Sabtu, 6 Julai 2013

ISU PENDIDIKAN : Pendidikan akar penyatuan nasional


Oleh  : Khairuddin Mohd. Zain

GUNAKANLAH apa sahaja terminologi, ‘penyatuan nasional’, ‘konsensus nasional’, ‘kesepakatan nasional’ - pokok pangkalnya rakyat sedang mengharapkan amalan dan tingkah politik yang lebih positif, pasca PRU-13 yang lalu. Kepada penulis, Perdana Menteri punya jiwa besar untuk menawarkan idea penyatuan nasional ini.

Menyusur sejarah, penulis terjumpa ucapan lama Almarhum Tun Razak sewaktu merasmikan Majlis Perpaduan Negara sekitar tahun 1971. Ucapan Tun Razak ini punya aura luar biasa. Terkesan dengan apa yang berlaku pada 13 Mei 1969, negara amat-amat memerlukan sifir politik yang baru.

“"Kejayaan Majlis ini bergantung kepada keikhlasan hati dan kesediaan saudara-saudara menyatakan pendapat secara jujur dan berterus terang dengan memandang semata-mata untuk kepentingan dan faedah negara keseluruhannya. Hanya dengan mengadakan perbincangan dengan jujur dan memberi pandangan-pandangan yang objektif, kita boleh memberikan makna penuh kepada Majlis Perpaduan Negara ini."

Ada beberapa kata kunci dalam bait ucapan Tun Razak ini. Keikhlasan, kesediaan, jujur, berterus terang, kepentingan dan faedah negara - adalah antara yang dapat jelas dicerna. Soalnya, rentak penyatuan nasional mesti ada sauh dan asasnya. Kepada penulis, pendidikan adalah asas yang paling wajar dijadikan prioriti.

Kepentingan pendidikan di dalam arus pembangunan negara ini jelas, apabila titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sewaktu Istiadat Pembukaan Penggal Pertama Majlis Parlimen awal minggu lalu menyentuh perkara sama. Titah Tuanku, menggaris harapan agar agenda transformasi pendidikan dapat dijayakan dengan sepenuhnya oleh kerajaan, sejajar dengan niat dan hasrat Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

Mungkin di atas semangat yang sama, antara soalan-soalan awal yang ditanya pada Sidang Parlimen 2013 adalah berkenaan isu pendidikan. Soalan daripada Ahli Parlimen Lenggong (rujuk Hansard Parlimen, 26 Jun 2013), Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu (rujuk hansard Parlimen, 27 Jun 2013) dan banyak lagi soalan berkait isu pendidikan.

Di Parlimen juga, idea dan matlamat ‘Sekolah Wawasan’ dibangkitkan semula oleh Ahli Parlimen Langkawi. Garis masa transformasi Tingkatan 6, dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Kepala Batas. Isu pendidikan dalam kalangan kumpulan miskin bandar diangkat juga oleh Ahli Parlimen Setiawangsa. Untuk berlaku adil, wakil rakyat Bukit Katil dan Pandan juga ada menyentuh isu pendidikan.

Ternampak jelas, isu pendidikan ini sudah meruntuh sempadan ideologi dan ego politik. Kebanyakan wakil rakyat mahu ia ditangani dengan baik, sekali gus meletakkan mutu pendidikan Malaysia di tahapnya yang terbaik.

Penulis melihat ini suatu ruang yang sangat ‘strategik’ untuk dijadikan asas kepada penyatuan nasional. Mungkin, kalangan pihak berkepentingan, seperti Majlis Profesor Negara, NGO berteraskan pendidikan seperti Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (Gagasan) untuk menjemput kalangan Ahli Parlimen mengadakan diskusi meja bulat yang ikhlas.

NGO Melayu yang berorientasi dan berteraskan pendidikan tidak boleh bergerak dengan model lama. Konvensyen dengan resolusi panjang berjela, akhirnya tinggal menjadi hebat di atas kertas dan tidak diterjemah dalam bentuk pragmatisme dasar dan polisi.

Kalangan Ahli Parlimen wajar dirapati, bagi mencambahkan idea mereka yang kadangkalanya punya asas dan wajar dijayakan oleh kerajaan. Sebagai misal, Ahli Parlimen Limbang sewaktu membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat (4 Julai 2013), mempunyai idea yang sangat bernas dalam memastikan bidang sains dan teknologi serta kejuruteraan diberikan tumpuan yang lebih bersungguh.

Cadangan ini ada akar kajian akademiknya. Kajian yang dilakukan Direktorat Sains, Teknologi dan Industri OECD, menggariskan beberapa kelemahan Malaysia dalam membangun ekonomi berteraskan inovasi. Antara kelemahan ketara - kualiti sistem pendidikan, kekurangan tenaga pakar dan kurangnya linkage antara penyelidikan awam dan industri.

Isu ini perlu teliti secara jujur dan strategik. Yang pasti, ia tidak lagi boleh berlegar di atas kertas resolusi yang panjang berjela. Strateginya apa? Garis masa? Apa bidang tumpuan? Usaha yang sedemikian besar, sudah memerlukan usaha ‘rentas kementerian’ dan bukan lagi di atas bahu Kementerian Pendidikan semata-mata.

Dalam kajian OECD yang sama, antara ancaman terbesar kepada Malaysia adalah kemajuan berganda negara Asia lain dalam bidang sains, teknologi, inovasi dan industri kreatif.

Penubuhan Singapore University of Technology and Design (SUTD), dengan kerjasama Massachusetts Institute of Technology (MIT) dan Zhejiang University diangkat oleh kajian OECD sebagai model masa hadapan yang perlu dihambat oleh negara lain.

MIT institusi pendidikan ulung di dunia. Zhejiang University berada dalam Liga C9 (C9 League - sembilan universiti terhebat di China) dan berada kedudukan ketiga dalam Sina Ranking tahun 2009. Kerjasama ini amat dipuji oleh kajian OECD.

Debat pendidikan kita, baik di dalam media perdana mahupun alternatif, masih menjurus kepada soal keperluan sekolah vernakular, pengwujudan semula sekolah aliran Inggeris dan sebagainya. Negara lain, sudah mula jauh melangkah ke hadapan dengan model pendidikan ‘nasional’ yang tidak boleh diperdebatkan.

Ada juga soalan di Parlimen yang menjurus kepada usaha meliberalisasi bidang pendidikan secara total. Wakil Rakyat Ayer Hitam ada bertanya tentang status pengiktirafan ijazah di 820 buah universiti di Republik Rakyat China dan 157 buah universiti di Taiwan.

Itu belum lagi diambil kira pendirian NGO pendidikan Cina, Jiao Zong, yang sama sekali menentang cadangan penambahan masa mengajar Bahasa Malaysia daripada 180 kepada 270 minit seminggu di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina. Penentangan seperti ini merencatkan semangat ‘pelan strategik’ pendidikan yang dicadangkan oleh kerajaan.

Bila agaknya NGO Melayu berteraskan pendidikan, mampu duduk semeja dengan Dong Zong, Jiao Zong, Hindu Sangam dan sebagainya - dan mula berdialog sebagai ‘bangsa Malaysia sebenar’ dalam merencana isu pendidikan.

Pendidikan tidak boleh menjadi permainan bersifat ‘zero-sum’. Menang semua. Kalah semua. Jalan hadapan mestilah bersifat sederhana dan mendahulukan fikrah dan ideal negara. Kerajaan, kementerian tidak wajar ditekan-tekan dengan isu dan permasalahan sama.

Dialog dan pandang balas sememangnya boleh dan dibenarkan. Namun, ia juga mesti ada had dan limitasinya. Jika semua yang dicadang oleh kerajaan, walaupun setelah mendapat pandangan umum, kemudiannya ditolak semula oleh swadaya pendidikan, kita tidak akan bergerak ke mana.

Negara memerlukan kalangan NGO berteras pendidikan yang mempunyai fokus, program yang baik, keterbukaan dalam berdialog, akar hujah yang tuntas dan bersederhana dalam mempertahan pendirian dan prinsip. Mengemukakan pandangan politik mungkin dibolehkan, namun perlulah selektif.

NGO berteraskan pendidikan perlu lari daripada imej membuat ‘laporan polis’ dan lebih fokus dalam usaha ‘mempengaruhi polisi’.

Hijrah ini rasanya tidak mudah, ketika mana aktif atau tidaknya NGO diukur dengan berapa laporan polis yang telah dibuat untuk tahun itu. Selagi ‘polis’ mendahului ‘polisi, mungkin perjalanan kita jauh.

PENULIS ialah penganalisis politik dan sosial.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catat Ulasan