiri daripada tiga kaum majoriti dengan tiga agama utama. Unsur-unsur kebudayaan Melayu jelas dalam amalan Islam di Malaysia serta banyak pengaruh Islam terhadap kebudayaan Melayu. Begitu juga dengan amalan agama Buddha dan Hindu yang turut diwarnai oleh pengaruh kebudayaan Cina dan Hindu.

Penyerapan unsur budaya warisan dalam tradisi sesuatu kaum dalam amalan keagamaan menjadikan banyak fenomena hidup berlainan kaum memiliki elemen-elemen sensitiviti. Haiwan-haiwan seperti lembu, khinzir dan anjing adalah antara makhluk yang berpotensi menjadi isu sensitif jikalau ia dibincangkan dalam konteks yang tidak berhikmah. Keadaan sebeginilah yang menjadikan situasi budaya di Malaysia amat berbeza dengan negara-negara luar. Faktor-faktor sosio budaya ini jugalah mempengaruhi pemilihan lokasi kediaman, bentuk pendidikan, hala tuju kerjaya dan pelbagai lagi.

Banyak kajian empirikal berkaitan hubungan etnik di Malaysia mendapati bahawa masyarakat pelbagai kaum di Malaysia lebih selesa untuk berada dalam kelompok etnik masing-masing ekoran daripada persamaan sosio-budaya yang memudahkan urusan penjagaan sensitiviti kaum. Malah, ramai yang berasa lebih selesa memilih lokasi kediaman yang sama kerana persamaan bahasa, budaya, cara fikir serta agama.

Hari ini, kita dapat lihat banyak kawasan yang diberi jolokan seperti kawasan Melayu, Cina dan India namun itu bukan bererti tiada kaum lain dalam kawasan kediaman tersebut. Biarpun banyak usaha dilakukan kerajaan untuk mempertemukan masyarakat pelbagai etnik dalam satu agenda perpaduan seperti menerusi konsep Sekolah Wawasan, kuota perumahan bumiputera-bukan bumiputera, penyaluran geran penyelidikan kesepaduan sosial secara jangka panjang, Program Kesepaduan Sosial Negara (PADU), Rancangan Integrasi Murid untuk Perpaduan dan bermacam-macam lagi, masyarakat pelbagai etnik masih cenderung untuk berada dalam kelompok etnik masing-masing.

Lebih 50 tahun merdeka, masyarakat pelbagai kaum masih memilih untuk berada dalam kelompok majoriti kaum masing-masing tetapi mengekalkan keharmonian dan perpaduan. Mungkin inilah cara masyarakat Malaysia untuk mengekalkan keharmonian. Setiap etnik dilihat yang lebih cenderung untuk bersama-sama kelompok etnik masing-masing dan pada masa yang sama menjaga sensitiviti kaum lain.

Maka, isu-isu sensitif dibicarakan dalam kelompok etnik masing-masing secara bersemuka, berhikmah, dalam skop dan konteks yang terkawal iaitu demi menjaga hati sahabat berlainan kaum.

Saya pasti isu-isu sensitiviti kaum sering dibincangkan tetapi dalam skop yang benar-benar terkawal kerana perbincangan umum isu sensitif boleh melukakan hati sahabat berlainan kaum. Namun, tanpa disedari kecanggihan teknologi telah membuka wadah baru dalam perbicaraan isu-isu sensitif.

Banyak isu sensitif telah menjadi bahan perbualan, perdebatan dan sindiran di laman-laman maya untuk aktiviti interaksi sosial. Media sosial seperti Facebook dan Twitter telah mengumpulkan rakan-rakan dalam satu forum terbuka. Jaringan sosial dalam media sedemikian tidak lagi terhad kepada sesuatu kaum di Malaysia malah telah menjadi wadah global yang teramat terbuka. Natijahnya, segala isu dibincangkan tanpa batasan dan berpotensi menjadi punca kepada ketidakharmonian antara kaum dan agama.

Hari ini, banyak perkara yang dahulunya taboo telah menjadi perkara biasa dalam perbincangan di media sosial. Perlu disedari bahawa media sosial adalah satu akses terbuka yang boleh tersebar dengan cepat. Sejarah membuktikan bahawa kegagalan mengurus sensitiviti kaum dan agama adalah penyumbang utama kepada ketidakselesaan dalam kalangan masyarakat, malah berupaya mengundang risiko.

Justeru, dalam keadaan tahap pendidikan kebanyakan masyarakat di Malaysia makin tinggi, kesedaran tentang peri pentingya keharmonian untuk kelestarian keamanan negara amatlah penting. Saya pasti, dalam segenap proses pendidikan semenjak di bangku sekolah sehingga universiti, para pendidik amat menitikberatkan perbincangan isu sensitif secara berhikmah dan terkawal. Jangan kerana emosi, keharmonian tergadai.


PENULIS ialah Pensyarah di Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan