MENYEBUT tentang pembunuh upahan,
mungkin tidak ramai menyangka trend kerjaya lumayan itu sudah mula menapak di
Malaysia yang selama ini aman damai berbanding jiran-jirannya.
Mereka yang pernah menonton filem
ikonik, Kill Bill tentang hidup seorang pembunuh upahan mungkin berasa kagum
dengan 'prinsip dan maruah' yang diamalkan golongan pembunuh profesional di
peringkat antarabangsa.
Namun, pembunuh upahan di
Malaysia dikhuatiri terdiri daripada golongan amatur tanpa prinsip dalam
memilih 'tugasan' mahupun maruah dalam melaksanakan 'hukuman' terhadap mangsa mereka.
Ini khususnya bagi golongan muda
yang baharu berjinak dengan dunia jenayah dan hanya memikirkan upah, kecil atau
besar, tanpa ambil peduli alasan seseorang mengupah mereka membunuh asalkan ada
bayaran.
Tidak kurang juga penjenayah muda
yang membunuh demi kuasa dalam sesebuah kumpulan mahupun untuk menaikkan nama
dalam kalangan kumpulan gengster dan samseng yang berebut kawasan atau
semata-mata atas faktor dendam.
Lebih membimbangkan, sementara
mendapat 'tugasan baharu' pembunuh upahan juga terlibat dalam jenayah seperti
rompak, ragut, culik dan sebagainya, meningkatkan kebarangkalian mereka
menggunakan senjata api ke atas mangsa dan orang awam.
Orang ramai semakin bimbang
apabila kejadian pembunuhan dengan senjata api semakin banyak berlaku tetapi
tangkapan dan penyelesaian kes tidak begitu menonjol.
Adakah faktor manusia yang 'hati
kering' menjadi punca peningkatan trend pembunuh upahan ini ataupun masalah
senjata api yang semakin mudah diperolehi di negara ini?
Bagi Penasihat Persatuan
Pegawai-Pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia (Respa), Datuk Mohd. Jamil Mohd.
Hassan, kejadian pembunuhan bersenjata kini berlainan dengan zaman dahulu yang
rata-ratanya dilakukan pengganas komunis.
"Dahulu komunis pilih
sasaran yang menghalang agenda dan rancangan mereka sahaja tetapi sekarang lain
pula, golongan pembunuh ini semua datang daripada kumpulan-kumpulan muda.
"Mereka juga terdiri
daripada banyak bangsa, mungkin Cina, India mahupun Melayu, sukar untuk
tentukan bangsanya. Mungkin juga kerja warga asing khususnya dalam kes-kes
berhampiran sempadan negara," katanya.
Beliau melihat mangsa dalam
beberapa kes di Pantai Timur melibatkan golongan peniaga yang mungkin terlibat
dengan perniagaan mencurigakan, serta mereka yang terlibat dalam
penguatkuasaan.
Jelas Mohd. Jamil, mangsa terdiri
pelbagai peringkat daripada golongan kaya kepada pemandu lori yang mungkin
dibunuh warga asing upahan atas faktor dendam ataupun persaingan perniagaan
seperti judi dan pelacuran.
"Pembunuh mungkin tidak
fikirkan keuntungan dalam menerima tugasan membunuh ini. Mungkin melibatkan satu
geng yang bermaharajalela ataupun lebih daripada satu geng tetapi rasanya
kematian dalam kes rompakan bersenjata tidak melibatkan pembunuh upahan.
"Saya tiada maklumat terkini
tetapi polis mungkin tidak mahu dedahkan lagi maklumat atau bukti terhad tentang
pembunuhan yang dilakukan kerana siasatan masih berterusan," ujarnya.
Dalam soal penyeludupan senjata
api, beliau berpendapat pihak yang mahu membawa masuk senjata mampu
melakukannya dengan mudah walaupun telah banyak langkah pencegahan diambil pihak
berkuasa di sempadan negara.
Tegas Mohd. Jamil, pergolakan dan
penggunaan senjata api yang berleluasa tanpa kawalan di negara jiran memudahkan
penyeludup mencuba pelbagai cara membawa masuk senjata ke Malaysia.
"Kita lebih tegas dalam
pemilikan senjata api di negara ini berbanding negara jiran. Mereka yang
ditangkap membawa senjata api tanpa lesen (tetapi tidak digunakan) boleh
didakwa, membawa kepada denda atau penjara.
"Mereka yang menggunakan
senjata api tanpa lesen itu pula, khususnya dalam kegiatan jenayah seperti
rompak dan ragut, boleh dikenakan hukuman penjara seumur hidup," jelasnya.
Mohd. Jamil bagaimanapun melihat
masalah pembunuh upahan banyak bergantung kepada faktor manusia kerana bukan
mudah untuk seseorang membunuh manusia lain.
"Untuk jadi pembunuh kena
berani dan hati kena keras, bukan main tembak sahaja. Tidak semestinya ada
senjata sudah boleh bunuh orang jika tiada kekuatan.
"Jika ada ketakutan dalam
diri, tembak pun mungkin tidak kena. Itulah yang terjadi dalam kes tembak
berkali-kali tetapi tidak kena pun pada sasaran," dakwanya.
Bekas Panglima Medan Tentera
Darat, Leftenan Jeneral (B) Datuk Seri Zaini Mohd. Said pula menyifatkan trend
baharu menjadikan rakyat Malaysia sasaran pembunuh upahan adalah sesuatu yang
amat menakutkan.
"Ini perlu dijadikan
keutamaan pihak berkuasa untuk halangnya daripada berleluasa jika mahu sebuah
masyarakat yang aman dan selamat. Jika peras ugut, curi, rampas, orang tidak
begitu gerun berbanding ketakutan mangsa pembunuh upahan.
"Walaupun ada kes-kes
melibatkan pembunuh individu, saya fikir punca utama adalah sindiket atau
gengster tertentu yang meningkatkan kaedah mereka menakutkan sasaran dengan
mengupah pembunuh upahan," ujarnya.
Tambahnya, dahulu ramai yang
berpendapat pembunuh upahan datang dari negara-negara jiran tetapi bagi beliau,
kini pembunuh upahan ada dalam kalangan orang kita sendiri, lebih-lebih lagi
senjata api begitu mudah diperoleh melalui sempadan negara jiran yang tidak
stabil.
Menurut Zaini lagi, rakyat kita
perlu ada kesedaran untuk tidak terlibat dengan aktiviti jenayah termasuk
meminjam daripada pihak tidak berlesen. "Peminjam haram semakin cenderung menggunakan kekerasan jika hutang tidak dibayar," katanya.
Beliau turut mengesyaki terdapat
kumpulan tertentu yang menyumbang kepada trend tersebut dengan menyediakan
perkhidmatan menyewa senjata api untuk tempoh singkat.
Zaini berharap pihak polis dapat
menambah pasukan risikan untuk mencari orang yang terlibat dan menghalang
mereka sementara pasukan-pasukan tindakan pula menangkap pembunuh upahan
terbabit dengan segera.
"Saya percaya polis kita
mampu menangkap mereka jika cukup sumber risikan, tambahan pula penjenayah itu
juga manusia biasa yang pasti akan tersilap langkah.
"Tingkatkan juga pengawasan
keselamatan awam dan nasihati golongan berisiko tinggi menjadi mangsa. Saya
sendiri bimbang dengan trend ini apatah lagi ia turut menjejaskan imej negara
kita di mata dunia," tegas Zaini.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan